Saturday, 27 November 2010

CEGAH KEBAKARAN KETIKA MASIH KECIL

AKSI…Kelihatan salah seorang anggota Bomba sedang beraksi menunjukkan kepada salah seorang penduduk cara-cara memadam api kebakaran kecil.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

MENJAGA keselamatan bukan saja sekadar menjaga diri sendiri atau keluarga kita, bahkah juga harta benda perlu dijaga termasuk rumah tempat kita berteduh semasa sepanjang hayat kita.

“Dari itu sikap bertanggungjawab yang ada pada jati diri dalam menjaga keselamatan dalam beberapa sudut harus dipraktikan dan diutamakan dari masa semasa ini perlu untuk kebaikan semua,” tegas Ahli Parlimen kawasan Sandakan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Kiong.

Beliau menegaskan demikian ketika memberikan taklimat mengenai cara memadam api kebakaran kecil kepada para penduduk Taman Peaky Valley, Sandakan sempena Program ‘Bringing Service To The People’ 2010 anjuran Pejabat Ahli Parlimen Sandakan di sini kelmarin.

Katanya terdapat beberapa punca kebakaran kecil mahupun besar ini mungkin sikap kelalaian sendiri sama ada disengajakan atau sebaliknya. Contohnya, punca daripada dapur gas atau ‘kompor’ (dapur pam minyak tanah) dan juga litar pintas elektrik.

Namun begitu sebagai penghuni rumah, VK Liew menasihatkan agar penduduk mengetahui sedikit sebanyak selok belok memadam api sekiranya berlaku kebakaran kecil di rumah sendiri.

Liew berkata, kesungguhan Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat mendidik masyarakat mengenai kaedah memadam api sekiranya berlaku kebakaran kecil di rumah harus dihargai oleh semua pihak, khususnya para penduduk setempat atas sumbangan jabatan berkenaan.

“Dengan menggunakan peralatan moden pemadam api yang boleh dibeli di mana-mana kedai tertentu yang diluluskan oleh pihak Bomba, akan memberi keselesaan kepada masyarakat untuk menggunakan alat-alat tersebut, terutama sebagai langkah pencegahan dan berjaga-jaga,” tegas VK Liew.

Selain itu, beliau juga menasihatkan kepada penduduk berkenaan supaya sentiasa menjaga kebersihan di persekitaran rumah masing-masing yang menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, terutama sekali di saluran parit yang bertakung di pasu-pasu bunga dan sebagainya.

Kata Liew rumah yang sentiasa bersih, maka ia boleh mengindarkan daripada nyamuk-nyamuk tersebut bersarang atau membiak di satu-satu tempat.

“Memang tidak dapat dinafikan kehadiran nyamuk tersebut amat berbahaya kerana gigitannya boleh membawa jangkitan wabak demam denggi dan malaria kepada penghuni rumah berkenaan” tegas Liew lagi.

Sempena Program ‘Bringing Service To The People’ yang merupakan program terakhir pada sesi 2010 ini, VK Liew menggesa agar penduduk taman ini mengadakan gotong royong pada setiap hujung minggu bagi mencegah pembiakan nyamuk dan sekaligus dapat menjalinkan kerjasama yang erat dan hubungan mesra antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment