Tuesday 23 November 2010

MENGAZAMI KEBIJAKAN BARU PIMPINAN BORNEO



Oleh: NASPAZI

BERSIFAT bijaksana pada darjah yang tertinggi adalah jawapan kepada soalan yang saya kemukakan; sama ada Malaysia berdiri atas nama tiga belas buah negeri dan bukannya tiga buah negara sebagaimana yang ditandatangani di London pada 9 Julai 1963, ataukah ungkapan kata ‘Merdeka’ bagi Sabah dan Sarawak sebenarnya hanya sekadar impian kosong?

Impian umpama kelip-kelip samar dari kegemerlapan yang memancarkan harapan baru, sungguh ia perlu diusahakan secara berterusan untuk menjadikannya kenyataan. “He who stops being better stops being good” - Oliver Cromwell.

Dalam usaha menjadikan harapan baru sebagai kenyataan, tentunya diperlukan suatu perancangan yang dinamik, sistematik dan komprehensif untuk mengelak kemungkinan berlakunya ‘fail to plan means plan to fail’.

Justeru, dalam siri paradigma saya yang lepas, saya telah melancarkan cadangan yang berhubung dengan kepentingan pengwujudan ‘pasukan cendekiawan Sabah’ untuk mengambil tanggungjawab jangka panjang bagi mengemudi negara Sabah dalam konteks persekutuan Malaysia yang lebih baku.

“Alone we can do so little; together we can do so much” - Hellen Keller.

Saya juga faham, bahawa sanya gagasan paradigma ‘Dedalu Menghancurkan Semalu’ tidak lebih dari segugusan imaginasi yang tidak menjadi kudis kepada Melayu UMNO serta barua kuda tunggangannya di Sabah.

Apapun, “Imagination is everything. It is the preview of life’s coming attractions” - Albert Einstein.

Yang demikian, dalam usaha menjunjung konsep kuasa autonomi untuk negara Sabah, yang merujuk kepada perjanjian ‘20 Perkara’ sememangnya memerlukan kebijaksanaan dan kesungguhan tinggi yang bukan kepalang dan berterusan.

“Success is the sum of small efforts, repeated day in and day out.” - Robert Collier.

Lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Demikianlah yang tersirat disebalik ‘Aku Janji’ yang telah dipaksakan oleh pimpinan busuk Melayu UMNO semenjak 2002 hingga kini untuk membaculkan seluruh kakitangan perkhidmatan awam negara.

Justeru, dengan mengambil kira bukti-bukti sejarah kita akan dapat menyaksikan, siapa pengkhianat yang berhubung dengan ungkapan mungkir janji sebenarnya?

Sesungguhnya, ungkapan kata janji memanglah mudah untuk menyebutnya, tetapi tidaklah semudah itu untuk menunaikannya. Sebab itu, ramai bangsa manusia yang mendapat gelaran atau diberi gelaran PGDK (Pendusta Goblok Dasar Khianat) janji gamaknya.

Pada hal, Al-Quran dan Hadis dengan tegas telah memerintahkan bangsa manusia, khususnya umat Islam agar sentiasa menepati janji yang telah dimeterai, sebagaimana firman Allah dalam Al-Quran surah An-Nahl ayat 91 dan surah Al-Isra’ ayat 34 yang bermaksud:

“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah itu sesudah meneguhkannya. Tepatilah setiap janjimu kerana sesungguhnya janji itu pasti diminta untuk dipertanggungjawabkan di hari pengadilan.”

Sudah terang lagi bersuluh, begitu jelas perintah Tuhan kepada bangsa manusia yang baik dan beriman agar sentiasa menjaga, memelihara dan melaksanakan janji sesudah diikrarkan. Betapa perlakuan menepati janji, sama ada janji makro atau janji mikro yang merangkumi ketaatan janji manusia kepada Tuhan, ketaatan janji manusia kepada sesama manusia dan juga ketaatan janji manusia kepada dirinya sendiri merupakan kemuncak ketinggian akhlak yang paling agung.

Justeru, tidak hairanlah jika para nabi dan rasul yang merupakan suri teladan unggul, sebagai penyampai risalah Tuhan kepada bangsa manusia, sentiasa menghiasi diri mereka dengan lilin keagungan akhlak, bersinarkan ikrar janji yang ditepati, hatta kepuncak kesediaan diri untuk dikorbankan di arena penyembelihan.

Demikianlah firman Allah dalam Al-Quran surah An-Najm ayat 37 dan surah Maryam ayat 54 yang bermaksud:

“Dan Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji... Sesungguhnya ia adalah seorang yang benar janjinya...”.

Tidak syak lagi, bahawa sanya amanah dan tanggungjawab menunaikan janji atau menepati janji bukan sahaja sebagai subjek kepada keunggulan akhlak dan budi, tetapi juga menjadi pradikat kepada keluhuran dan kemuliaan integriti. Lantarannya, Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada sarjana agung dalam berbohong dan pemakan najis dusta yang bermaksud:

“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya. Empat sifat itu ialah, apabila diberi amanah ia khianat, apabila bercakap ia bohong, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran.” - Riwayat Ahmad.

Alkisah, menyentuh Sejarah Melayu purba, jelas memaparkan perjanjian di antara ‘Sang Sapurba’ dengan ‘Demang Lebar Daun’. Perjanjian tersebut dimeterai dengan maksud untuk mengelakkan daripada berlakunya permusuhan atau saling menzalimi antara pihak istana dengan pihak warga marhaen.

Walau bagaimanapun, perjanjian tersebut tidak dituruti atau telah dimungkiri sehingga membawa kepada kemusnahan total kerajaan di samping pelbagai penderitaan yang tidak terderita oleh warga marhaen, angkara fitnah dan pembohongan oleh golongan pengamal hasad dengki di atas kebolehan dan kepintaran orang lain gamaknya. Hatta, ramai warga marhaen yang menerima hukuman bunuh atau dihukum bunuh akhirnya.

Syahdan, apa nama kononnya Sejarah Melayu silam juga telah mengisahkan, tentang betapa pembesar istana yang bermahkotakan hasad dengki sambil menjunjung pelita pembohongan dalam ‘Peristiwa Todak Menyerang Singapura’, lantaran kegagalan diri mengakui ketololan yang terasa tercabar oleh kepintaran seorang budak (Hang Nadim), lantas apa nama kononnya:

“Banyaklah sudah mati orang kita dibunuhnya. Paduka Seri Maharaja kemudiannya telah menitahkan supaya rakyat berkubukan betis bagi mengelak serangan tersebut. Tindakan Paduka Seri Maharaja telah membawa korban kepada rakyat. Tindakan dan cadangan Paduka Seri Maharaja itu tidak dipersetujui oleh seorang budak yang kemudian mencadangkan rakyat berkubukan batang pisang. Kemudian banyak todak dapat dibunuh. Tetapi, kepintaran budak itu bukan sahaja tidak dihargai, bahkan telah menimbulkan rasa iri hati di kalangan pembesar istana.

Justeru, pembesar istana kemudian telah mengajukan kepada Seri Paduka Maharaja agar budak itu dibunuh saja sebagaimana disebut: ‘Tuanku, budak ini terlalu sekali besar akalnya. Sedang ia budak lagi demikian, jikalau ia besar berapa lagi banyak akalnya. Baiklah ia kita bunuh’. Pandangan pembesar diterima oleh Paduka Seri Maharaja. Maka budak (Hang Nadim) yang dianggap pintar pun akhirnya dibunuh”.

Begitu juga dalam hikayat ‘Penyulaan anak Sang Rajuna Tapa’. Apa nama kononnya, di zaman pemerintahan Raja Iskandar Syah, anak Sang Rajuna Tapa merupakan seorang gadis yang cantik dan sangat dikasihi raja. Yang demikian, maka ramailah gundik istana yang dengki kepadanya. Justeru, serangan fitnah telah ditimpakan ke atas gadis itu, apa nama kononnya sebagai telah berbuat jahat.

Arakian, raja pun murka lalu menitahkan agar gadis itu disula di hujung pasar. Akibat kekejaman dan kezaliman tersebut, maka Sang Rajuna Tapa telah ditimpa kesedihan mendalam yang akhirnya bangkit menjadi sebuah kemarahan dan kebencian. Lantarannya, ia telah berpaling tadah dengan membantu angkatan tentera Betara Majapahit menyerang Singapura.

Betapa sejarah pembesar Melayu dalam ‘Hikayat Hang Tuah’ juga jelas menggambarkan persekongkolan pembesar istana, dalam usaha memusnahkan Hang Tuah menerusi jalan fitnah, yang kononnya Hang Tuah telah bermukah dengan seorang dayang istana, lantaran dengki kerana mengidamkan pangkat yang dianugerahkan oleh raja kepada Hang Tuah, yang akhirnya raja dengan misai tebalnya tanpa usul periksa telah menitahkan Seri Nara Diraja untuk membuang (membunuh) Hang Tuah.

