Friday, 7 September 2012

MENJIWAI NADI SYAWAL DI JHEWA




POTONG....Azizah memotong kek raya bersama  Asnimar (tiga kanan), Siti Sapoo (tiga kiri), Mariati (dua kanan), jemputan dan pegawai JHEWA pada majlis Perhimpunan Bulanan dan Riang Ria Aidilfitri JHEWA di Ballroom, Wisma Wanita baru-baru ini.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

NADI Syawal masih berdenyut dan kehangatan nafas kemeriahannya masih terasa di mana-mana. Kumandang lagu Aidilfitri masih kedengaran di bawah bumbung  majlis sambutan Aidlfitri yang lazimnya diadakan  sepanjang bulan Saywal ini.

Baru-baru ini warga Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) juga tidak ketinggalan mengadakan  sambutan Aidilfitri dan ianya menjadi  lebih bermakna apabila  diadakan serentak dengan majlis Perhimpunan Bulanan serta dihadiri Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun.

Pengarah JHEWA, Datuk Siti Sapoo Ahok berkata majlis dua dalam satu  yang yang dinamakan  Majlis Perhimpunan Bulanan dan Riang Ria Aidilfitri JHEWA itu dirancang menepati kesesuaian kedua-dua program ini.

“Majlis yang diadakan hari ini juga adalah merupakan salah satu wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama rakan sekerja. Kalau di awal Syawal, sambutan Aidilfitri mungkin hanya diraikan bersama keluarga terdekat masing-masing tetapi dengan adanya majlis ini ia turut diraikan bersama rakan-rakan dalam jabatan. Ini sudah semestinya akan memberi impak positif terhadap hubungan dalam persekitaran kerja sekaligus mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Menyentuh mengenai Perhimpunan Bulanan, beliau berkata  ia merupakan platform terbaik untuk  menghimpunkan semua warga JHEWA sebulan sekali  sebagai satu wadah interaksi dan pertukaran ilmu.

“Menerusi Perhimpunan Bulanan ini warga JHEWA akan sentiasa dimaklumkan dengan perkembangan terkini dan tanggungjawab yang mereka perlu tunaikan dengan baik.

Selain itu ia adalah sebagai satu bentuk motivasi dan penghargaan yang mana  Anugerah Pekerja Contoh Bulanan (APCB) turut diperkenalkan dan disampaikan pada majlis ini,” katanya sambil berharap usaha itu mampu mempertingkatkan prestasi kerja semua warga JHEWA.

Bagi memenuhi keperluan Learning Organization, Siti Sapoo berkata  perkongsian ilmu juga turut diadakan dengan penglibatan setiap warga jabatan.

“Dengan cara ini,  bukan sekadar wujudnya budaya percambahan minda tetapi ianya mampu membina keyakinan diri para pegawai yang terlibat."

Sementara itu beliau memaklumkan beberapa program, telah dirancang seprti Bengkel Wanita Berwibawa di Keningau pada 23 September ini dan juga sambutan Hari Wanita yang akan dijadualkan kemudian.

Pada majlis itu empat warga JHEWA  menerima Anugerah Pekerja Contoh Bulanan (APCB) bagi bulan Julai dan Ogos.

Penerima APCB Julai, kategori Pegawai Contoh ialah  Sunarti Sanijan dan Sicdie Naduha pula menerima anugerah tersebut bagi kategori Pelatin Azam Contoh.

Bagi bulan Ogos pula Aminah Jikor menerima anugerah bagi kategori Pegawai Contoh dan Abdul Rahman Killi (Pelatih Azam Contoh).

Selain itu majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Penghargaan kepada pelatih Skim Sangkutan Latihan (Graduan) dan Latihan Industri.

Penyampaian anugerah dan sijil tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun yang menjadi tetamu kehormat pada majlis itu.

Hadir sama, Setiusaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hel Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Asnimar dan Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Mariati Robert.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian karaoke dan tarian Manuk-manuk lambukun yang disertai Azizah, Asnimar, Siti Sapoo dan jemputan.

Sementara itu seramai 21 pengunjung bertuah senyum ceria  membawa pulang hadiah berupa hamper.

No comments:

Post a Comment