Friday, 12 November 2010

HOSPITAL LAHAD DATU ATAU NERAKA?



Saudara Pengarang,

Saya amat tertarik berkenaan artikel ‘HOSPITAL LAMA LD KURANG DOKTOR?’ bertarikh 02 Oktober 2010. Syabas dan tahniah buat daerah Lahad Datu kerana dihadiahi kerajaan BN sebuah Hospital yang berstatus Hospital Pakar dan berstatus MS ISO 9001:2000 yang menjadi nadi masyarakat di kawasan Lahad Datu khasnya.

Namun di atas kecantikan Hospital yang dibangga-banggakan tersebut, saya berasa terkilan dan dukacita di atas layanan buruk sebilangan kakitangan di sana.

Hospital adalah satu tempat yang bukan menjadi idaman setiap manusia dan bukan kenikmatan. Seboleh-bolehnya, andai kita tidak mengalami sebarang sakit diberi pilihan oleh Tuhan; sama ada memilih Hospital atau mesin ATM, semua manusia di dunia ini berkeinginan memilih mesin ATM kerana mempunyai wang.

Manakala di Hospital pula kita melihat kesengsaraan, kepedihan, kematian dan seumpama dengannya yang menyakiti hati setiap insan.

Antara mahu atau tidak, azali dunia telah ditakdirkan bahawa terdapat sakit dan sebaliknya sihat. Perkara itu adalah satu kemestian dialami oleh setiap insan. Kita akan sakit pada bila-bila masa; di mana sahaja dan tanpa mengenal latar belakang dan pekerjaan walaupun seorang Doktor. Kita harus ingat wujudnya, Hospital kerana wujudnya kita di muka bumi ini.

Di sebaliknya, berdasarkan pengalaman saya, beberapa bulan yang lepas; saya berpendapat bahawa Hospital Lahad Datu hanya cantik di luar namun di dalamnya seperti ‘neraka’ atau ‘tempat penyiksaan’ mangsa perang Iraq.

Saya mengalami penyakit sukar kencing kerana jangkitan kuman pada pundi kencing dan tidak lawas membuang air kecil sehingga berkali-kali mendapat rawatan di Klinik dan Hospital Lama unit pesakit luar.

Malangnya kakitangan di kaunter unit kecemasan mengugut kepada saya untuk memasukkan hos ke dalam saluran kencing saya jika saya sukar untuk kencing. Dalam keadaan kesakitan, perasaan saya menjadi takut kerana tanpa membuat pemeriksaan terlebih dahulu mereka terus membuat diagnosis awal kepada saya. Ibarat belum tahu sakit jantung tapi tiba-tiba diberitahu untuk dibedah.

Apakah ini kualiti kakitangan Hospital Lahad Datu? Tidak meletakkan empati dan simpati terhadap pesakit, malah dengan bangganya melukakan hati pesakit. Sedangkan haiwan dibelai oleh Doktor Haiwan, inikan saya sebagai pesakit yang juga manusia. Saya bukan meminta wang atau bukan ingin bermanja, tapi inginkan rawatan yang bersesuaian dengan hak saya sebagai Warganegara Malaysia.

Saya mohon maaf jika pihak Hospital Lahad Datu tersindir, tapi lebih baik pihak atasan tahu apa yang sedang berlaku dalam organisasi Hospital sendiri. Saya percaya saya akan datang semula ke sana dan berharap agar kakitangannya diberi latihan ‘bersopan santun’ bagaimana melayani manusia dan belajar bertamaddun seperti manusia dan bukannya ‘kucing kurap’ yang mengharapkan sisa makanan pemberian orang.

Perlu diingat, sumber gaji yang diterima kakitangan hospital ialah daripada jerit payah, air mata dan darah petani miskin dan pembayar cukai seperti saya.

Salam Hormat,

MANGSA JURURAWAT GILA

No comments:

Post a Comment