Tuesday, 30 November 2010

20 TAHUN HIDUP TANPA ELEKTRIK SEKALIPUN AHLI PARLIMEN MENTERI KKLW?



Saudara Pengarang,

BETAPA berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Betapa berat lidah ini untuk berkata, berat lagi penderitaan penduduk Kampung Sungai Gajah, Semporna kerana Projek Bekalan Elektrik di kampung ini telah terbangkalai sejak 20 tahun yang lalu.

Untuk makluman pemimpin BN terutama Ketua Menteri Sabah, perkara ini telahpun dibawa ke pengetahuan pihak yang berwajib, namun janji-janji hanya ditabur oleh Tun Sakaran Dandai dan diwariskan kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sejak sekian lama masih berupa janji yang belum tertunai.

Pada kempen Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu, Shafie dan Datuk Ramlee Marhaban sekali lagi berjanji, namun janji mereka sama juga dengan janji Sakaran yang manis di bibir tetapi beracun di hati. Sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan sekalipun Shafie berpeluang melakukannya melalui 16 Projek NKRA yang diberikan kepada kroni baru-baru ini.

Kami juga telah mengajukan isu ini dan berurusan di peringkat Kementerian yang berkaitan. Dukacita masih belum membuahkan hasil. Kami kesal kerana kami dapati apabila perkara ini dirujuk, pihak yang berkenaan seringkali berdolak-dalih bahawa masih dalam pengurusan. Soalnya sampai bila? 2070 atau 3020?

Jika isu bekalan elektrik ke kampung ini tidak dapat diselesaikan, apatah lagi projek kecil lain yang telah dipohon sejak zaman Tun Sakaran lagi, sudah tentu senarionya ‘jauh nasi daripada rice cooker’.

Sekalipun kampung ini terletak tidak jauh daripada ‘Pekan Koboi’ yang namanya Semporna tetapi serba serbi tidak sempurna terlalu ketinggalan daripada arus perdana pembangunan Negara sekalipun ahli parlimennya adalah Menteri KKLW jika dibandingkan dengan mana-mana kampung di daerah Semporna.

Apakah kerana kampung ini bernama Sungai Gajah maka nasib kami juga seperti sungai yang dicemari kotoran dan gajah yang tidak berhak untuk mendapat kemudahan asas; sedangkan kami juga memiliki satu undi, sama taraf dengan Shafie dan Sakaran atau Najib?

Salam Hormat,

ANAK JATI SUNGAI GAJAH

No comments:

Post a Comment