Demikianlah saratnya Sejarah Melayu silam dengan pelbagai ragam hikayat, yang apa nama kononnya begitu bangsat gamaknya. Apatah lagi, jika diambil kira Hikayat Si Kitul, Hikayat Raja mendeliar, Hikayat Nina Sura Dewana dan Hikayat Tun Ali. Dan lagi, jangan kita lupa atau pura-pura lupa, tentang kemungkinan generasi waktu muka atau masa hadapan yang bakal memakan hidangan lazat Melayu dari menu baru dalam Hikayat Mata Lebam, Hikayat Melancap Liwat I, Hikayat C4 Altantuya dan Hikayat Lubang Dubur II gamaknya.

Di kala Melayu UMNO meniti arus masa sekian tahun memimpin Malaysia (Gabungan Tiga Negara–Malaya, Sabah dan Sarawak) dengan sebuah pesta agung memunggah kekayaan ratusan ribu juta hasil bumi wilayah Borneo ke Malaya, dan pada masa yang sama mereka menghalalkan wilayah Borneo menanggung derita di dalam longkang kemiskinan, sebagaimana yang telah dilaporkan oleh pakar ekonomi Bank Dunia bagi wilayah Asia Timur yang begitu mengaibkan.

Lantarannya, di dalam senario keaiban warga Borneo, maka mengeluh adalah satu jawapan yang mudah sebagai penanda sahih, betapa warga wilayah Borneo rupa-rupanya telah bergabung dengan bangsa yang salah.

Justeru itu, seandainya pasukan cendekiawan wilayah Borneo memiliki sekelumit impian dan harapan, untuk mengembalikan atau mengangkat semula maruah wilayah Borneo ke tempat yang asal dan sewajarnya dalam lakaran baru persada zaman, nescaya bukan Dewa Zeus Yunani atau Presiden George Washington Amerika Syarikat yang perlu bangun dari lembah sepi kuburannya untuk memimpin wilayah Borneo, bahkan fajar baru pasukan cendekiawan wilayah Borneo sendiri yang mesti bangun bersatu, ke arah memancarkan cahaya keazaman untuk berdiri di atas kaki sendiri, dengan kebijakan menyedarkan dhamir diri dan warga dunia yang berhubung dengan apa yang sepatutnya dan yang terbaik untuk wilayah Borneo dalam gagasan Malaysia.

Selayang pandang tentang pembentukan Malaysia, yang dicetuskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada 27 Mei 1961 dalam satu majlis yang disediakan oleh Persatuan Wartawan Luar Asia Tenggara di Singapura, yang mana telah menjadi kenyataan, tatkala pemimpin utama negara-negara yang terlibat bersetuju untuk menandatangani perjanjian ‘20 Perkara’ yang mendasari pembentukan Malaysia pada 9 Julai 1963.

Sedia maklum bahawa negara Malaysia menggabungkan empat buah negara yang saling terpisah dan berjauhan. Namun, dalam konteks selepas penubuhan Malaysia telah menjadi sebuah negara baru yang dilindungi oleh ‘20 Perkara’ sebagai pagar emas pembentukan Malaysia.

Sesungguhnya negara Malaysia, laksana tiga buah rumah di dalam sebuah kampung. Walaupun berjiran dan duduk berdekatan, namun keluarga masing-masing tidak boleh mengambil harta milik jiran sesuka hati tanpa mengambil kira adat dan adab berjiran, apatah lagi menyamun atau merompak harta jiran yang kaya dan mewah pada mulanya, sehingga menjadi yang termiskin seantero dunia pada akhirnya.

Malangnya, dalam konteks pengurusan dan pentadbiran ekonomi negara Malaysia, betapa Malaya yang merupakan hanya sebagai salah satu antara tiga buah rumah dalam perkampungan Malaysia, yang ditubuhkan pada 16 September 1963, yang didominasi pimpinannya oleh Melayu UMNO, bukan sahaja sepenuhnya gagal untuk menjadi jiran yang baik, bahkan haprak sepenuhnya, setelah sekian tahun merempuh kuasa autonomi negara Sabah dan Sarawak, di samping memunggah kekayaan wilayah Borneo ke Malaya tanpa mengadabi ‘20 Perkara - Aku Janji’ yang telah disepakati, dipersetujui dan ditandatangani bersama pada 9 Julai 1963 di parlimen British.

