Thursday 25 November 2010

5,800 KETUA ISI RUMAH TIDAK LAGI MISKIN TEGAR



USAHA berterusan kerajaan dalam membasmi kemiskinan tegar di negeri ini menampakkan hasil apabila jumlah Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) menurun sebanyak 5,800 orang dalam tempoh 10 bulan lalu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Ebin berkata, berdasarkan pangkalan data e-Kasih, jumlah KIRMT di Sabah sehingga 9 November lalu ialah 11,956 orang berbanding 24,100 orang pada akhir 2009 lalu.

''Penurunan tersebut adalah disebabkan pengemaskinian data secara berterusan dan impak program pembasmian kemiskinan kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Zakaria Mohd. Edris (BN-Gum-Gum) mengenai jumlah dan langkah-langkah membantu miskin tegar di negeri ini.

Ewon berkata, selain program pembangunan tanah Mini Estet Sejahtera (Mesej), kerajaan negeri dan persekutuan turut melaksanakan pelbagai program jangka pendek dan panjang dalam meningkatkan pendapatan serta taraf hidup penduduk miskin tegar.

Antara program tersebut adalah projek agropolitan di Kota Belud, Pitas, Tenom, Tongod dan Beluran yang semuanya dalam pelaksanaan.

''Projek Ladang Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) anjuran kerajaan negeri dan Kumpulan Sawit Kinabalu di Kalabakan, Tawau dan Tongod sudah membayar dividen kepada KIRMT yang menjadi peserta kepada program itu.

''Sejumlah 393 KIRMT Tawau telah menerima dividen RM400 sebulan bermula Ogos lalu, sekali gus menghapuskan kemiskinan tegar di kawasan itu," katanya.

Ewon berkata, sebanyak 5,034 KIRMT dijangka mendapat faedah menerusi pelaksanaan program 1Azam anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

''Selain itu, elaun bulanan sementara 1Azam yang dilancarkan KPWKM dijangka melibatkan seramai 10,798 KIRMT di sini," katanya.

No comments:

Post a Comment