Saturday 20 November 2010

NKRA TIDAK BERKESAN DI SABAH



Oleh: MAIL MATHEW

TIMBALAN Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Pensiangan, Affendy Hasbollah Angindih @ Lukan, 53, menggesa Kerajaan Barisan Nasiobal membaikpulih dan menaiktaraf jalanraya ke Kg Bonor, Tenom yang tidak pernah diselenggara walaupun permohonan telah dibuat.

Tegasnya, apalah erti kemerdekaan yang telah dilalui sejak 47 tahun lalu jika rakyat masih terus dibelenggu kemunduran sedangkan pelbagai mekanisma telah dibentuk kerajaan dalam misinya menangani kerumitan itu terutamanya NKRA.

“Tetapi persoalan pokoknya sekarang ialah sejauh manakah keberkesanan sistem NKRA yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tahun lalu atau sikap pelaksana yang sengaja melambat-lambatkan proses dan pelaksanaannya,” tegas Affendy.

“Pemimpin dan pegawai kerajaan khususnya Pegawai Daerah dan JKR harus bertanggung jawab memberi penjelasan kenapa masalah tersebut boleh berlaku sedangkan JKKK sudah berulangkali mengajukan masalah itu kepada mereka untuk tindakan,” kata beliau ketika mengulas laporan Sabahkini.net dan akhbar tempatan berhubung isu jalan Kg Bonor yang tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan, termasuk pacuan empat roda.

Kg Bonor merupakan sebuah perkampungan terpencil dalam Mukim Dalit, kira-kira 20 kilometer dari pekan Sook boleh dihubungi dengan menggunakan jalanraya bertaraf gravel dan mengambil masa lebih kurang sejam dalam perjalanan untuk sampai ke pekan dekat situ.

“Saya tidak fikir dalam kecanggihan dunia IT ketika ini masih bermasalah besar dari segi membuat keputusan sehingga sesuatu pelaksanaan pembangunan memakan masa setahun lebih untuk dilaksanakan tetapi kes di Kg Bonor ia tergantung terus sehingga menyeksakan rakyat,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Affendy seterusnya menjelaskan bahawa meskipun PKR belum berkuasa dan membentuk kerajaan di Sabah, khususnya di Pensiangan, tetapi PKR Pensiangan pada ketika ini telah membina pengkalan datanya sendiri untuk menyimpan info kawasan-kawasan miskin dan miskin tegar termasuk lingkaran jalanraya yang perlu dinaiktaraf.

No comments:

Post a Comment