Friday 26 November 2010

MELANIE KECEWA RAKYAT SABAH MISKIN?



Oleh: MEDIA SAPP

Petikan Ucapan Adun Luyang (Melanie Chia) di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Saya (Melanie Chia) ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian di dalam perbahasan ke atas Rang Undang-undang Perbekalan (2011), 2010 pada sidang hari ini.

Tuan Speaker,

Negeri Sabah yang kita cintai ini diberkati dengan limpahan sumber alam serta kaya dengan biodiversiti. Kita amat bersyukur walaupun dalam menghadapi krisis kewangan global pada tahun 2008, kita masih memperolehi peningkatan pendapatan hasil negeri iaitu sumbangan royalti petroleum dan minyak serta cukai jualan minyak kelapa sawit sejak tahun 2008 hingga tahun ini; yang telah meningkatkan pendapatan negeri sehingga menjadikannya hampir 60% dari jumlah keseluruhan pendapatan negeri pada tahun 2010.

Tuan Speaker,

Kerajaan Negeri menubuhkan SETIA sebagai peneraju pembangunan ekonomi Sabah. Ada difahamkan Kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2011 telah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM110 juta untuk meneruskan pelaksanaan program dan projek di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Kerajaan Negeri juga telah mengumumkan aspirasinya, seiring dengan Kerajaan Persekutuan, mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020. Oleh itu, di bawah Bajet 2011, Kerajaan Negeri telah komited untuk meningkatkan usaha mempercepatkan pelaksanaan program pembangunan untuk merangsang ekonomi Negeri dan dengan demikian menjadikan Sabah sebuah Negeri maju dan makmur.

Tuan Speaker,

Beberapa target atau hasil dari transformasi ini akan menunjukkan kadar pertumbuhan KDNK lebih tinggi dan pendapatan tinggi dan taraf hidup lebih baik dan kualiti hidup juga lebih baik untuk rakyat.

Dalam Bajet 2011, ekonomi negeri ini bakal berkembang dari 6% menjadi 6,5% pada tahun depan, lebih tinggi daripada pertumbuhan negara dari antara 5% dan 6%. Pendapatan per kapita, bagi Malaysia secara keseluruhan, pendapatan per kapita peringkat nasional diunjur akan meningkat 6% dari RM26, 355 pada 2010 menjadi RM27, 950 pada 2011, atau dalam istilah kuasa beli, dari USD 14,102 menjadi USD 16,028.

Tuan Speaker,

Tidak ada disebutkan dalam Bajet Negeri mengenai pendapatan per kapita Sabah dan apakah target peningkatan bagi tahun 2011? Apa yang saya tahu, pendapatan per kapita Sabah adalah jauh dari kadar purata nasional. Kita hanya berharap untuk mengejar, dan bukannya sama paras dengan negeri-negeri maju yang lain di Malaysia.

Apakah program yang dicadangkan dalam bajet 2011 yang akan membolehkan Sabah melangkau untuk setara dengan negeri-negeri lain di Malaysia? Saya mohon Kerajaan mejelaskan atau mengariskan apakah program dan pendekatan yang disusun untuk menaikan pendapatan per kapita di Dewan yang mulia ini.

Izinkan saya bertanya apakah bentuk pertumbuhan ekonomi yang kita akan capai dengan peruntukan RM1,023,080.00 itu seperti yang dilaporkan untuk membiayai projek-projek keutamaan seperti: pembesaran rangkaian jalan raya dan penyelenggaraanya; sistem kereta api, sistem kumbahan serta pembinaan dan penyelenggaraan bangunan Kerajaan dan lain-lain? Apakah impak perbelanjaan itu dapat mengubah eonomi negeri? Adakah ini akan dapat membantu meningkatkan pendapatan rakyat, atau membanteras kemiskinan? Dan adakah pembagunan insan dapat diperolehi melalui projek projek berkenaan?

Tuan Speaker,

Untuk mengubah atau mentransformasikan ekonomi, tidakkah kita berbicara tentang memperuntukkan lebih banyak wang kepada sektor-sektor utama? Kerajaan Negeri telah berkali-kali mengenalpasti Pertanian, Aqua-Kultur, Pelancongan, dan Pembangunan Industri sebagai sektor utama kita.

Peruntukan yang diberi kepada Kementerian Pembangunan Industri adalah satu jenaka!

Dalam usaha mengubah ekonomi Negeri, kita harus berbicara tentang nilai tambah, menghasilkan kekayaan baru, meningkatkan pendapatan rakyat, mencipta pekerjaan baru.

