Thursday 18 November 2010

47 TAHUN MELALUI JALAN BERLUMPUR?



TARIK… Kelihatan penduduk menarik kenderaan pacuan empat roda yang sukar melalui jalan licin.

Oleh: MAIL MATHEW

BELUM pun sampai 100 hari rakyat Sabah menyambut Hari Malaysia ke 47, penduduk Kg Bonor, di Nabawan mula merungut kerana masih bergelumang dengan lumpur setiap kali musim hujan kerana jalan kerbau menuju ke rumah mereka tidak boleh dilalui hatta oleh kenderaan pacuan empat roda.

Jurucakap penduduk Kg Bonor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ampalit Angimun, 51, ketika memberitahu Sabahkini.net bahawa mereka sudah bosan dengan janji-janji kerajaan dan wakil rakyat sejak tahun 47 tahun lalu kerana kampung mereka wujud sejak zaman British lagi.

Tegasnya lagi, beliau sudah berulang kali mengemukakan rayuan tersebut kepada Pejabat Daerah termasuk juga wakil rakyat; namun jawapannya agak sama meminta mereka (penduduk) bersabar kerana kononnya masalah mereka kini sedang dalam perhatian kerajaan.

“Sampai bila kami boleh bersabar sedangkan jalanraya ini sejauh hampir 20 kilometer kami gunakan setiap hari untuk membawa keluar hasil pertanian kami ke pusat bandar untuk dipasarkan. Kalau janji dua atau tiga bulan mungkin juga kami boleh bersabar, tetapi kalau sudah menjangkau 47 tahun, macam mana?” tegas Ampalit yang mengakui jalan kayu balak di masa British diselenggara dengan baik.

Kata Ampalit, beginilah nasib yang menimpa mereka kerana ketika musim kemarau, terpaksa bergelut dengan debu dan musim hujan terpaksa bermandi lumpur pula; seolah-olah mereka belum mengecap erti kemerdekaan yang diperkatakan penduduk Bandar.


Dalam pada itu, seorang penduduk kampung, Palimon Kamunsing, 50, turut menjelaskan bahawa selain mereka, warga pendidik dan kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) Bonor turut mengalami masalah yang sama.

“Selain SK Bonor, terdapat beberapa buah sekolah lagi mengalami masalah yang sama seperti SK Pengaraan, SK. Pohon Batu, SK. Binanun, SK. Nangkawangan dan SK. Mamagun. Tapi macam ini jugalah. Malas sudah kami bising kerana puas merayupun kami pula kena kutuk,” ujar Palimon yang menggesa agar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turun padang memantau keperluan mereka.

Tegas Palimon lagi, keadaan jalan ‘kerbau’ seperti itu menyukarkan pihak guru membawa keperluan mereka termasuk peralatan mengajar ke sekolah kerana pengangkutan awam enggan melalui jalan tersebut kerana khuatir kenderaan mereka akan rosak atau terkubur.

Akibat keadaan jalanraya yang tidak mengizinkan, kata Palimon, banyak jabatan kerajaan terpaksa membatalkan banyak program pembangunan mereka seperti Perkhidmatan Jabatan Kesihatan Bergerak yang sebelum ini mengunjungi kampung itu mengikut jadual, namun kini tergendala berikutan masalah perhubungan.

“Saya amat sedih kerana apabila ada penduduk yang sakit tenat dan memerlukan rawatan di Hospital Keningau tidak dapat dibawa keluar dengan cepat kerana masalah itu. Malangnya ramai yang meninggal dunia tanpa sempat mendapatkan rawatan. Apa daya kami?,” ujar Palimon lagi yang mengakui Kg. Pengaraan, Kg. Pohon Batu A, Kg. Pohon Batu B, Kg. Sumbiling, Kg. Binanun, Kg. Nangkawangan, Kg. Lumiri Tengah, Kg. Mamagun dan Kg. Likowon turut mengalami masalah yang serupa.

No comments:

Post a Comment