Monday 4 October 2010

HALIK BUKAN KETUA CABANG YANG SAH?



Oleh: MAIL MATHEW

MANTAN Calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tenom pada pemilihan 19 September lalu, Peter @ Phillip bin Lonok menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa bantahannya yang mencabar kesahihan pemilihan parti itu telah ditolak oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), sebaliknya mengesahkan kemenangan Datuk Halik Zaman adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Tegasnya, selagi keputusan mutlak belum diterima daripada JPP yang dipengerusikan Setiausaha Agung PKR yang juga Ahli Parlimen Machang, Sallehuddin Nasution, maka status jawatan Ketua PKR dan barisan kepimpinannya masih tergantung.

“Kita tetap menunggu kata putus daripada pusat kerana kita telahpun mengemukakan bukti yang jelas bahawa pemilihan itu tidak telus dan ada unsure-unsur penipuan termasuk gejala politik wang yang berperanan penting untuk mendorong mengubah keputusan perwakilan,” kata beliau kepada Sabahkini.net kelmarin.

Lonok berkata, beliau tidak bersetuju dengan proses perjalanan pemilihan itu kerana dilihatnya para petugas urusetia tidak menjalankan tugas dan tanggung jawab mereka benar-benar bebas daripada pengaruh sebelah pihak penyandang.

Malahan kata Lonok, agen-agen beliau dinafikan untuk melihat peti-peti undi sebelum ia dikunci dan dibalut sejurus sebelum pengundian dijalankan. Apa yang sebaliknya berlaku semua peti-peti undi sudah siap berbalut dan berkunci sebelum pengundian dimulakan.

“Sebab itu apabila pengundian selesai pada jam 4 petang dan tiba proses pengiraan undi telah terdapat kelebihan 24 undi daripada jumlah perwakilan (jumlah perwakilan 435 manakala jumlah undi dalam peti undi sebanyak 459, lebih 24 undi). Saya mempersoal darimana datangnya undi kelebihan sebanyak 24 orang itu,” tegas Lonok.

Kata Lonok lagi, beliau bukan cerewet dalam soal ini tetapi beliau mahukan keadilan yang sebenar-benarnya. Kalah atau menang baginya adalah adat sesuatu pertandingan tetapi tidak rela menerima kekalahan melalui jalan penipuan.

Ditanya apakah Halik Zaman boleh mendakwa bahawa keputusan yang tidak rasmi dibuat oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah selepas pengiraan semula didapati kemenangan itu memihak kepada Halik boleh diterimapakai Lonok berkata;

“Terpulanglah kepada Halik untuk menginterpretasikan keputusan yang tidak rasmi itu tetapi yang sahih adalah keputusan bantahan saya bila diterima oleh JPP kerana kita mahu pengundian semula perlu diadakan,” jelas Lonok.

Dalam pada itu, Lonok seterusnya meminta para penyokongnya agar bertenang dan bersabar menunggu keputusan rasmi daripada JPP yang beliau jangkakan pasti akan diadakan pemilihan semula sepertimana jaminan yang diberikan oleh pihak pusat kepadanya ketika mengemukakan memorandum bantahan itu di Kuala Lumpur bulan lalu.

No comments:

Post a Comment