MENTERI Pengajian Tinggi
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya keputusan pengurusan sebuah kolej
swasta di Cheras memberhentikan seorang pelajarnya berikutan insiden menunjuk
punggung ke atas gambar pemimpin negara telah dipertimbangkan dengan
sewajarnya.
Beliau berkata tindakan itu
wajar dilakukan kerana ia telah mencemar nama baik institusi pengajian tinggi
berkenaan.
"Saya percaya keputusan
memberhentikan pelajar itu telah dipertimbangkan sebaik-baiknya sehingga
membawa kepada pemecatan itu," katanya kepada pemberita di Bangi malam
tadi.
Beliau mengulas mengenai
seorang pelajar semester tiga Diploma Multimedia Kreatif sebuah kolej, yang
ditahan semalam dan kemudiannya dibebaskan berhubung insiden menunjuk punggung
ke atas gambar pemimpin negara pada sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka,
malam Khamis lepas.
Difahamkan pelajar itu
diberhentikan serta merta untuk mencerminkan pendirian pihak kolej yang tidak
akan berkompromi dengan sebarang tingkah laku menyalahi undang-undang negara.
Ditanya sama ada pelajar itu
boleh merayu untuk menyambung semula pengajiannya, Khaled berkata ia terpulang
kepada budi bicara kolej berkenaan.
Beliau, bagaimanapun berkata
pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajar terbabit,
juga telah diberhentikan serta merta.
Terdahulu, Khaled menghadiri
majlis tinjauan mesra menteri bersama pelajar Kolej Keris Mas sempena Minggu
Mesra Pelajar Sesi Akademik 2012-2013 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
di Bangi.
Dalam ucapannya, beliau
menasihati pelajar supaya memahami dan menghayati matlamat berada di universiti
iaitu untuk menguasai ilmu pengetahuan.
"Anda perlu memahami
kebebasan. Tapi ia tidak bermaksud kita membuat apa yang kita suka dan
melanggar undang-undang negara," katanya.
Seramai 521 pelajar baru
mendaftar masuk ke Kolej Keris Mas untuk sesi akademik 2012-2013. Mereka antara
3,180 pelajar baru yang mendaftar di UKM sesi tersebut. (Bernama)
No comments:
Post a Comment