Saudara Pengarang,
FIRMAN Allah, maksudnya:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu,
kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada
Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam
golongan yang sujud.
Allah berfirman:
"Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku
perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau
(wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah”
(Surah Al-A'raaf 7:11-12).
Sukacita saya mengulangi apa
yang pernah saya ucapkan sebelum ini, bahawa kita hendaklah merdeka daripada
penjajahan. Ini kerana penjajah membawa fahaman yang berlawanan dengan ajaran
Islam. Penjajah yang membawa fahaman sekular dan kebangsaan, sedangkan fahaman
ini ditolak oleh Islam.
Sebagaimana sifat iblis yang
suka menghasut manusia supaya berbuat sesuatu yang berlawanan dengan perintah
Allah. Sifat iblis ini adalah suatu penjajahan atas manusia yang beriman, maka
iblis adalah penjajah pertama terhadap manusia. Oleh itu, kemerdekaan dari
hasutan iblis adalah wajib, dan sebagaimana kita juga wajib merdeka dari
fahaman kebangsaan dan sekular yang dibawa oleh penjajah.
Di dalam Al-Quran, seperti
mana maksud ayat Surah Al-A’raaf di atas bahawa datuk manusia yakni Adam dan
Hawa pernah dihasut oleh iblis ketika dalam syurga. Iblis menjalankan
‘penjajahan’ agar Adam dan Hawa mengikut hasutannya memakan buah dari pokok
yang dilarang oleh Allah. Iblis melaksanakan pendekatan ‘ghurur’ dengan memujuk
secara tipu daya, kononnya apabila memakan buah larangan itu Adam dan Hawa akan
kekal selama-lamanya di dalam syurga.
Hakikatnya, pujukan iblis
itu merupakan suatu penipuan ke atas manusia yang memang ada kelemahan (lupa).
Akibat pujukan dan tipu daya iblis, lalu manusia yang lemah itu terpengaruh.
Justeru itu Adam terpengaruh. Akibatnya Adam dimurkai Allah, lalu Adam dan Hawa
dihalau keluar dari syurga dan dihumban ke dunia.
Walau pun begitu, Adam dan
Iblis tetap berbeza. Adam telah mengaku salah dan memohon keampunan dari Allah.
Sementara iblis tetap engkar untuk tunduk kepada perintah Allah, malah bersikap
angkuh terhadap tuhan yang menciptanya.
Iblis juga mempersoalkan
perintah Allah agar sujud kepada Adam dengan katanya: "Aku lebih baik
daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau
jadikan dari tanah.”
Iblis bangga dengan sifat
api yang menyala dan meruap ke atas, sedangkan Adam dipandang hina kerana sifat
tanah berada di bawah. Iblis tidak sujud sedangkan malaikat yang dicipta dari
cahaya sanggup sujud kerana patuh perintah Allah SWT.
Inilah perbezaan besar sifat
iblis dengan manusia. Atas perbezan inilah, sewajarnya kita kena merdeka diri
dan negara ini daripada sifat iblis yang dilaknat Allah. Oleh kerana itu,
semangat kesatuan di bawah sebuah negara merdeka, Hari Malaysia yang berlaku
pada 16 September 1963 sejak dulunya, (masuk 50 tahun) harus dikenang dan
dijadikan landasan bagi mengisi negara dengan nilai kemerdekaan menurut
semangat Islam. Kita hendaklah mengisinya dengan prinsip dan sistem bernegara
yang diajar oleh Islam.
Maksudnya di sini, kita
tidak boleh mengisi negara ini dengan pemikiran penjajah Inggeris yang mirip
menghasut umat Islam menerima fahaman mereka – menolak prinsip dan sistem
bernegara yang diajar oleh Islam. Sedangkan umat Islam diajar oleh Nabi
Muhammad SAW agar mengisi dan melaksana urusan negara ini berpandukan prinsip
dan ajaran Islam. Inilah amanah Allah kepada semua umat manusia tidak kira
Melayu, Cina, Inggeris mahu pun Arab.
Sesungguhnya, manusia sedia
memikul amanah Allah, sebagaimana firman-Nya (bermaksud): “Sesungguhnya Kami
telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta
gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak
dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk
memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya)
sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah
suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut
dikerjakan” (Surah Al-Ahzaab 33:72).
Di atas kesanggupan memikul
amanah tersebut, sebagai umat yang beriman tidak kira Melayu, Cina, India, mahu
pun Inggeris atau Arab; kesemuanya haruslah menjadikan dunia ini sebagai medan
melaksana amanah Allah. Medan (dunia) menuju ke akhirat. Justeru segala isi
alam ini (langit dan bumi) adalah kepunyaan Allah. Oleh itu, mana-mana pihak
yang mengambil prinsip selain apa yang diamanahkan-Nya, maka ia hendaklah ditolak.
Cara menolaknya mengikut lunas sekarang ialah jangan mengundi mereka.
Ambillah pengajaran daripada
apa yang berlaku sekarang, apabila dunia kini sudah berubah. Lihatlah peristiwa
‘Arab Spring’ yang menyaksikan di beberapa negara sudah menolak pemimpin dan
kerajaan yang bersengkongkol dengan Barat atau menjadi talibarut Israel. Ia
berlaku di Mesir, Tunusia, Libya, Algeria dan sekarang di Syria.
Inilah hakikat kebangkitan
golongan yang ingin mengisi negara yang merdeka dengan amanah Allah. Mereka
bersedia meletak agama bagi mengisi dunia menuju akhirat. Realiti ini sudah
berlaku di Kelantan sejak 22 tahun dulu yang kini sedang bermula pula di dunia
Arab.
Semoga Allah sentiasa
memberi petunjuk untuk kita terus berusaha melaksanakan amanah Allah di dunia
ini.
Salam Hormat,
TUAN GURU DATO’ BENTARA
SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
merangkap Al-Mursyidul Am PAS.
No comments:
Post a Comment