LAWAT….Liew bersama rombongannya sedang melawat ke tapak projek Jambatan simen di lorong 26 Kg Sim-Sim Berhala Darat.
Oleh: SHAIMON S JUMADI
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Kiong berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa peka kehendak masyarakat, khususnya rakyat di kawasan yang diwakilinya dalam memberi apa saja projek demi kepentingan rakyat jelata.
“Bagaimanapun, segala projek yang akan disalurkan akan mengikut kriteria tertentu dan bukannya secara hentam kromo saja dan juga tidak secara mendadak, hari ini dipohon esok sudah diluluskan,” jelasnya.
Liew menjelaskan perkara demikian kepada penduduk Kampung Sim Sim di Lorong Jambatan 26 semasa lawatannya ke tapak projek pembinaan jambatan simen di sini kelmarin.
“Semua jambatan dari lorong ke lorong yang masih menggunakan bahan kayu akan digantikan dengan simen ini untuk jangka masa panjang. Lagipun musim tengkujuh sudah semankin hampir. Jadi dengan keteguhan strukturnya yang bertiangkan konkrit itu, tidak mudah patah bila dilanggar batang balak yang dibawa arus ombak,” kata Liew lagi.
Ketika ditanya mengenai sikap parti pembangkang yang sentiasa menimbulkan isu kegagalan kerajaan membangunkan kemudahan asas dan Sabah miskin di bawah pentadbiran Kerajaan BN, Liew berkata, jika benar rakyat Sabah miskin dan papa kedana, sudah lama BN tumbang di Sabah.
“Sebenarnya parti pembangkanglah yang suka mengarut ‘jual minyak angin’ sana sini dan jual temberang sehingga rakyat bingung kerana realitinya kosong,” tambah Liew.
Sikap angkuh dan sombong serta kejahilan para pemimpin pembangkang yang hanya tahu memaki hamun itu adalah sudah menjadi budaya dan meresap di jiwa sanubari mereka.
“Sudahlah begitu, rakyat diajar menjadi kurang ajar dan terus dihasut menjadi pemberontak dan menyerang kerajaan. Tetapi rakyat sekarang tidak mudah termakan hasutan songsang mereka kerana rakyat kini telah mengenal apa itu pembangunan, apa itu kemajuan dan apa itu kemakmuran,” tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment