Tuesday 9 November 2010

ZAID TARIK DIRI DAN LEPASKAN SEMUA JAWATAN



CALON Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim kelmarin mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding selain melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam blognya, Zaid berkata pucuk pimpinan PKR tidak langsung cuba menangani pelbagai isu berhubung manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil walaupun isu-isu itu sering dibangkitkan.

"Sepanjang proses pemilihan parti, beberapa perkembangan menunjukkan kepimpinan parti membiarkan salah guna kuasa dan penipuan dalam pemilihan berlaku bagi mencapai tujuan tertentu.

"Saya yakin mana-mana parti politik yang mengamalkan nilai hipokrit dan palsu seperti ini tidak dapat menawarkan perubahan yang bermakna kepada rakyat di negara ini," katanya.

Bekas Menteri di jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau amat kecewa kerana tidak dapat terus bertanding dalam ‘proses pemilihan yang tercemar ini.’

"Saya ditawarkan menyertai parti ini dengan keyakinan bahawa saya dapat mengembangkan politik bebas dan progresif serta memupuk nilai dan budaya politik berprinsip yang saya anggap dapat membangunkan demokrasi dan tadbir urus yang baik di negara ini. Saya tersilap," katanya.

Zaid bagaimanapun berkata beliau terus komited kepada perjuangan pembangkang dan akan sentiasa membangkitkan isu melibatkan rakyat biasa.

"Akhir sekali, saya berharap mereka yang menyanjung Anwar Ibrahim tidak lagi menganggap saya sebagai 'pengacau' yang menghalang kemaraan mereka ke Putrajaya. Saya harap mereka berjaya," katanya.

Berikutan keputusan Zaid itu, pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR kini melibatkan Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub.

Semalam, setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan kononnya pemilihan parti itu dimanipulasi.

Dalam reaksinya, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali berkata Zaid masih lagi anggota parti itu.

"Setakat ini kita belum menerima surat yang dia nak meletak jawatan dan hanya melihat kepada entri yang dibuat dalam laman blognya. Walaupun dia melepaskan semua jawatan dan menarik diri bertanding, dia masih lagi ahli PKR sehingga dia membuat keputusan lain akan datang," katanya kepada Bernama.

Syed Husin berkata keputusan Zaid itu adalah haknya dan parti tidak mempunyai kuasa untuk menghalang.

Katanya beliau tidak terkejut dengan pengumuman Zaid itu kerana tindakan melepaskan jawatan itu telahpun dijangka.

"Menerusi tindak tanduknya, kenyataan-kenyataan yang dibuat, semuanya saya nampak menjurus ke arah ini (lepas jawatan)," kata Syed Husin.

Beliau tidak menolak kemungkinan kekecewaan terhadap keputusan pemilihan yang kurang memihak kepada Zaid menjadi punca beliau melepaskan semua jawatan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali menyifatkan pengumuman Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden dan meletakkan semua jawatannya dalam parti adalah satu keputusan peribadi.

Sambil menyatakan baru sahaja mengetahui keputusan Zaid itu hari ini, beliau berkata tindakan Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merupakan satu tindakan yang perlu dihormati semua pihak.

Sungguhpun Zaid mengumumkan menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan parti, semua pihak di dalam PKR harus menerima pemilihan yang telah dibuat oleh anggota parti khususnya dari Sabah, dalam menentukan kepimpinan parti itu hujung minggu lepas, katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini ketika diminta mengulas pengumuman Zaid di laman blognya.

"Ini adalah satu proses demokrasi dalam parti yang harus diterima oleh calon yang bertanding dalam parti. Pemilihan akan berterusan dan saya yakin anggota parti dapat melihat ia sebagai satu proses demokrasi dalam parti," kata Azmin. Mengenai peluangnya untuk memenangi pertandingan itu yang kini menjadi pertandingan satu lawan satu antaranya dengan seorang lagi Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub, Azmin berkata beliau tidak boleh membuat spekulasi berikutan masih ada lagi cabang yang belum selesai bermesyuarat.