Pada umumnya, minda warga Malaysia disogok dengan propaganda sejarah yang kononnya (Malaysia Merdeka) pada 31 Ogos 1957. Kalau begitu, apakah nama negara yang dimasyhorkan kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957? Kalau begitu, apakah nama negara yang dimasyhorkan penggabungannya pada 16 September 1963?

Apapun jawapannya, yang pasti waktu adalah saksi abadi sejarah. Apapun jawapannya, waktu bukan ‘Kambing Hitam-Enam Jahanam’ yang ada tawar menawar dengan wang ringgit untuk meminda atau mengubah tarikh meliwat atau diliwat. Apapun jawapannya, waktu yang agung tidak pernah berbohong atau mungkir janji, kerana waktu adalah perakam yang setia segala peristiwa dan peradaban manusia sepanjang zaman.

Sesungguhnya pembentukan Malaysia oleh empat buah negara yang bergabung telah melibatkan beberapa perjanjian. Perjanjian tersebut bertujuan untuk menyerahkan kuasa British (de legist) dalam bentuk pemerintahan sendiri (autonomi) kepada negara-negara yang terlibat sebagai syarat penggabungan menjadi atau membentuk sebuah negara merdeka yang bersekutu.

Sedia maklum bahawa, walaupun Malaya telah mengisytiharkan tarikh kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957, tetapi tarikh sebenar ditandatangani perjanjian pembentukannya oleh Raja-Raja Melayu dengan Ratu England ialah pada 5 Ogos 1957. Dengan ungkapan lain, tarikh pengisytiharan kemerdekaannya didahului oleh tarikh perjanjian pembentukannya.

Singapura pula telah diberi kuasa autonomi oleh British melalui perjanjian perlembagaan (The Constitutional Agreement) yang ditandatangani di London. Oleh yang demikian, pada 3 Jun 1959 Undang-Undang Negara (State Constitution) bagi Singapura telah dimasyhurkan oleh Gabenor Sir William Goode, sekaligus menjadi Ketua Negara Singapura yang pertama. Manakala Lee Kuan Yew dilantik menjadi Perdana Menteri Singapura yang pertama.

Dalam konteks pembentukan Malaysia yang ditandatangani oleh semua negara yang terlibat pada 9 Julai 1963. Selepas pembentukan Malaysia ditandatangani atau sebelum tarikh 16 September 1963, negara Sarawak telah memasyhurkan kuasa autonominya atau kuasa pemerintahan sendirinya pada 22 Julai 1963. Kemudian, disusuli oleh Negara North Borneo (Sabah) yang telah memasyhurkan kuasa autonominya atau kuasa pemerintahan sendirinya pada 31 Ogos 1963.

Selepas 16 September 1963 atau sesudah pembentukan Malaysia berkuatkuasa, maka seluruh sistem pentadbiran negara-negara yang terlibat hampir berubah sepenunya. Contohnya, sistem ketua pemerintahan bagi Singapura yang sebelumnya disebut atau dipanggil Perdana Menteri telah diturunkan statusnya hanya kepada Ketua Menteri. Demikian juga halnya dalam soal sistem kehakiman, Mahkamah Agung Singapura telah ditukar statusnya hanya kepada Mahkamah Tinggi Singapura.

Lantarannya, dalam tempoh dua tahun sejak penggabungan Malaysia, atas sebab-sebab tertentu sama ada yang berhubung dengan krisis politik, krisis kaum sehingga ke krisis peribadi pemimpin tertentu, semuanya telah menjadi pemangkin kepada proses pemisahan Singapura dari gabungan Malaysia yang akhirnya, Perjanjian Kemerdekaan Singapura (The Independence of Singapore Agreement) telah dimasyhurkan pada 9 Ogos 1965 yang dengan bangganya:

“…Singapura akan selamanya merupakan negara demokrasi yang berdaulat dan merdeka yang didirikan berdasarkan prinsip-prinsip kemerdekaan, keadilan dan berusaha mencapai kesejahteraan serta kebahagiaan bagi warganegaranya dalam masyarakat yang lebih adil dan setara...”.

Justeru, Singapura telah sekian lama meninggalkan Sabah dan Sarawak putih mata serta gigit jari untuk menjadi wilayah yang termiskin dalam gagasan Malaysia di bawah pimpinan penyangak Melayu UMNO gamaknya.

No comments:

Post a Comment