Friday 22 October 2010

JPNS TERIMA LESEN PUKONSA TAHUN HADAPAN



Oleh: MAIL MATHEW

BEBERAPA usahawan dan kontraktor bumiputra di Tenom mengalu-alukan langkah kerajaan membenarkan lesen Pukonsa kelas ‘F’ di samping lesen PKK diberi peluang untuk mendapat tender secara berkomputer berkuatkuasa tahun hadapan sepertimana kenyataan Pegawai Pembangunan Negeri, (SDO) Haji Matusin Sunsang baru-baru ini.

Laporan itu memetik, Haji Matusin sebagai berkata bahawa sejumlah RM500 juta telah pun diperuntukkan dalam Bajet 2011 untuk diagehkan berkuatkuasa tahun hadapan khusus kepada projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan projek Pembinaan Infrastruktur Asas (PIAS).

Seorang Usahawan dan Kontraktor Bumiputra Tukimin Haji Tumin @ Ayah Min 59, langkah kerajaan memberi peluang kepada pemegang lesen Pukonsa amat ditunggu- tunggu selain memberi peluang kepada mereka menikmati kontrak melalui tender kerana sebelum ini mereka merungut kerana seolah-olah telah tersisih.

“Syukurlah kerajaan telah mengubah dasar tersebut supaya mereka yang mempunyai lesen Pukonsa mendapat peluang kontrak dari projek Persekutuan, lagi pun mereka ini mempunyai kepakaran dalam serba serbi dalam bidang kerja kerja pembinaan,” tegas Tukimin yang juga merupakan usahawan kontraktor yang terkanan di sini.

Ditanya berhubung garis panduan pihak SDO dalam menerima pendaftaran lesen Pukonsa dan PKK supaya tidak bertindih ketika membuat bidaan dalam sesuatu projek Tukimin berkata,

“Kita tidak risau sangat apa juga peraturan yang perlu diketatkan oleh pihak berkenaan tetapi yang lebih penting ketelusan dan kesaksamaan terhadap semua pemegang lesen agar mendapat peluang sama rata. Itu tugas Penjawat Awam untuk mencari kaedah terbaik bagi menepis tanggapan negatif dan keraguan awam terhadap prosedur kerajaan,” jelas beliau.

Manakala mantan Ketua Daerah yang kini menceburkan diri dalam bidang Keusahawan dan Kontraktor, Haji Maribin Rugin, 67, selain menyambut baik langkah kerajaan itu beliau turut mengalu-alukan penggunaan sistem berkomputer ketika melakukan pengundian berkuatkuasa tahun hadapan.

Tegasnya, sistem berkomputer adalah mekanisma yang terbaik untuk menghapus segala keraguan yang timbul ketika melakukan proses pengundian berbanding sebelumnya secara ‘manual’ yang senantiasa diulit permasalahan kerana ketidak pastian.

“Memang sudah tiba masanya kerajaan kini perlu beralih kepada suatu tahap yang lebih baik dan lebih sistematik dalam mengurus kehendak orang awam. Kita beri peluang kepada Penjawat Awam untuk mengurus pentadbiran yang lebih cekap dan semua pihak perlu menghormatinya,” tegas Haji Maribin.

No comments:

Post a Comment