Ya, mengubah ekonomi dan mencipta pekerjaan baru, agar golongan muda akan dapat pekerjaan, para graduan dan profesional muda akan kembali bekerja di Sabah, supaya mereka tidak perlu memilih untuk bekerja di Semenanjung Malaysia, Singapura, China atau pun di negara-negara Barat.

Tuan Speaker,

Di manakah kreativiti dalam perancangan Bajet kita? Kementerian yang dilihat dapat berbuat demikian ialah Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan kerana peruntukan RM210.81 juta dalam Bajet 2011 adalah untuk kegiatan dan pembangunan belia. Belia adalah aset Negara dan perlu diberi perhatian dan pemantapan ilmu, aktiviti yang sihat dan nilai-nilai yang sejagat dalam pembentukan insan yang sempurnah supaya dapat melahirkan generasi yang patriotik, berpegang kepada prinsip-prisip Rukun Negara dan jauh daripada budaya rasuah merasuah dan pantang dengan dadah.

Adalah diharapkan bahawa peruntukan yang sebanyak itu tidak tersia-sia, dan tidak dipolitikan program dan aktivitinya. Sepertimana juga kerajaan persekutuan mengadakan program Khidmat Negara, beratus Pusat Khidmat Negara dan berbilion ringgit dibelanjakan untuk membentuk satu generasi yang berguna kepada masyarakat dan Negara. Membudayakan anak bangsa untuk berdikari, berdisiplin, berketampilan dan berdaya tahan.

Namun ini semua akan menjadi sia-sia apabila mereka terlibat dalam organasasi politik yang berbudayakan politik wang dan rasuah, maka segala usaha kerajaan dan peruntukan yang amat besar itu akan menjadi tidak bererti lagi.

Saya berharap dalam kita mendidik anak anak muda kita maka berwaspadalah supaya budaya politik wang yang tidak sihat itu tidak mecemarkan para belia kita yang masih bersih dan baik akhlaknya khusnya dalam pemilihan parti mahu pun dalam sesuatu pilihanraya kelak.

Jika ini tidak dibendung maka masa depan generasi belia akan mengikut jejak langkah para pemimpinnya yang rasuah dan berpolitik wang. Kalau budaya ini berterusan musnahlah masyarakat dan Negara kita.

Tuan Speaker

Berkait dengan agihan peruntukan Perbekalan 2011 yang dicadangkan di Dewan yang mulia ini, saya meminta penjelasan seperti berikut:

1. Pada tahun 2010, RM65.8 million sudah di peruntukan untuk bayaran balik Hutang Persekutuan dan jumlah bayaran ini meningkatkan ke RM83,318,960 pada tahun 2011. Pertanyaan saya ialah, sepatutnya berapakah semua jumlah Hutang Persekutuan.

2. Ada juga di senaraikan Hutang Bon untuk tahun 2011 berjumlah RM24,915,200. Kerajaan seharusnya mesti member tahun berapakah semua Hutang di bawah Bon ini? Sepatutnya, kalau Bon ini jadikan hutang di bawah perbelanjaan Negeri Sabah, kenapa Bon itu yang berjumlah RM544 million di senaraikan di bawah anggaran Hasil? Dan, bolehkah Kerajaan menjelaskan projek projek yang di peruntukan dengan Bon ini.

Tuan Speaker,

Setiap tahun Kerajaan membentangkan bajet berbillion ringgit dengan harapan bahawa masalah rakyat Sabah dapat ditangani dan diselesaikan, khususnya dalam bidang prasarana, kemudahan asas seperti jalanraya, bekalan letrik, bekalan air, kebajikan, sepertimana yang dijanjikan oleh Kerajaan bahawa miskin tegar dapat dihapuskan menjalang tahun 2010, iaitu, tahun ini.

Demikian juga dengan peruntukan RMKe9 yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM21 billion dimana akan berakhir pada hujung tahun ini, namun rakyat masih tertanya-tanya dan ternanti-nanti peruntukan tersebut khususnya yang jauh di Pedalaman dimana peruntukan itu yang tak kunjung tiba, masalah jalanraya, bekalan air bersih, bekalan letrik, masalah kemiskinan, masalah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang masih menjadi kehidupan mereka seharian.

Mujurlah mereka nanyi lagu yang popular yang bertajuk “Aku masih seperti yang dulu” kalau disambung lagu ini “menunggumu sampai akhir hayat ku”, demikian lah keadaan kekecewaan masyarakat desa kita yang masih dahagakan pembangunan sejak kita mencapai kemerdeka 47 tahun yang lalu.

Satu pengalaman yang di perolehi di pilihanraya kecil di Batu Sapi khususnya di kawasan Sekong. Kebanyakan kampong masih dalam status setinggan seperti Kg. Gas, Bokara, Sundang Laut dan Darat, Bahagia, Kg. Disayang, Bakau, Cenderamata, Lupak Meluas Darat dan Laut dan sebagainya.

