Oleh : JOHAN AZIZ.
NABAWAN: Seorang kanak-kanak
lelaki berusia lima tahun yang dilapor dihanyutkan arus deras dalam tragedi bot karam di Sungai Logonggon
dalam daerah kecil Pagalungan di sini pada Khamis telah ditemui oleh pasukan
pencari di Kampung Bentol, berhampiran dengan Mansalung, Kalimantan Indonesia
pada pagi Ahad.
Seorang penduduk kampung,
Anthony Amin memberitahu kanak-kanak itu ditemui oleh pasukan pencari diketuai
oleh Ketua Kampung Tingkalor Anturi pada jam 9.47 pagi.
Menurut beliau, kanak-kanak
itu bersama ibunya serta saudara mara lain dalam perjalanan ke Kampung Inakak
dengan menaiki sebuah bot injin sangkut menyusuri Sungai Logonggon untuk
menghadiri perkahwinan ipar mereka dari Indonesia.
“Mereka bertolak dari
Kampung Salung pada jam 6.30 petang dan
disebabkan perjalanan dalam keadaan yang gelap, bot terbabit merempuh batu
besar di kawasan itu,” katanya.
Anthony berkata, dia sendiri
telah dihubungi oleh ahli-ahli rombongan yang menjalankan operasi mencari
berhubung penemuan kanak-kanak itu.
Menurutnya, Sungai Logonggon
mengalir terus ke negara jiran Indonesia menuju ke Mansalung dalam daerah
Lumbis, Kalimantan.
Beliau memberitahu mayat
kanak-kanak itu sudah dibawa balik ke Kampung Salung pada hari ia ditemui.
Sementara itu, Ketua Polis
Daerah Keningau, Deputi Superitendan Robert Salisip @ David ketika dihubungi di
sini kelmarin, mengesahkan penemuan mayat kanak-kanak itu.
Pada kejadian Khamis jam
8.20 malam itu, seorang ibu berusia 37 tahun mati lemas dan anak lelakinya
berusia lima tahun hilang dibawa arus deras Sungai Logonggon selepas bot yang
mereka naiki dengan lima orang lain
merempuh batu besar.
Mayat wanita (ibu) yang
dikenali sebagai Pangayou Linaas ditemui penduduk kampung lebih kurang lapan
kilometer dari tempat kejadian sementara anaknya (kanak-kanak) yang hilang
dibawa arus deras ditemui di Kampung Bentol, berhampiran Mansalung, Kalimantan
Indonesia pada Ahad.
Lima yang lain bersama-sama
dalam bot itu berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai itu.
Operasi mencari dan
menyelamat dijalankan bersama oleh anggota Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan dibantu
oleh pasukan Polis Marin dan penduduk kampung sepanjang sungai itu pada Sabtu
sehingga mayat kanak-kanak itu ditemui pada pagi Ahad. (UB)
No comments:
Post a Comment