Oleh: SARINA ABDUL GANIH (USM)
KENDATIPUN orang Bajau merupakan penduduk dan pengundi majoriti di negeri Sabah, namun etnik terbesar ini tidak mempunyai karisma dan kuasa mutlak menentukan halatuju dan halacara politik Sabah.
Ketokohan mereka sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua negeri Sabah, Ketua Menteri dan Pemimpin Politik gagal menjenamakan Bajau sebagai satu pakej lengkap yang mendasari perjuangan nasionalisme dan lebih menjurus kepada parokial yang sempit (kedaerahan).
Welstenchauung pengundi Bajau sebagai akibatnya menjadi ‘Pengungsi’ (penumpang) dan ‘Khadam Politik’ dipergunakan oleh pemimpin tertentu untuk menjayakan agenda politik; melakukan rencaman pengaruh bagi mengekang kumpulan tersebut agar boleh dikendali secara mutlak dan tanpa prejudis.
Ketaksuban kepada pemimpin dan ketaatan kepada parti menyebabkan Bajau pantang menderhaka sehingga mereka mudah dijerat dengan pengaruh wang dan anugerah pangkat; sehingga mereka terpesong daripada agenda nasionalisme.
Sehubungan itu, dalam bidang Sosiologi, amalan ini dikenali sebagai ‘Pensuasanaan’ yang ditemui oleh Ivan Pavlov pada 1902. Dalam hasil kajiannya mendapati bahawa jika dia membunyikan loceng dan pada masa yang sama makanan diberikan kepada seekor anjing, anjing tersebut akan menghasilkan air liur dalam mulutnya.
Lantas bunyi loceng sahaja sudah mampu menyebabkan anjing itu berliur walaupun tiada makanan yang diberi. Penghasilan air liur apabila makanan diberi tidak perlu dipelajari memandangkan ia didorong oleh naluri atau tindakan semula jadi bagi anjing tersebut. Bagaimanapun penghasilan air liur semasa loceng dibunyikan merupakan sesuatu yang dipelajari oleh anjing tersebut.
Amat menghairankan ‘feel’ (tabiat buruk) anjing ini turut diikuti oleh Bajau kerana apabila terdengar sahaja ‘loceng’ dari Pejabat Adun atau Parlimen maka mereka terus menyerbu kerana mereka yakin ada ‘ole-ole’ yang disediakan oleh pemimpin, sekalipun hanya sekadar sejadah, RM10 atau nasi bungkus!
Hubungan kekeluargaan yang lama terjalin antara Bajau Sabah dengan Bajau Filipina menyebabkan mereka lebih bersikap ‘Tidak Apa’ dan menghalalkan kehadiran suku sakat mereka daripada Filipina; memperoleh kad pengenalan dan merampas hak mereka sebagai Ketua Cawangan dan pemilih berdaftar.
Hak yang terhakis sedikit demi sedikit akhirnya telah melenyapkan kuasa politik Bajau yang kini bersandarkan ‘Fixed Deposit’ dijana oleh PATI yang mendapat kerakyatan songsang sehingga mereka tidak mempunyai ‘kuasa dan karisma’ di persada politik tanah air.
Bajau yang kehilangan kuasa dan ketandusan pengaruh mula menjadi pelarian politik dengan menyertai parti serpihan yang menjual liur basi tanpa pampatan kuasa legislatif dan birokrasi.
Hambatan kegelinciran politik ini melemahkan semangat nasionalisme Bajau sehingga mereka mudah dipecah, diperintah dan dijajah oleh kumpulan minoriti dan terus disisihkan dalam apa juga bidang; seolah-olah Bajau adalah Pendatang baru dalam arena politik dan sosio-ekonomi di Sabah.
Kedatangan UMNO menyebabkan Bajau semakin berpecah walaupun mereka cuba meletakkan ‘semua telur dalam satu bakul’ kerana tidak semua ahli USNO yang merupakan ahli fanatik kepada perjuangan Tun Mustapha boleh menerima UMNO yang telah menenggelamkan bahtera USNO di Laut China Selatan.
Ada juga pemimpin ‘talam seribu muka’, kononnya berjuang untuk mempertahankan hak Bajau, namun hakikatnya mereka sanggup menjual maruah dan masa depan etnik Bajau semata-mata untuk mendapatkan projek dan menggunakan wang projek untuk membeli kesetiaan ahli dan menurun taraf integriti politik dan identiti mereka.
Natijahnya, Bajau kini seperti Pak Kaduk, menang sorak tetapi kampung halaman tergadai kepada puak minoriti dan jika berterusan nasib mereka akan menjadi seperti umat Palestin yang dikuasai Israel.
Dalam pada itu, etnik Suluk (Rumpun Bajau) yang terkenal dengan identiti ‘Magsabil’ dan mengakui sebagai Pewaris Kesultanan Sulu dan menuntut Sabah sebagai Hak Mutlak mereka berdasarkan Wang Cession yang masih dibayar oleh Kerajaan Malaysia kini semakin marah kerana dilabelkan sebagai salah satu etnik termiskin di Malaysia.
Isu kemiskinan ini didedahkan oleh Pengarah Sektor Pembangunan Insan Bank Dunia (Wilayah Asia Timur dan Pasifik), Emmanuel Jiminez ketika membentangkan Laporan Monitor Ekonomi Malaysia (MEM) baru-baru ini yang mengumumkan bahawa etnik Suluk dan etnik lain seperti Rungus dan Orang Sungai merupakan majoriti rakyat termiskin Malaysia di Sabah.
Betapa malunya mereka yang mengaku sebagai Sultan Sulu dan menggunakan agitasi politik untuk menutup pembohongan mereka setelah tidak ada ‘Rumabichara’ yang boleh menentusahkan Sultan Sulu sebenar dan senario ini dianggap sebagai kecacatan politik antarabangsa kerana mereka adalah rakyat Filipina dan bukannya rakyat Negara Sulu yang diagungkan selama ini.
Agak malang, kaum Suluk yang selama ini menggelarkan diri mereka sebagai hebat dan mempunyai imunisasi kerana boleh memukul sesiapa sahaja sesuka hati, hatta pegawai polis dan penguatkuasa undang-undang; tidak ubah seperti ayam jantan yang kokok berderai-derai tetapi buntut dipenuhi tahi.
Walaupun ramai ahli politik ‘Suluk’ namun mereka enggan mengaku berketurunan Suluk sebaliknya sebagai ‘Bajau’ kerana dianggap lebih bertamaddun berbanding Suluk yang dikaitkan dengan Kesultanan Palsu dan bersikap panas baran.
Semoga semua NGO yang menjadi tempat etnik dan rumpun Bajau bernaung kembali memperkasa perjuangan sebenar mereka untuk menebus semula martabat yang direnjis dengan najis politik; sebagaimana perkasanya PERKASA dan Dewan Perindustrian India Muslim (DPIM) memperjuangkan hak ahli mereka berbanding USBO, SAMA dan sebagainya yang masih lena dengan tari menari!
(NOTA: Penulis merupakan pelajar jurusan Sains Kemasyarakatan daripada etnik Bajau, Sabah. Pandangan penulis tidak mencerminkan pandangan Sabahkini.net)
No comments:
Post a Comment