Thursday 25 November 2010

SIAPA LAYAK GANTI TYT SABAH?




Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

TEMPOH Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmad Shah Abdullah memegang jawatan akan tamat pada 31 Disember 2010, namun belum ada sebarang pengumuman dibuat siapakah yang akan menggantikan beliau.

Menurut sumber Istana negeri, buat masa ini beberapa nama telah dicadangkan Kerajaan Negeri Sabah termasuklah Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Hamid Egoh, Datuk Juhar Mahiruddin, Datuk Gani Gilong, Tan Sri Suffian Koroh, Datuk Yahya Hussin, Datuk Syed Abbas Syed Ali, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Dato Sri Nasir Tun Sakaran dan beberapa tokoh lain seperti Datuk Seri Salleh Tun Said, Tan Sri Ampong Puyon, Datuk Ilyas Ibrahim dan Tan Sri Khalil Jamalul.

Ramai pemerhati politik meramalkan Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tidak akan melepaskan tugas penting Tan Sri Pandikar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sekalipun atas faktor kesihatan.

Teori ‘Kudita’ yang tidak menjadi tidak memungkinkan pilihanraya kecil diadakan untuk membolehkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru kerana Najib memikirkan tidak ada keperluan menggantikan Musa Aman sekalipun tempoh Shafie memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah akan tamat pada 26 November 2010 dan dijangka akan digantikan oleh Senator Dato Jamil Khir Baharom.

Shafie yang menjadi ‘Panglima Hilang Gelanggang’ tidak mungkin kembali memimpin Badan Perhubungan UMNO Sabah kerana kerusi Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Sabah masih disandang oleh Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said yang kini ibarat 'Kembar Siam' kepada Musa Aman; oleh itu nama Nasir mungkin tidak lagi relevan.

Bagaimanapun ada desakan daripada ramai Ketua UMNO di Sabah yang mahukan tokoh muda yang berwibawa, berpendidikan dan boleh diterima semua pihak dilantik menggantikan Tun Ahmad Shah.

Menurut desas desus yang bertiup kencang, jika Hamid Egoh dan calon lain tidak diterima Najib dan tidak mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong, maka mereka mencadangkan agar Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said dilantik sebagai TYT bagi memulihkan semula imej Sabah yang bergelut dengan pelbagai isu; melalui kesepakatan padu Ketua Menteri Sabah, kerana Regu MS (Musa-Salleh) dianggap yang terbaik setakat ini.

“Hanya Salleh yang mempunyai rekod bersih, apatah lagi beliau merupakan pemimpin kaum majoriti di Sabah, tapi kita tidak tahu sama ada PM atau CM akan merestui cadangan kita ini,. Kita pun tidak tahu sama ada Salleh akan terima kerana dia orang politik dan menjadi TYT dalam usia yang muda akan membunuh kerjaya politik beliau,” ujar seorang Ketua Bahagian yang berpangkat Datuk.

Bagaimanapun, ramai berpendapat Hamid Egoh adalah calon yang sesuai dari segi kredibiliti, ketokohan (agama, bersih dan berpendidikan) dan berpengalaman luas dalam pentadbiran serta tegas pendirian untuk mengembalikan Institusi 'Tidak Beraja' di Sabah ini ke landasan asal yang kelihatan lebih berwibawa dengan 'acuan' Sabah sendiri.

Namun berdasarkan sejarah pemilihan TYT di Sabah dan juga beberapa negeri yang mengamalkan institusi TYT seperti Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang, lazimnya calon pilihan adalah orang yang mempunyai latar belakang politik dan bukan politik.

Tetapi apa yang diperlukan di masa ini? Jika mengikut Trend di Melaka dan Pulau Pinang, sudah pasti pilihan utama ialah orang politik, tetapi di Sarawak bukan orang politik.

Jika kecenderungan Najib bukan orang politik, maka Tan Sri Hamid Egoh atau Tan Sri Khalil atau Datuk Ilyas Ibrahim akan mempunyai peluang untuk dipilih sebagai TYT.

Namun jika trend atau corak pemilihan di era Najib berpihak kepada orang politik, maka Datuk Yahya Hussin, Tan Sri Ampong Puyon, Datuk Syed Abbas Syed Ali atau Datuk Seri Salleh Tun Said turut berpeluang.

Dalam senario politik sekarang, Salleh Tun said boleh diterima oleh semua pihak, cuma dianggap terlalu muda untuk menjawat kedudukan tertinggi di 'Borneo' tersebut kerana masih diperlukan UMNO untuk membantu Musa dan parti menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Sebagai rumusan, kemungkinan besar salah seorang calon berikut diramal akan dilantik sebagai TYT iaitu Hamid Egoh, Yahya Hussin, Ampong Puyon dan Juhar Mahiruddin; apatah lagi masa semakin suntuk dalam suasana politik yang mula membahang.

No comments:

Post a Comment