Tuesday 23 November 2010

PENGUSAHA BAS TERAJUI LPKP SABAH?



PELUANG….Abdul Rahman gesa beri peluang Bumiputera terajui LPKP Sabah.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PENGUSAHA-PENGUSAHA bas Bumiputera di Sabah meminta Kerajaan Persekutuan supaya memberi peluang individu Bumiputera dilantik menjadi Pengerusi baru Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah supaya masalah membabitkan mereka dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Mereka berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz selaku menteri bertanggungjawab terhadap LPKP bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk V. K Liew yang bertanggungjawab terhadap LPKP Sabah dan Sarawak supaya menimbangkan perkara ini dengan serius demi kepentingan industri pengangkutan awam di negeri ini.

Jawatan Pengerusi LPKP Sabah difahamkan masih kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong yang juga bekas Ahli Parlimen kawasan Batu Sapi dalam satu kemalangan jalan raya, baru-baru ini.

Jurucakap pengusaha terbabit, Abdul Rahman Piut, berkata, banyak masalah yang dihadapi pengusaha Bumiputera di Sabah perlu ditangani dengan sebaik mungkin dan ini memerlukan seorang pengerusi yang boleh memahami masalah mereka serta mempunyai keikhlasan untuk menanganinya.

Katanya, lagi pun sebelum ini, LPKP Sabah telah diterajui oleh pemimpin Bumiputera dan terbukti mereka bukan sahaja peka dengan masalah yang dihadapi pengusaha malah mereka mampu menyelesaikan tersebut.

Antara mereka yang pernah menjadi Pengerusi LPKP Sabah ialah Tan Sri Ampong Puyon, Datuk Nurnikman Abdullah dan Datuk Bung Moktar Raden.

"Perubahan terhadap lantikan Pengerusi LPKP Sabah itu hanya berlaku apabila Datuk V.K Liew telah diberi peranan sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap LPKP Sabah dan Sarawak beberapa tahun lalu," ujar beliau.

Bagaimanapun, menurut Abdul Rahman, perubahan itu tidak memberi impak positif dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi pengusaha pengangkutan awam malah lebih banyak membebankan mereka.

"Kami juga tidak lihat kehadiran Datuk V.K Liew dapat membantu mengembangkan industri pengangkutan awam di Sabah. Beliau juga tidak pernah berjumpa dengan pengusaha atau persatuan yang mewakili pengusaha. Justeru, kita memerlukan seseorang yang lebih berpengalaman dalam bidang ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya peka dengan masalah dan nasib yang menimpa pengusaha Bumiputera sejajar dengan transformasi yang dilakukan dalam kerajaan.

"Kita jangan tunggu sampai pengusaha Bumiputera ini 'sakit hati' baru melakukan perubahan. Kerajaan sewajarnya lakukan sesuatu sebelum nasi menjadi bubur," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment