Sunday, 21 November 2010

JPN JAWAB ISU KUALITI MYKAD



JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) akan meningkatkan ciri-ciri keselamatan fizikal MyKad sebaik menerima peruntukan menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ketua Pengarahnya, Datuk Alwi Ibrahim berkata, isu berkaitan kualiti MyKad sememangnya diberikan perhatian serius dan JPN sentiasa mencari kaedah terbaik bagi memperbaiki kualiti dokumen pengenalan diri itu.

"Bagi memastikan MyKad yang dikeluarkan berkualiti, adalah menjadi amalan JPN untuk menghantar sampel MyKad ke makmal Sirim Berhad bagi menjalani pengujian secara menyeluruh dan berkala di segi fizikal serta cip.

"Pengujian yang dilaksanakan adalah mengikut standard yang telah ditetapkan ISO/IEC 7810 dan ISO/IEC 7816. Hanya selepas kad-kad tersebut lulus ujian Sirim pihak JPN akan meluluskan penghantaran kad mentah daripada pembekal kad," katanya kepada di sini semalam.

Beliau mengulas surat pembaca dalam ruangan Forum Utusan Malaysia mengenai aduan Shuhada Ghazali berhubung masalah MyKad.

Dakwa Shuhada, dia sendiri sudah tiga kali terpaksa menukar MyKad akibat masalah cip dalamannya yang sudah tidak boleh dibaca dan juga kulit luarnya mudah koyak.

Mengulas lanjut, Alwi berkata, di samping ujian fizikal kad di Sirim, JPN juga sentiasa melaksanakan ujian terhadap cip MyKad yang gagal berfungsi dengan kerjasama pihak MIMOS Berhad (MIMOS) serta makmal pihak ketiga yang diiktiraf bagi mengenal pasti punca kegagalan.

JPN juga, ujarnya, sentiasa mengambil tindakan untuk meningkatkan ketahanan mutu MyKad dan cip dari semasa ke semasa.

"JPN sedar akan permasalahan ini dan bercadang untuk melaksanakan peningkatan ciri keselamatan fizikal MyKad,'' katanya.

No comments:

Post a Comment