KENINGAU - Timbalan Ketua
Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini menyifatkan tindakan
pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang memohon maaf melalui akaun
Tweeternya berhubung komennya mengenai bantahan terhadap penyiaran sebuah filem
anti-Islam, sebagai langkah psikologi untuk mengawal kerosakan, dan tidak
ikhlas.
Beliau berkata Ngeh
sepatutnya segera memohon maaf selepas menyiarkan komennya yang menyifatkan
perbuatan umat Islam di negara ini membantah penyiaran filem berkenaan sebagai
tindakan membuang masa, bukan mengambil masa untuk berbuat demikian.
Katanya walaupun Ngeh
memohon maaf kemudiannya, hakikat yang tidak boleh diubah ialah beliau pada
mulanya berdegil dan enggan memohon maaf berhubung kenyataannya yang mempersoal
reaksi umat Islam terhadap filem bertajuk "Innocence of Muslims" itu.
Sambil menyelar Ngeh kerana
tidak peka terhadap perasaan umat Islam, Salleh berkata Ngeh hanya memohon maaf
selepas dikritik banyak pihak, khususnya umat Islam.
"Jelas sekali, ini
lebih merupakan psikologi bagi mengawal kerosakan. Ia hanya dibuat setelah
memikirkan akibat daripada perbuatannya itu. Ngeh menarik balik kenyataannya
melalui Tweeter itu apabila didesak berbuat demikian kerana takut akibat yang
akan ditanggungnya daripada segi politik.
"Komen Ngeh itu
mencerminkan belang sebenar para pemimpin DAP. Bayangkanlah sekiranya DAP
berkuasa. Sekarang pun, seperti yang terpamer melalui tweet Ngeh, para pemimpin
DAP tidak peka terhadap perasaan orang lain, terutama umat Islam," kata
Salleh ketika berucap pada satu majlis anjuran Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah
(USBO) Cawangan Keningau di Kampung Kota Ayangan, dekat sini.
Perhimpunan itu turut
dihadiri Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Sairin Karno, yang juga
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Liawan, dan Adun Bingkor Datuk Justin
Guka.
Dalam tweetnya tiga hari
lepas, Ngeh dikatakan mempersoal hasrat ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin
untuk mengadakan bantahan terhadap penerbitan filem itu dan bertanya sama ada
umat Islam membuang terlalu banyak masa dan tenaga berkaitan isu itu.
Filem bajet rendah arahan
Sam Bacile dari California itu menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan mencetuskan
bantahan besar-besaran di seluruh dunia Islam.
Sementara itu, Salleh, yang
juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata sebagai sebuah badan bukan
kerajaan, USBO yang menyokong Barisan Nasional (BN), menyatakan sokongannya
kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sabah Datuk
Seri Musa Aman.
Beliau juga menggesa
golongan muda, khususnya daripada masyarakat Bajau di Sabah, supaya mendaftar
sebagai pengundi dan menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya umum
akan datang. (Bernama)
No comments:
Post a Comment