Bekalan air dan letrik mereka panggil bekalan ‘sangkut’. Saya tidak faham apa itu letrik sangkut! Mereka jelaskan bahawa letrik sangkut ialah ‘curi karan’.

Kebanyakan jambatan mereka using, dan yang menjadi perhatian saya lagi ialah jualan runcit ‘barangan 20 sen’ iaitu bahan seperti gula, kicap, minyak, cuka, sabun pencuci semuanya di isi dalam plastik, seperti isian ice krim masing-masing berhaga 20 sen sahaja.

Bila saya tanya kenapa masuk dalam plastik dan harga 20 sen, mereka kata inilah kemampuan perbelanjaan harian kami dan ramai yang tidak berkemampuan untuk membeli secara besar-besaran. Maka inilah contoh kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang.

Saya percaya bahawa sebahagian daripada laporan Bank Dunia yang menyatakan kemiskinan di Sabah dan suku kaum Bajau dan Suluk yang lebih ketara kemiskinannya adalah sebahagian besarnya dari kampung-kampung yang saya sebutkan tadi.

Saya ingin menyampaikan dua rangkap pantun:

Batu Sapi BN Sudah Menangi

Kata-Kata Pujian Tidak Berhenti-Henti

Pemimpin-Pemimpin Bn Menghilangkan Diri

Tinggalkan Janji Janji Di Batu Sapi

Pecah Tanah Di Lupak Meluas

Rakyat Setinggan Masih Menunggu

BN Memberi Harapan Yang Meluas

Rupa-Rupanya Lama Lagi Mahu Di Tunggu

Tuan Speaker,

Saya sebutkan ini bukan bertujuan politik tetapi adalah menjadi tanggung jawab Kerajaan memastikan tidak ada kelompok masyarakat yang tertinggal atau dipinggirkan dan mesti ada keazaman politik untuk mengubah nasib mereka.

Memang banyak contoh-contoh lain yang memerlukan perhatian Kerajaan untuk memastikan bahawa pembangunan insan, sosio-ekonomi masyarakat kita yang masih jauh ketinggalan perlu diberi perhatian.

Saya mengambil lagi satu contoh bahawa sebuah kampung di kawasan Sugud iaitu Kg. Kinadaan yang terdiri daripada masyarakat suku kaum Sungai. Jalanraya yang memang teruk, tiada bekalan letrik dan air bersih sebab kampong ini memang jauh, dan berdekatan di situ juga ada beberapa buah kampong kechil.

Saya di fahamkan bahawa lebih dari 200 kanak-kanak tidak bersekolah sebab tiada sekolah di situ dan ibu bapa tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah sebab jauh daripada S.K.Kanibongan dan S.K.Kota Marudu untuk persekolahan anak mereka.

Lebih malang banyak yang sudah dewasa juga buta huruf. Saya difahamkan permohonan pembinaan sekolah di situ sudah lebih 15 hingga 20 tahun namum sehingga sekarang belum ada kelulusan dari pihak Kementerian Pelajaran.

Apakah harapan dan masa depan mereka? Sudah pun dalam kepompong kemiskinan buta huruf lagi! Apakah erti kemerdekaan bagi mereka? Justeru itu, saya mencadangkan supaya peruntukan khas yang ada dalam bajet bagi tahun 2011 dapatlah digunakan sekurang-kurangnya membina 2 blok bangunan sekolah dengan nilai RM300 ribu dan sekolah sementara itu didaftarkan sebagai sekolah cabang dan meminta Jabatan Pelajaran hantar beberapa orang guru untuk mengajar menulis, membaca dan mengira sementara menuggu kelulusan Kementerian Pelajaran untuk membina sekolah kebangsaan baru di situ.

Atau pun pihak Yayasan Sabah boleh membina sekolah sementara tersebut seleras dengan fungsi dan matlamat Yayasan Sabah. Jangan lengah-lengah lagi untuk memastikan keadilan dan kesejahteraan rakyat yang tinggal dalam kawasan yang terpencil dapat pembelaan yang seimbang di bumi Malaysia ini.

Tuan Speaker

Agihan peruntukan Perbekalan 2011 yang dicadangkan berjumlah RM2,942,352,260 akan hanya sia-sia jika pelaksanaannya tiday mencapai kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu dan matlamat pembangunan akan terbantut jika budaya rasuah tidak dibendung sepenuhnya, dan setiap sen itu harus dimanafaatkan sepenuhnya demi merealisasikan tahap pembangunan yang seimbang dan memenuhi aspirasi dan penyelesaian permasalahan rakyat secara ikhlas and telus.

No comments:

Post a Comment