BEAUFORT : Ketua Menteri
Datuk Seri Musa Aman menegaskan kekuatan dan sokongan rakyat terhadap Barisan
Nasional (BN) di Sabah tidak terjejas berikutan tindakan bekas Timbalan Menteri
persekutuan Datuk Yahya Lampong dan tokoh korporat terkenal Tan Sri Ibrahim
Menudin menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Itu hak masing-masing.
Kita akan terus kuat dan mantap serta bersatu padu. Apa yang penting kami akan
menghadapi pilihan raya umum dengan semangat berkobar-kobar bagi memastikan
kejayaan besar BN di Sabah dan di seluruh negara," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Beaufort di
Dewan Pa Musa Beaufort, di sini kelmarin.
Musa yang juga Pengerusi BN
negeri berkata demikian ketika diminta mengulas perkara itu. Semalam, Ketua
Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ibrahim dan Yahya masing-masing
menyertai PKR di Labuan dan Dalit, Tuaran.
Pada pilihan raya umum
lepas, BN hampir menyapu bersih 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 25
kerusi Parlimen dan hanya tewas di kerusi DUN Sri Tanjung (Tawau) dan Parlimen
Kota Kinabalu.
Musa berkata kerajaan BN
akan terus membangunkan negeri ini demi kebaikan rakyat Sabah secara
keseluruhannya.
Terdahulu dalam ucapannya,
Musa meminta rakyat Beaufort menyokong sesiapa sahaja calon yang dikemukakan
pucuk pimpinan parti pada pilihan raya umum akan datang.
"Kalau wakil rakyat
daripada parti pembangkang...apa gunanya. Banyak tempat yang diwakili
pembangkang tidak dapat berbuat apa-apa sebab tiada peruntukan dan tidak boleh
berjumpa Perdana Menteri.
"Kalau wakil rakyat BN,
Perdana Menteri ialah Pengerusi BN dan Ketua Menteri, Pengerusi BN
negeri...senang berbincang. Jadi ini penting kita pastikan wakil rakyat BN
supaya pembangunan dapat diteruskan di seluruh Sabah," katanya.
Parlimen Beaufort kini
disandang bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin yang
baru-baru ini, menyatakan sokongan kepada pakatan pembangkang.
Musa berkata pakatan
pembangkang yang memerintah di empat buah negeri kini ketakutan kerajaan BN
akan mengambil alih kuasa di negeri-negeri berkenaan.
"Sekarang mereka datang
ke Sabah berlagak umpama mengajar itik berenang. Sebenarnya rekod pencapaian
kerajaan BN di Sabah jauh lebih baik. Keadaan politik di tempat mereka kini
terumbang-ambing dan kucar-kacir. Misalnya di Selangor...di sana sini ada
masalah termasuk masalah air.
"Mereka juga menabur
pelbagai janji yang tidak masuk akal. Saya sebagai Menteri Kewangan Negeri tahu
Malaysia akan muflis jika semua diberi secara percuma. Ini satu pembohongan
besar pembangkang...ini tidak betul," katanya.
Musa turut mempersoalkan
:"Kalau semua diberikan percuma, mana untuk pembangunan? Sebagai contoh,
di Sabah sahaja kerajaan negeri membayar emolumen atau gaji penjawat awam
negeri sekitar RM700 juta setahun."
Beliau berharap rakyat Sabah
tidak terpengaruh dengan janji manis pembangkang yang terdesak meraih sokongan
menjelang pilihan raya umum ke-13. (Bernama)
No comments:
Post a Comment