Laporan sebuah laman berita portal menyebut keputusan tidak rasmi selepas pemilihan 87 cabang menyaksikan Azmin mendahului persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR apabila mendapat 6,525 undi manakala Zaid mendapat 3,905 undi dan Mustafa Kamil Ayub pula mendapat 1,215 undi.

Dalam satu kenyataan menerusi laman blognya, Zaid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan mendakwa dirinya telah tersilap apabila menawarkan siri untuk bertanding kerana menganggap PKR sebagai sebuah parti yang membawa politik yang progresif, mengembangkan demokrasi dan meningkatkan ketelusan.

Beliau mendakwa sepanjang pemilihan PKR, kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

Menurut Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali, Zaid masih lagi anggota parti itu kerana PKR sehingga kini masih belum menerima sebarang surat rasmi mengenai keputusannya itu.

Walaupun Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawatankkuasa Pemilihan Pusat parti itu tetap mengganggap beliau masih bertanding jawatan itu kerana tidak menerima sebarang surat rasmi daripada beliau.

Timbalan Setiausaha Agung PKR Syarifah Syahidah Syed Kamarulzaman berkata undi yang diterima oleh Zaid tetap dikira dalam perebutan jawatan nombor dua dalam parti.

"Beliau tidak menghantar surat penarikan diri secara rasmi, sebaliknya hanya mengumumkan keputusan tersebut melalui blog beliau (http://www.zaiduntukrakyat.com) pagi ini," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR di sini hari Isnin.

Beliau berkata jika Zaid menghantar surat penarikan diri daripada pertandingan itu secara rasmi, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan membuat keputusan mengenainya.

Zaid dalam blognya pagi ini mengumumkan beliau menarik diri daripada bertanding jawatan nombor dua parti itu serta meletakkan kesemua jawatannya dalam PKR termasuk Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Penyelaras parti dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkuatkuasa serta merta kerana mendakwa wujud salah guna kuasa dan penipuan dalam pemilihan parti itu.

Mengenai perkembangan pengundian MPP, Syarifah Syahidah berkata keputusan pengundian di 68 cabang semalam menyaksikan Mohamed Azmin Ali, juga Naib Presiden dan Pengerusi PKR Selangor, terus mendahului saingan untuk jawatan Timbalan Presiden dengan 4,378 undi.

Bagi perebutan jawatan Naib Presiden, anak sulung penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah mendahului saingan dengan 4,845 undi, dan diikuti pengarah strategi parti Tian Chua dengan 3,933 undi, pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mansor Othman (3,552) dan pengarah pilihan raya pusat PKR Fuziah Salleh (3,370).

Bagi jawatan anggota MPP yang memperuntukkan 20 kerusi pula, Dr Badrul Amin Baharon mendahului saingan dengan 3,786 undi, diikuti pengarah pemantapan politik keanggotaan PKR Datuk Johari Abdul (3,082), ketua penerangan Wanita PKR Elizabeth Wong Keat Ping (2,895), dan anggota MPP Khalid Jaafar (2,777).

Sementara itu, jawatan Ketua Wanita didahului penyandangnya Zuraida Kamaruddin dengan 1,568 undi, diikuti Timbalan Pengerusi 2 PKR Perlis Dr Suraya Sudin (570) dan anggota MPP Animah Ferrar (489).

Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula masih didahului penyandangnya Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan 1,455, manakala pencabarnya anggota MPP Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard mengekori rapat dengan 1,428 undi.

Menurut Sharifah Syahidah, keputusan sembilan lagi cabang yang bermesyuarat semalam iaitu tujuh di Sabah - Kota Kinabalu, Sandakan, Libaran, Sepanggar, Putatan, Sipitang, Beluran dan Tawau dan satu di Kelantan iaitu Pasir Mas dijangka diketahui lewat petang ini.

No comments:

Post a Comment