Tuesday 2 November 2010

KAUM BAJAU PERLUKAN BN DAN MUSA


SOKONG.... Daniel (Baju Biru) meminta agar etnik Bajau memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon BN berlatar belakangkan tapak PPR Lupak Meluas kerana rumahnya berdekatan kawasan tersebut.

Oleh: SAMSIAH LAMSAH

KAUM Bajau di Lupak Meluas dan sekitarnya amat memerlukan Kerajaan Barisan Nasional dan selama ini merupakan penyokong kuat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman untuk meneruskan pembangunan yang sedang rancak dijalankan di Batu Sapi demi kesejahteraan rakyat, terutama bumiputera Islam.

Wakil Penduduk yang mewakili Etnik Bajau, Mohd Daniel AG, ketika menghubungi Sabahkini.net menjelaskan, bahawa pihaknya lebih terbuka fikiran dengan merenung jauh masa hadapan etnik yang paling ramai di Sabah dan bukannya semata-mata memikirkan keperluan hari ini.

“Kita bersyukur dengan program pembangunan yang sedang rancak dibangunkan terutama program perumahan rakyat dan prasarana pendidikan, kita harus memberikan sokongan jitu kepada pemimpin kita. Semua yang kita nikmati hari ini adalah hasil usaha kerja keras Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan BN,” ujar Daniel yang merasakan tiba masanya masyarakat Sabah menetapkan tekad untuk membangun bersama BN.

Segala dakyah pembangkang selama ini, kata Daniel, hanyalah untuk memperdaya rakyat yang telah pun mendapat segala kemudahan dan pembelaan, terutama peningkatan taraf hidup dan kemudahan menikmati pelajaran secara berterusan.

“Kita tidak nafikan bahawa tidak semua yang kita minta akan menjadi realiti kerana kerajaan terpaksa membuat perancangan rapi dan tidak ada yang boleh disiapkan dalam masa 24 jam, namun ianya tetap menjadi kenyataan,” kata Daniel yang akan berpindah ke rumah baru tidak lama lagi hasil pembangunan Kerajaan BN.

Kata Daniel, beliau turut terharu kerana anaknya yang mengalami Autisme juga mendapat bantuan kewangan dan kemudahan pembelajaran.

“Inilah yang meragukan saya selama ini. Saya tidak pernah meminta untuk mendapat anak autisme, tetapi kerajaan BN yang prihatin telah memberikan segala bentuk bantuan dan amat memberi kesan begitu mendalam kepada saya sebagai seorang bapa,” ujar Daniel yang baru mendapat anak kedua sebulan lalu.

Menurut Daniel, buat sementara waktu beliau masih bersetinggan di kampung Lupak Meluas, di atas tanah persendirian setelah rumahnya di kampung tersebut terbakar sekitar 2007 sementara menunggu Projek Perumahan Rakyat di Sibuga disiapkan sepenuhnya tidak lama lagi.

Daniel yang bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah memandu menjelaskan, bahawa rugilah etnik Bajau jika tidak menyokong Kerajaan BN yang selama ini telah memberikan segala kemudahan, sekalipun tidak semua kemudahan asas dapat dibina sekelip mata.

Walaupun tidak menyertai USBO, namun bagi beliau, sewajarnya semua etnik Bajau adalah Ahli Bersekutu USBO, sekalipun tidak mengisi borang keahlian kerana perjuangan USBO dan BN ialah untuk kesinambungan survival masyarakat Bajau keseluruhannya.

Sehubungan itu, kata Daniel, para pengundi Batu Sapi harus bijak memilik pemimpin untuk mewakili mereka dan jangan sekali-kali menggigit tangan mereka yang menyuapkan makanan.

“Bagi saya, sama ada dia pandai bercakap atau tidak, tidak timbul langsung. Yang penting pemimpin kami boleh mendengar segala rintihan kami dan menyampaikan melalui mekanisme parti. Adalah menjadi dasar BN, pemimpin BN tidak boleh membangkang program BN secara terbuka, jadi buat apa kita mencari pemimpin yang hanya tahu bercakap tetapi gagal melaksanakan tugas?,” ujar Daniel seraya menolak pihak yang memperkecilkan kebolehan calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin.

Kata Daniel, jika tidak percaya betapa pentingnya kerajaan BN kepada rakyat, tunggulah jatuh sakit atau mendapat anak yang memerlukan perhatian 24 jam.

"Ketika itu baru tahu betapa pentingnya sebuah kerajaan yang stabil seperti BN yang menyediakan hospital secara percuma dan sekolah khas dan segala kemudahan asas untuk rakyat," ujar Daniel dengan nada sebak apabila melihat ramai etnik Bajau terpengaruh dengan dakyah cetek pembangkang yang menjanjikan 'Sebuah Kerajaan yang Adil' untuk sebuah kerusi Parlimen Batu Sapi!

No comments:

Post a Comment