Tuesday 12 October 2010

JANGAN SISIHKAN BAJAU SAMA DALAM BAJET 2011


Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

AHLI Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan menyarankan kepada Kerajaan Persekutuan agar kepentingan kaum Bajau Sama di negeri ini mendapat perhatian khusus didalam bajet 2011 yang akan dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 15 Oktober ini.

Abdul Rahman menganggarkan jumlah penduduk kaum Bajau Sama di seluruh Sabah pada tahun 2010 ialah mencecah jumlah seramai 500,000 ribu orang, berdasarkan statistik terkini.

Kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah merupakan kawasan utama penempatan kelompok kaum Bajau Sama di Sabah.

Menurut Abdul Rahman, kaum Bajau Sama perlu mendapat perhatian yang lebih memandangkan kaum itu masih jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi, pendidikan dan juga perkhidmatan awam.

“Sudah tiba masanya untuk kerajaan memastikan ada elemen yang khusus dalam bajet 2011 yang mengambil kira aspek-aspek kemunduran dan kemiskinan yang masih menghantui kaum Bajau Sama di negeri ini,” katanya lagi.

Menurut Abdul Rahman lagi, isu ini penting diberi perhatian oleh pihak kerajaan persekutuan kerana suku kaum Bajau Sama mempunyai dinamik dan berpotensi untuk maju ke depan.

Katanya lagi, apa yang perlu ialah pertolongan spesifik daripada pihak kerajaan bagi memastikan kaum itu tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Jelasnya lagi, satu dana khusus untuk membuat kajian terperinci mengenai kemunduran dan kemiskinan kaum Bajau Sama perlu diadakan.

“Dana tersebut boleh disalurkan terus kepada Persatuan Sama Sabah (PSS) dan United Sabah Bajau Organisation (USBO) yang mewakili kaum Bajau Sama di negeri ini atau Universiti Malaysia Sabah untuk membuat kajian tersebut.”

“Dengan adanya dana tersebut ia dapat membantu kedua-dua persatuan itu untuk memulakan kajian secara terperinci mengenai permasalahan yang menghantui kaum Bajau Sama selama ini,” tambah Abdul Rahman lagi.

No comments:

Post a Comment