Tuesday 30 November 2010

HALALKAH BABI UNTUK UMAT ISLAM?



Oleh: IBRAHIM TABIR

HALALKAH babi untuk umat Islam sehingga para peniaga di Kunak tidak lagi peka dengan sensitiviti dan maruah umat Islam sebagaimana dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara?

Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Sabah (Jheains) cawangan Kunak memandang serius kegiatan para peniaga kedai runcit di sini yang sengaja meletak atau mempamerkan makanan halal dalam tin termasuk yang 'tidak halal' di atas rak yang sama. Lebih membimbangkan lagi, makanan dalam tin (bukan halal) atau mengandungi babi (pork) tersebut disimpan bersebelahan makanan halal.

"Perkara ini dipandang serius dan pihak kami akan menjalankan siasatan di premis itu", kata Pegawai Tadbir Jheains Kunak, Hj.Mohd Rani Tawit ketika dihubungi wartawan pada selasa, berhubung dakwaan seorang pengguna yang hampir terbeli makanan dalam tin yang mengandungi babi baru-baru ini di sebuah kedai runcit di kawasan premis perniagaan Kunak Plaza.

Pengadu mendakwa, beliau ketika itu sedang mencari sambal udang di premis tersebut dan apabila memasuki kedai runcit berkenaan, dia mendapati makanan dalam tin (contain pork) disusun di atas rak yang sama dengan makanan bertin lain seperti ikan sardin, sambal udang, sotong, kari lembu, kari ayam dan seumpamanya.

Pengadu itu berkata, peniaga juga gagal meletakkan sebarang 'tanda' tertentu untuk mengasingkan rak atau tempat menyimpan makanan dalam tin di premisnya secara teratur bagi mengelak pengguna terutama umat Islam 'tersilap' membeli makanan yang mereka inginkan.

"Makanan bertin yang halal dan bukan halal (non-halal) diletakkan bersama-sama. Bayangkan jika pengguna muslim terbeli makanan bukan halal itu kerana menyangkakan ia adalah halal berikutan bukan semua pengguna di kalangan celik ilmu. Ada juga yang buta huruf dan tidak tahu membaca", ujar pengadu tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Rani memberi jaminan bahawa pihaknya akan memeriksa keadaan premis tersebut mengikut peraturan dan bidang kuasa yang berkaitan bersesuaian dengan peranan jabatan tersebut.

Beliau berkata, sebelum ini, Jheains juga pernah melakukan tinjauan di beberapa premis perniagaan sekitar pekan Kunak bagi memantau keadaan seperti itu.

"Pernah suatu ketika kami juga mengeluarkan nasihat kepada peniaga tertentu supaya mengasingkan makanan bertin yang halal dan bukan halal untuk keselamatan dan keselesaan para pengguna termasuk mereka yang beragama Islam dan bukan muslim", katanya.

No comments:

Post a Comment