Monday 1 November 2010

50 MURID TERIMA BANTUAN YAYASAN SABAH



TERIMA KASIH….salah seorang murid sedang menerima bantuan tersebut yang disampaikan oleh Au.

Oleh : SHAIMON A JUMADI Jurufoto : JUN PACIFICO

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Elopura Au Kam Wah menggesa ibubapa supaya menititberatkan pelajaran anak-anak mereka agar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan setiap tahun.

Katanya mereka yang memperoleh keputusan yang cemerlang akan menerima pelbagai kemudahan yang disediakan Kementerian Pelajaran untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Au membuat gesaan tersebut demikian ketika berucap di majlis perasmian dan penyampaian Skim Bantuan Khas tajaan oleh kumpulan Yayasan Sabah 2010 di Sandakan, kelmarin.

Katanya orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan berpendidikan tinggi sahaja yang boleh mengubah nasib untuk menempuh kehidupan yang cerah.

Au berkata untuk meningkatkan tahap pendidikan kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah memainkan peranan penting ke arah itu demi mencapai hasrat dan matlamat kerajaan untuk menjadikan rakyatnya mempunyai ilmu pengetahuan dan berpendidikan tinggi.

“Demi kepentingan rakyat, Kerajaan telah membina sebuah Universiti di Sungei Batang dengan tujuan untuk memberi peluang kepada anak-anak warga Sandakan untuk melanjutkan pelajaran tanpa perlu pergi jauh,” kata Au yang mengakui banyak peluang pekerjaan yang disediakan untuk warga setempat.

Sementara dalam ucapan alu-aluan Ketua Pentadbir Zon Pantai Timur Utara, Yayasan Sabah, Hajah Rosinah Abd Moin antara lain menjelaskan tujuan pihaknya memberikan bantuan sedemikian adalah untuk membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh ibubapa mereka dalam segi yuran dan sebagainya terutama kepada golongan yang berpendapatan rendah iaitu tidak lebih RM600 ke atas.

Seramai 50 orang yang membabitkan penuntut sekolah menengah dan murid sekolah rendah mereka masing-masing menerima skim bantuan tersebut.

No comments:

Post a Comment