SARAT…. Lori sarat dengan muatan balak ketika melalui tengah-tengah pekan.
Oleh: MAIL BIN MATHEW
USAHA berulangkali telah dilakukan untuk mengingatkan para pengangkut balak agar lori-lori yang sarat dengan muatan balak tidak dibenarkan melalui kawasan tengah-tengah pekan ketika masa puncak untuk mengelakkan sebarang kemungkinan kecelakaan yang bakal berlaku, namun sikap pemandu pengangkut balak yang degil sedikit pun tidak menghiraukan nasihat serta amaran daripada pihak berkuasa sebelum ini.
Kedegilan mereka (pengangkut balak) menjadi perhatian orang ramai terutamanya golongan cendikiawan di sini yang menghantar nota menerusi facebook (fb) membantah perilaku mereka itu sambil meminta pihak berkuasa seperti Polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus mengambil tindakan sewajarnya.
Malahan para pembantah itu mempertikaikan sikap sambil lewa pihak tertentu yang tidak merangka inisiatif lain bagi mengatasi masalah tersebut secara serius supaya penggunaan mengangkut balak dikawasan pekan termasuk laluan pelajar pelajar sekolah dihentikan.
Salah seorang yang aktif mengkritik masalah tersebut yang hanya dikenali Tham berkata, beliau dan rakannya seorang pelancong ketika sedang menikmati minuman kopi di salah sebuah restoran di sini dua hari lalu terkejut apabila beberapa lori pengangkut balak bebas berlalu lalang di kawasan pekan kira-kira jam 12 tengah hari.
Rakan Tham bertanya kepadanya, “Apakah ini menjadi kebiasaan di sini? Kenapa tiada penguatkuasaan atau larangan? Ini berbahaya,” Dalam nada yang serius Tham menjawab, “ Kami sudah ‘immune’ dengan masalah ini, tapi sekarang yang kita lihat ada baik lagi kerana balak-balak yang diangkut kelihatan saisnya pendek pendek; dulu lagi bahaya,” kata Tham.
Lantaran itu, banyak pihak yang turut mencadangkan agar ada baiknya jika aktiviti mengangkut balak menggunakan perkhidmatan keretapi terus ke Beaufort supaya masalah lain terutamanya keselamatan pelalu-lalang dapat dielakkan, selain menghindar kerosakan jalanraya.
Masalah pengangkutan balak di sini difahamkan telah pun mendapat garis panduan daripada pihak tertentu khususnya pihak Polis dan JPJ dua tahun lalu supaya mereka (pengangkut balak) tidak melalui kawasan pekan ketika masa puncak demi mengelakkan sesuatu kecelakaan akan berlaku.
Namun, sejak kebelakangan ini sering kelihatan kelibat pengangkut balak seakan akan tidak lagi menendahkan larangan tersebut malah mereka terus menerus melakukan kegiatan yang bertentangan dengan arahan itu menjadikan banyak pihak yang merasa marah dan tidak berpuas hati.
Sesungguhnya sebarang kejadian buruk bukan kehendak kedua-dua pihak (pelalu lalang dan pengangkut balak) tetapi pepatah Melayu ada mengatakan ‘Malang tidak berbau’ cukup memberi peringatan kepada sesiapa sahaja bahawa perkataan itu mendorong setiap individu harus berhati-hati dan bersiap sedia mengelaknya sebelum terkena.
No comments:
Post a Comment