Friday 19 November 2010

AU AKAN LANCAR PASAR MALAM KIM FUNG



BINCANG…..Kelihatan AU bersama Jawatankuasa Pentadbir Pasar Malam sedang membincangkan sesuatu dalam mesyuarat berkenaan.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

DEMI untuk menaikkan taraf hidup dan ekonomi penduduk, khususnya untuk menyara keluarga; Ahli Dewan Undangan Negeri Elopura, Au Kam Wah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), akan mengadakan Aktiviti Gerai Pasar Malam yang di antara Blok D dan Blok F, Bangunan Bandar Kim Fung, Sandakan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Pasar Malam yang dipengerusikan sendiri oleh Au, ketika menghubungi Wartawan Sabahkini.Net melalui telefon berkata, tujuan utama menganjurkan gerai pasar malam tersebut untuk memberi ruang dan peluang kepada penduduk setempat menceburi perniagaan secara kecil-kecilan, bagi menambah pendapatan sampingan.

Kata Au, Jalan penghubung antara Blok D dan Blok E terpaksa ditutup bermula dari jam 4.00 petang hingga jam 10 malam.

Antara lain barang yang akan dijual di gerai tersebut termasuklah pelbagai jenis makanan, pokok bunga dan pelbagai jenis benih tanaman, termasuk kraf tangan dan seni lukisan.

Kata Au lagi, pelancaran ataupun majlis perasmiannya akan dilakukan beliau sendiri pada jam 7.00 malam sabtu ini, 20 November 2010 yang akan turut dihadiri Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Ir James Wong.

Selain itu pihak jawatankuasa tersebut juga, kata Au, akan menganjurkan Pertandingan Fotografi, terbuka kepada orang ramai untuk mempamerkan kebolehan mereka daripada sekarang kerana semua gambar yang diambil akan dinilai sempena majlis perasmian tersebut.

“Orang ramai yang berminat untuk berjaja di pasar malam ini, bolehlah memohon gerai tersebut daripada pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mulai sekarang,” ujar Au lagi.

No comments:

Post a Comment