PREMIS BANK….Inilah salah satu barisan lot bangunan yang sesuai untuk premis mana-mana bank yang ingin membuka cawangannya. Gambar kecil James sedang diwawancara Shaimon.
Oleh: SHAIMON S JUMADI
PARA peniaga termasuk orang ramai, khususnya kakitangan kerajaan meminta mana-mana pihak Bank supaya membuka cawangannya di Pekan Telupid untuk memudahkan mereka berurusan tanpa perlu ke Sandakan atau Ranau.
Ini jelas membuktikan ketiadaan kemudahan seperti bank di kawasan pekan ini menyebabkan para pelanggan bank terpaksa pergi ke bandar Sandakan yang jauhnya hampir 100 batu untuk berurusan.
Ahli Majlis Daerah Beluran yang juga merupakan Bendahari Jawatankuasa Barisan Nasional Labuk-Sugut, James Miki, merayu mana-mana bank berkenaan agar dapat menimbangkan permintaan orang ramai untuk membuka cawangan bank di pekan ini.
Soal tempat, kata James, masih banyak bangunan kosong dan sesuai lokasinya di kawasan pekan Telupid dan pihaknya sedia membantu untuk mendapatkan lot-lot premis tersebut jika diperlukan.
Dalam wawancara khas dengan Sabahkini.Net, sebagai cadangan tambahan James juga meminta pihak PUSPAKOM supaya membuka cawangannya di pekan ini kerana bilangan para pemilik kenderaan di daerah ini bertambah ramai.
Ketiadaan PUSPAKOM di pekan ini tambah James, memaksa pemilik kenderaan terpaksa mengharungi perjalanan jauh ke Sandakan untuk berurusan.
“Sebagai Ahli Majlis Daerah, saya turut simpati dengan penduduk di daerah Telupid ini kerana mereka terpaksa mengeluarkan belanja yang agar besar untuk ke Sandakan dan tidak sewajarnya berlaku selepas 47 tahun merdeka,” ujar James.
Ditanya adakah pihaknya sudah mengutus surat permohonan kepada pihak PUSPAKOM untuk tujuan yang dimaksudkan, James berkata, buat masa ini beliau belum menulis surat rasmi kepada pihak terbabit dan menunggu reaksi pihak tertentu setelah membaca berita mengenai cadangan tersebut di Sabahkini.net.
No comments:
Post a Comment