BANTAH......Penulis
melahirkan bantahan menerusi poster ini yang disiarkan di blognya.
Oleh : UTHAYA SHANKAR
KALAULAH saya secara
membuta-tuli ditakdirkan percaya bulat-bulat pada panduan yang khabarnya
disahkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), maka saya akan mula
memikirkan serta mempercayai bahawa majoriti rakan-rakan saya adalah golongan
lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Apatah lagi, Bernama dan
Utusan Online pada 12 September melaporkan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd
Puad Zarkashi sebagai berkata bahawa “tidak ramai dalam kalangan masyarakat
yang memahami atau mengenali simptom LGBT, khususnya tanda-tanda awal
terjebak”.
Laporan penuh di akhbar Sin
Chew Daily pada keesokan hari memberi gambaran lanjut yang sekadar membuktikan
kekhilafan dan kejahilan KPM dan sekutunya terhadap isu sebenar.
Apatah lagi apabila
dilaporkan bahawa kementerian berkenaan mengesahkan (mengendors, kata Kamus
Dewan) garis panduan berkenaan yang diterbitkan oleh Yayasan Guru Malaysia Bhd
serta Majlis Rundingan Persatuan Ibubapa dan Guru Putrajaya.
“Dimaklumkan juga bahawa
seminar ini adalah anjuran NGO yang prihatin terhadap isu tersebut.” Demikian
kenyataan di laman Facebook “Official: Kementerian Pelajaran Malaysia” pada 15
September.
Panduan yang dikeluarkan
pada Seminar Keibubapaan Dalam Menangani Isu LGBT di GeorgeTown, Pulau Pinang
kononnya bertujuan membantu ibu bapa dan
guru mengenal pasti tanda-tanda (simptom, kata Kamus Dewan) LGBT dalam kalangan
pelajar dan remaja.
Serta-merta panduan yang
bodoh dan membuktikan kejahilan itu mendapat maklum balas daripada orang ramai;
tidak sekadar golongan LGBT. Namun, tentulah reaksi itu tidak disiarkan media
arus perdana. Mujurlah ada media alternatif dan jaringan media sosial seperti
Facebook untuk membantu orang ramai mendapatkan fakta sebenar.
Menurut panduan yang
dikeluarkan “NGO yang prihatin” itu, tanda-tanda seorang remaja/pelajar menjadi
gay adalah apabila dia memiliki (atau mahu memiliki) tubuh yang berotot
(muscular); serta suka menayangkan tubuhnya dengan cara memakai pakaian yang
mendedahkan seperti kemeja berkolar potongan V (V-neck) dan kemeja-T tanpa
lengan.
Pakaian yang digemari
golongan gay — menurut panduan yang disediakan “pakar-pakar” itu — adalah
pakaian ketat dan warna terang. Mereka juga suka membawa beg tangan menyerupai
beg tangan wanita.
Tanda-tanda untuk mengenal
pasti remaja/pelajar perempuan yang mengamalkan cara hidup lesbian adalah lebih
mudah: Mereka suka meluangkan masa (“hanging out”) dan makan (“dining”)
bersama-sama wanita.
FACEBOOK.....Kenyataan
akhbar KPM di Facebook pada 15 September 2012.
Saya katakan “lebih mudah”
kerana sekiranya panduan bodoh itu dijadikan ... err, panduan ... maka setiap
wanita yang normal adalah lesbian. Lihat sahaja pada waktu rehat panjang setiap
hari Jumaat, berapa ramai wanita yang meluangkan masa, makan dan membeli-belah
bersama-sama “teman” wanita!
Sebagai seorang pengamal
media dan perunding media, saya dapat melihat betapa Barisan Nasional (BN)
sedang menggali kubur sendiri (atau melakukan sabotaj dari dalam) melalui
pelbagai tindakan “kurang bijak” (baca: bodoh) sejak belakangan ini.
Petikan perenggan di atas
adalah daripada tulisan saya bertajuk “Tweet dan pertahan Putrajaya?” (TMI, 3
September 2012) dan ternyata masih sesuai bagi menjelaskan perkembangan terbaru
berkaitan isu LGBT.
Pada awal November lalu,
pernah kecoh tentang program Seksualiti Merdeka yang dikatakan menggalakkan
seks bebas. Salah seorang individu yang saya wawancara bagi makalah “Apa kes
Seksualiti Merdeka?” (TMI, 29 November 2011) berkongsi pendapat bahawa orang
politik mula bersuara lantang menentang LGBT kerana “Pilihan Raya Umum Ke-13
semakin hampir”.
Saya tidak dapat menolak
pandangan itu kerana setiap kali menjelang pilihan raya, politikus dan
juak-juaknya akan semakin teruja untuk mempamerkan kebodohan yang sudah
mendarah-daging dalam diri mereka. Kalau tidak percaya, beranikanlah diri
membaca akhbar-akhbar dan/atau menonton berita di stesen televisyen yang
dikuasai pihak berkenaan.
