Oleh : ROPIKAH AHMAD
KUALA LUMPUR : Perdana
Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membidas segelintir pihak yang sanggup
menyebar kepalsuan dan fitnah semata-mata untuk menghasut pelajar membenci
kerajaan menjelangnya pilihan raya kampus.
Beliau berkata demikian
berikutan tersebarnya sepucuk surat yang menggunakan kepala surat UMNO dan
ditandatangani oleh Presiden parti.
“Ini satu perbuatan yang
menunjukkan pihak tertentu begitu terdesak dan sanggup menggunakan apa cara
sekali pun termasuk menyebar fitnah secara bertulis yang telah dapat dikesan
oleh kita dan kononnya ditulis oleh saya atas nama Presiden UMNO,” katanya.
Surat tersebut ditujukan
kepada Prof. Dr. Zaleha Kamaruddin, Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
yang menyatakan pelantikan Datuk Prof. Madya Dr. Mizan Hitam sebagai Timbalan
Rektor Hal Ehwal Pelajar UIA menggantikan Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood
berkuat kuasa serta merta.
“Surat yang palsu ini
menyatakan bahawa ia adalah bertujuan membawa kejayaan dan kegemilangan kepada
pro-Aspirasi untuk memartabatkan bangsa dan negara berlandaskan Perlembagaan
UMNO.
Tegasnya, ini adalah contoh
bagaimana mereka ini dalam keadaan tertekan dan sanggup lakukan apa saja untuk
sebarkan kebencian kepada kerajaan.
“Surat ini adalah satu
fitnah yang saya nafikan sekeras-kerasnya malah saya tidak pernah mengeluarkan
surat parti atas pelantikan mana-mana anggota dalam universiti,” tegasnya.
Ujarnya lagi, perkara ini
boleh disahkan oleh pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi. (MediaUMNO)
No comments:
Post a Comment