Oleh : MOHD FARHAN DARWIS
KUALA LUMPUR : Tindakan
sesetengah individu yang membawa bendera baru untuk menggantikan Jalur Gemilang
sewaktu Himpunan Gabungan Janji di Dataran Merdeka padfa malam ambang
Kemerdekaan telah menerima kecaman daripada pelbagai pihak dan tindakan itu
juga turut disifatkan sebagai biadap.
Dipetik laporan Sinar Harian
hari ini, beberapa individu dan organisasi menyuarakan rasa kecewa dan marah dengan
tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab membawa bendera seakan-akan bendera
Singapura dan Indonesia itu ketika perhimpunan tersebut.
Menteri Besar Terengganu,
Datuk Seri Ahmad Said menyelar tindakan individu terbabit dan mempersoalkannya
sebagai tidak menghormati kedaulatan negara.
"Apa perlu kita ubah
bendera? Apa niat yang cuba disampaikan? Kita selesa dengan apa yang kita ada
dan membuat bendera bukanlah perkara mudah kerana ada rasional disebaliknya.
"Apakah kita ingin
mentafsir semula negara? Itu tidak betul. Mereka tidak menghormati Jalur
Gemilang. Ini gambaran sikap pembangkang yang ingin ubah semuanya? soalnya.
Sementara itu, sayap pemuda
Pertubuhan Pribumi Perkasa, Wira Perkasa menyelar kumpulan berkenaan dan
menganggap mereka tidak menghormati raja-raja Melayu.
"Wira Perkasa memandang
serius perkara ini, kami menganggap pihak itu tidak bertanggungjawab dan tidak
menghormati negara dan raja-raja Melayu.
"Sikap-sikap yang tidak
bertanggungjawab ini kebudak-budakan. Apakah tujuan sebenar mereka? Adakah mahu
negara ini menjadi republik?" soal Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris.
Sementara itu, Tokoh Belia
Negara 2011, Mohammad Rizan Hasan melihat tindakan itu sebagai kurang ajar, dan
perbezaan fahaman politik tidak seharusnya mengetepikan semangat nasionalisme
dan patriotisme.
"Demokrasi memerlukan
rakyatnya matang menggunakan hak berfikir untuk melakukan sesuatu. Perbezaan
fahaman politik tidak seharusnyamengetepikan semangat nasionalisme dan
patriotisme.
"Amat melampau dan kurang
ajar pihak yang bersungguh-sungguh mahu menukar Jalur Gemilang kepada bendera
lain seakan-akan bendera Singapura dan Indonesia," katanya dipetik Sinar
Harian.
Beliau turut menegaskan
sikap kumpulan terbabit menyemai rasa benci kepada negara amat menjijikkan dan
ia merupakan perbuatan yang memalukan untuk diangkat sebagai warganegara
Malaysia.
Bagaimanapun, pemimpin
pembangkang menegaskan mereka tidak memberi sebarang arahan untuk membawa
bendera lain untuk menggantikan Jalur Gemilang bagi menimbulkan provokasi.
"Jawatankuasa Gabungan
Janji, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya tidak memberikan arahan untuk
mengedarkan risalah menukar Jalur Gemilang kepada bendera yang dikibarkan
sekumpulan remaja di Dataran Merdeka kelmarin.
"Oleh kerana ramai yang
hadir untuk menyambut merdeka, saya tidak tahu siapa mereka sebenarnya.
"Sepatutnya mereka
tidak boleh berbuat demikian kerana kita perlu hormat Hari Kemerdekaan,"
katanya.
Naib Presiden PKR, Tian Chua
menegaskan agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi negatif terhadap
himpunan Hari Kemerdekaan dan Gabungan Janji yang berlangsung secara aman
kelmarin.
"Saya tidak tahu
tentang bendera ini walaupun saya hadir, namun saya berpendapat kemungkinan
tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab mahu mencetuskan spekulasi.
"Saya harap semua pihak
tidak merosakkan suasana sambutan Kemerdekaan dengan spekulasi isu bendera
ini," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment