Tuesday 25 September 2012

SPR TIADA KUASA HUKUM PELOMPAT PARTI




KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai apa-apa kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang untuk menentukan hukuman ke atas wakil rakyat yang melompat parti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri dan Akta Pilihan Raya 1958 hanya memberi kuasa kepada SPR dalam menentukan kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Speaker DUN.

“Kuasa tersebut diberikan mengikut peruntukan Fasal (1) Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, Sub Seksyen 12 (3) Akta Pilihan Raya 1958 dan pelbagai peruntukan dalam Perlembagaan Negeri masing-masing,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Parlimen hari ini.

Karpal Singh ingin tahu sama ada kerajaan bersedia dengan sokongan Anggota Parlimen Pakatan Rakyat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan supaya memperuntukkan undang-undang anti lompat parti.

Mohamed Nazri berkata Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kebebasan untuk berpersatuan kepada setiap individu.

“Sehubungan itu, mana-mana pihak adalah bebas untuk menyertai mana-mana parti tanpa perlu kerusinya dikosongkan,” katanya.

Beliau berkata sebarang cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah persoalan dasar yang perlu dikaji secara menyeluruh di samping undang-undang lain yang berkaitan. (Bernama)

No comments:

Post a Comment