Sunday 28 November 2010

HARTA KARUN DINASTI QIN MULA DIPUGAR



Oleh: MUTALIB M.D

SETELAH hampir berabad lamanya berada di dasar laut, kapal dagang China yang sarat dengan harta karun purba, dipercayai di zaman Dinasti Qin (221 SM-206 SM) yang karam berhampiran Simpang Mengayau Kudat dan ditemui pada 2002 telah menjadi ‘Lubuk Emas’ para pencuri dan pencari harta karun.

Dinasti Qin (Hanzi: 秦朝, hanyu pinyin: Qin Chao) (221 SM - 206 SM) adalah satu dari tiga dinasti yang paling berpengaruh di Cina sepanjang sejarahnya. Dinasti Qin terkenal sebagai dinasti yang pendek umurnya, namun meletakkan dasar-dasar kekaisaran yang kemudian akan diteruskan selama 2,000 tahun oleh dinasti-dinasti setelahnya. Dinasti ini juga adalah dinasti pertama yang mempersatukan suku bangsa beragam di Cina ke dalam entiti tunggal nasional Cina.

Kegiatan mencari dan mencuri harta karun daripada bangkai kapal berkenaan dipercayai bermula sejak 2004, namun arus deras menyebabkan hanya beberapa pemburu harta karun yang berjaya memperolehi harta yang begitu bernilai dan ada di antaranya bernilai jutaan ringgit di pasaran gelap.

Sabahkini.net menerima aduan rasmi daripada seorang Ketua kampung di Simpang Mengayau yang mengadu bahawa sejak tiga hari tiga malam lalu beliau melihat ‘Orang Putih’ menyelam di kawasan bangkai kapal karam dan memunggah keluar banyak harta karun.

“Kami curiga kerana mereka membawa keluar harta karun tersebut pada waktu malam. Kami lihat ada juga polis berkawal tapi jauh daripada tempat mereka menyelam dan hanya sekali sekali kami lihat bot marin. Kami khuatir mereka curi, jadi kami dekati mereka. Mereka tunjuk surat kebenaran Muzium Sabah,” ujar Ketua Kampung tersebut yang meminta namanya dirahsiakan kerana bimbang diancam pihak tertentu.

Menurut Ketua Kampung berkenaan, beliau telah memfailkan aduan rasmi kepada Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Dato` Sri Kamaruddin Siaraf dalam lawatan beliau ke Kudat baru-baru ini kerana bimbang harta karun berkenaan di seludup keluar sebagaimana kejadian sebelum ini.

Ketua Kampung tersebut juga bimbang kerana beliau menerima maklumat sulit bahawa ‘orang putih’ berkenaan telah dihalang atau diharamkan memasuki Indonesia kerana terlibat dengan beberapa insiden mencuri Harta Karun di dasar laut Indonesia dan hairan bagaimana kerajaan boleh membenarkan beliau memasuki Malaysia.

Kerugian besar Kerajaan Melaka dalam insiden Kapal Diana amat membimbangkan Ketua Kampung tersebut kerana mereka turut menggunakan penyelam luar dan kawasan berkenaan belum diwartakan sebagai Tapak Warisan Pelancongan.

Ekoran maklumat yang diterima daripada Ketua Kampung berkenaan, Sabahkini.net telah menghubungi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah untuk mendapatkan maklumat berhubung isu berkenaan.

“Saya difahamkan mereka (syarikat pemugaran yang dilantik Muzium Sabah) terpaksa bekerja hampir 24 jam sehari agar tidak memberi peluang kepada pencuri-pencuri harta karun mengambil kesempatan,” kata Masidi melalui SMS.

Berhubung aduan Ketua Kampung tersebut bahawa Pakar Arkeologi, Flacker dihalang memasuki Indonesia, Masidi berkata pihaknya memerlukan bukti dan bukannya dakwaan liar yang berdasarkan ‘hearsay’ dan mungkin mempunyai motif tersirat.

“Kalau ada dokumen rasmi yang mengesahkan orang berkenaan tidak dibenarkan masuk ke Indonesia kerana kegiatan yang ada kaitan dengan pengambilan harta karun dalam lautan, tolong bagi saya salinan dokumen tersebut agar tindakan yang sesuai boleh diambil. Saya difahamkan orang berkenaan dilantik oleh syarikat tempatan yang dilantik menyelamatkan harta karun tersebut,” ujar Masidi yang meminta agar pencuri dan pencari harta karun tidak mendekati kawasan berkenaan.

Tegas Masidi, sebelum semua artifak tersebut dihabiskan oleh pencuri kerana sukar dikawal, Muzium Sabah terpaksa melantik sebuah syarikat untuk mengeluarkan semua saki baki barang purba yang masih tinggal untuk diserahkan kepada Muzium Sabah.

Dalam pada itu, Pengarah Muzium Sabah, Datuk Joseph Paunis Guntavid, ketika dihubungi berkata, pihaknya dan syarikat konsesi yang dilantik untuk memugar harta karun berkenaan, Kinabalu Implex telah meletakkan pengawasan 24 jam di tapak kapal karam berkenaan bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap usaha cari gali dan pemugaran harta karun tersebut.

“Walaupun polis Marin mengadakan kawalan dari semasa ke semasa, namun kita perlu melakukan pemantauan dan ‘looting’ berterusan. Itulah kelihatan ada kerja-kerja pengawasan sepanjang malam di tapak dan pihak polis marin telah dimaklumkan mengenai perkara ini,” ujar Guntavid yang mengesahkan harta karun berkenaan amat bernilai dari segi antikuiti.

Berhubung dakwaan kononnya Pakar Arkeologi Bawah Laut yang digaji syarikat konsesi, mempunyai rekod buruk dan diharamkan memasuki Indonesia, Guntavid menyatakan pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat mengenai permasalahan itu.

“Lagipun beliau bekerja dengan syarikat konsesi dan pengawasan penuh oleh syarikat dan Jabatan Muzuim Sabah. Tambahan lagi semua temuan dari kapal karam akan terus dibawa balik terus ke makmal Jabatan Muzium Sabah untuk dipulihara. Juga semua selaman akan dibuat bersama dan di bawah pengawasan penuh staf Muzuim Sabah,” ujar Guntavid yang telah menyediakan laporan kemajuan pemugaran harta karun berkenaan dari semasa ke semasa kepada Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah.

No comments:

Post a Comment