Wednesday 24 November 2010

TENOM DAPAT AIR 1MALAYSIA?



Oleh: MAIL MATHEW

PENDUDUK Taman Bahagia Tenom mungkin rakyat Malaysia yang paling bertuah kerana dapat merasai ‘Keenakan Bekalan Air 1Malaysia’ yang berwarna ‘Milo Susu’ dan diperkayakan dengan aroma lumpur yang berbau busuk!

Hati mana yang tidak hancur, remuk dan kecewa kerana Jabatan Air yang kononnya bertanggung jawab membekalkan air bersih kepada pengguna seperti dalam perjanjian bekalan air; sebaliknya air yang dibekalkan sama tarafnya dengan air di lopak atau air kumbahan (pelecahan).

Jurucakap penduduk di Tenom, Stanis Buandi, 35, berkata demikian ketika menghubungi Sabahkini.net menerusi laman facebook (FB) pada Selasa yang menyatakan rasa kekecewaannya terhadap masalah tersebut.

Tegasnya, kadangkala warna air kelihatan cerah sedikit tetapi ketika dijamah airnya akan terasa gatal-gatal dan kulit terus mengembang kerana dipercayai akibat daripada klorin yang berlebihan.

“Kita khuatir jika keadaan sebegini rupa berterusan, besar kemungkinan ia akan mengundang masalah yang besar dari segi kesihatan penggun kerana air yang dibekalkan tidak dirawat dengan sempurna dan tidak terjamin bersih seratus peratus,” tegas Stanis.

Stanis yang juga salah seorang Pegawai Eksekutif syarikat GLC (Government Link Company) menegaskan bahawa pihak tertentu khususnya Jabatan Air di Tenom harus menitik beratkan masalah seperti itu untuk mencari penyelesaian kekal daripada terus berlaku sehingga memudaratkan kesihatan pengguna.

“Jabatan Air hendaklah professional dan sentiasa menjaga piagam pelanggan. Sudahlah kami selalu tidak dapat bekalan air bersih, ditambah pula satu masalah lain seperti air kotor dan berbau busuk. Sampai bila kami boleh bertahan dan biarkan begitu sahaja?” tambahnya lagi.

Jurutera Jabatan Air Tenom tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan berhubung perkara tersebut.

No comments:

Post a Comment