Wednesday 24 November 2010

ELAUN RM800 UNTUK KK YANG SAH?



Saudara Pengarang,

MERUJUK kepada laporan Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini yang memberitahu Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah melalui Menterinya, Datuk Hajiji Haji Noor akan mengemukakan kertas cadangan kepada kabinet tentang penyelarasan elaun yang melibatkan Ketua Kampung (KK) termasuklah Ketua Daerah (OKK), Ketua Anak Negeri (KAN) dan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) di Sabah amatlah wajar demi menghargai perkhidmatan pemimpin tempatan yang terlibat.

Meskipun demikian, elaun Ketua Kampung (KK) yang akan dinaikkan kepada RM800. sebulan bermula Januari tahun depan sebagaimana dalam Bajet 2011 bagi Kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya juga melibatkan Ketua Kampung di Sabah yang ketika ini menerima elaun sebanyak RM450 sebulan.

Sehubungan dengan perubahan elaun itu yang akan mengakibatkan pengunaan banyak wang rakyat, maka adalah dicadangkan kepada kerajaan melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang menyediakan kertas cadangan itu agar menentukan syarat-syarat dan kelayakan terhadap penjawat jawatan itu termasuklah menetapkan sebuah kampung untuk seorang Ketua Kampung termasuklah berapa bilangan penduduk yang layak mendapat khidmat Ketua Kampung (KK).

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, saya amat berdukacita dengan dakwaan seorang Ahli Jawatankuasa Umno Tuaran, Marsah Muyong yang menyatakan pada masa ini terdapatnya perlantikan Tiga (3) Ketua Kampung di sebuah Kampung di Kawasan Sulaman yang tidakpun mempunyai bilangan penduduk yang ramai dan disebut juga di Sulaman tiada Kampung tetapi ada Ketua Kampung seperti Lok Rantis (Perumahan Laya-laya), Paka (Kg Sabandar), Bambangan (Kg Bolong Baru) dan lain-lain lagi

Jika dakwaan itu benar, maka dalam rangka menyediakan kertas cadangan dan penyelarasan elaun ini ianya akan dapat dikaji semula dan adalah wajar pengurangan Ketua Kampung berlebihan itu untuk menjimatkan wang kerajaan yang hanya untuk perlantikan seorang Ketua Kampung untuk sebuah kampung.

Sehubungan dengan pengubahsuaian elaun Ketua Kampung di Sabah, saya berharap Ketua Menteri, Datuk Musa Aman akan menyiasat dakwan serius perlantikan Ketua Kampung yang telah dilakukan menteri berkenaan dengan sesuka hati demi kepentingan politik yang juga dianggap telah melakukan salah kuasa.

Sekian dan terima kasih.

Yang benar,

ANAK BUAH KETUA KAMPUNG DI SULAMAN

No comments:

Post a Comment