Berbalik pada panduan yang
disediakan oleh “NGO yang prihatin” dan “diendors” KPM (atau sekurang-kurangnya
oleh Puad?), terbukti ia menjadi bahan lawak terbaik pada masa kini — sebagai
tambahan kepada pelbagai lawak bodoh yang dipersembahkan Badut Paul Lathic
setiap hari, tentunya.
Misalnya, dinyatakan bahawa
tanda-tanda seorang gay adalah apabila dia memiliki (atau mahu memiliki) tubuh
yang berotot (muscular). Jangan lupa bahawa “panduan pakar” ini adalah bagi
membantu guru dan ibu bapa memantau pelajar/remaja. Maknanya, ibu bapa perlu
berhati-hati jika anak mereka memiliki (atau mahu memiliki) tubuh yang berotot.
Untuk itu, secara logik, remaja berkenaan akan berminat pergi ke gimnasium.
Saya menghubungi beberapa
rakan yang mengusahakan dan/atau menjadi jurulatih di gimnasium di sekitar
Lembah Klang. Mereka mengesahkan bahawa umur minimum untuk menjadi ahli di
gimnasium adalah 18 tahun. Ada kelonggaran bersyarat bagi remaja bawah umur
jika datang mendaftar bersama-sama ibu/bapa.
Maka, sekiranya ada ibu bapa
yang cukup bodoh untuk akur pada “panduan pakar” yang disediakan oleh “NGO yang
prihatin” maka bayangkan apa yang akan berlaku kepada remaja yang mahu pergi ke
gimnasium bagi tujuan kesihatan dan menambah otot pada tubuh.
Saya mempunyai alasan untuk
mempercayai bahawa segala tindakan bodoh seperti ini yang dilakukan pihak
tertentu sebenarnya berniat jahat dan secara jelas mahu menzalimi golongan
minoriti. Kelompok monoriti memang sentiasa menjadi mangsa di negara bertuah
ini. Malah, dengan “sokongan” pemerintah.
Garis panduan yang
dikeluarkan ‘NGO yang prihatin’ akhirnya menjadi bahan lawak dan publisiti.
Seperti yang saya tegaskan
dalam novel “Panchayat: Edisi Khas” (2012), saya menentang sekeras-kerasnya
segala bentuk penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan
oleh mana-mana pihak; khususnya politikus dan pihak berkuasa.
Dua hari lalu, kenyataan
akhbar dikeluarkan menerusi Facebook oleh “Official: Kementerian Pelajaran
Malaysia” untuk menjelaskan bahawa “KPM tidak pernah mengesahkan kepada
mana-mana pihak untuk menyediakan atau mengeluarkan garis panduan tersebut
untuk diedarkan ke sekolah-sekolah.”
Kenyataan akhbar yang sama
turut mengesahkan, “KPM juga memandang berat kes-kes gejala sosial yang berlaku
dalam masyarakat dan sentiasa memberi bimbingan secara langsung dan tidak
langsung kepada semua murid untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan
gejala-gejala yang tidak sihat.”
Khabarnya Seminar
Keibubapaan Dalam Menangani Isu LGBT sudah diadakan sebanyak sepuluh kali di
Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Ya, tentu sahaja oleh “NGO yang
prihatin” dan saya percaya “KPM tidak pernah mengesahkan” apa-apa yang
dilakukan penganjur terbabit untuk merosakkan (meracuni) minda masyarakat.
Pada 14 September, saya
menghadiri jamuan perpisahan di Brickfields bagi seorang rakan yang akan
melanjutkan pelajaran di luar negara. Saya sengaja memakai kemeja-T ketat dan
berkolar V sebagai tanda bantahan terhadap garis panduan yang dikeluarkan “NGO
yang prihatin”.
Biasanya saya jarang memakai
V-neck dan tidak pernah membawa beg tangan menyerupai beg tangan wanita. Malah,
saya kurus dan tidak termasuk dalam kategori “muscular”. Dengan adanya garis
panduan yang kini dijaja ke seluruh negara, saya boleh menarik nafas lega
kerana orang ramai tidak akan tersalah tafsir beberapa foto terbaru yang
diambil di Alfiearth Studio pada 2 September di mana saya tampil tidak berbaju
(barechested).
Sementara itu, sekiranya
anda melakukan pencarian di Google, anda akan menemui foto-foto di mana Datuk
Seri Najib Razak (Perdana Menteri tercinta), Datuk Seri Hishammuddin Hussein
(Menteri Dalam Negeri tercinta) dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Ketua Pemuda
Umno tercinta) memakai kemeja dengan kolar potongan V.
Tentu ibu bapa dan keluarga
para pemimpin BN itu perlu membaca garis panduan yang disediakan “NGO yang
prihatin” dan mengambil tindakan segera sebelum Najib, Hishammuddin dan Khairy
“terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat” seperti dibimbangi pemerintah.
(NOTA
: Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah Presiden
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media,
Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau
juga suka menonton filem).
No comments:
Post a Comment