KUALA LUMPUR : Wisma Putra
menegaskan kepada Duta Besar Jerman Dr Guenther Georg Gruber (gambar) bahawa Malaysia
memandang berat isu sumbangan dana kedutaan itu kepada Suara Inisiatif Sdn Bhd
(SISB) yang berkait langsung dengan badan bukan kerajaan (NGO) Suara Rakyat
Malaysia (SUARAM).
Pada pertemuan dengan
Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Datuk Husni Zai
Yaacob, Jumaat lepas, duta itu juga diberitahu Malaysia sangat kecewa apabila
mengetahui kedutaan tersebut terlibat dalam sumbangan dana kepada SUARAM.
"Wisma Putra telah
menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia berasa kurang senang dengan tindakan
Kedutaan Besar Jerman itu kerana boleh disalah tafsir dan dilihat sebagai
mencampuri urusan dalaman Malaysia," kata Wisma Putra dalam kenyataan, di
sini.
Menurut kenyataan itu,
perwakilan asing seharusnya peka terhadap sensitiviti negara tuan rumah dan
cara hubungan baik dapat dijalin serta dikekalkan, selain mereka tidak
seharusnya terlibat dalam aktiviti yang menunjukkan kecenderungan mereka
terhadap sesetengah isu, yang mempunyai implikasi ke atas situasi domestik
Malaysia.
Kenyataan itu juga
menyatakan pada pertemuan tersebut Gruber menjelaskan Kedutaan Besar Jerman
mempunyai polisi untuk tidak menyumbang dana secara terus kepada mana-mana
organisasi atau institusi.
Gruber berkata sumbangan
dana hanya dibuat berdasarkan kepada projek yang berkait rapat dengan
nilai-nilai Jerman termasuk isu berkaitan hak asasi manusia.
Katanya dana sedemikian
turut disumbang kepada agensi kerajaan, univesriti dan projek berkaitan
tanggungjawab sosial korporat.
Kata Gruber, dalam kes itu,
sumbangan yang dimaksudkan diguna untuk penganjuran bengkel di Kuala Lumpur
pada November 2010 yang dihadiri 21 NGO. (Bernama)
No comments:
Post a Comment