LOGISTIK......Siapakah yang mereka buru dan kenapa tidak dapat mengesan kemasukan 76 orang tentera palsu Sultan Sulu setelah beratus ribu sudah lama bermastautin di Sabah, malah layak menerima BR1M.
Oleh : MUTALIB M.D
SELURUH Malaysia digegarkan
dengan berita pencerobohan sekumpulan 'Lanun' (Mundu) yang kononnya tentera
'Sultan Sulu' sehingga Kampung Tanduo menjadi 'Medan Perang'; gara-gara
'kebijaksanaan' Ketua Cawangan UMNO Sungai Nyamuk, Ahmad Malandi @ Mat Bom
melakukan percubaan 'Reverse Take Over' sebagaimana yang saya jangkakan akan
berlaku sejak 1999 lagi iaitu selepas saya memberi keterangan dalam Petisyen
Pilihanraya DUN Likas.
Ketika Pasukan Perisik
Sabahkini.net memaklumkan kepada saya bahawa Tentera Sultan Sulu menyerang dan
menawan Kampung Tanduo sejak 12 Februari lalu, saya tergelak besar kerana saya
tahu siapa yang tinggal di sana dan kenapa mereka mendarat di sana.
Sebagai Mantan Setiausaha
Eksekutif UMNO Silam, saya kenal hampir kesemua 402 Ketua Cawangan UMNO Silam ketika
itu (1995-1997) yang majoritinya 'Warga Penyu' termasuk Ketua Cawangan UMNO
Sungai Nyamuk, Ahmad Malandi yang mempunyai akal Abu Nuwas.
Ahmad yang mempunyai akal
kancil memang 'Pakar Bom' terutama membuat bom ikan dengan hanya menggunakan
baja urea yang menjadi sumber pendapatan beliau sebelum FELDA 'menceroboh'
tanah beliau dan saudara maranya seluas lebih kurang 100 hektar.
Ahmad menjadikan 'Penjara
Air Panas' Tawau sebagai rumah kedua kerana usahanya tidak pernah putus-putus
mengugut Pegawai dan kakitangan FELDA yang beliau dakwa menceroboh tanah
pusakanya.
Sebenarnya Kerajaan Berjaya
telah membatalkan semua permohonan tanah di Sahabat Pinggir dan Zon Keselamatan
ketika menyerahkan kawasan yang menjadi Zon Persembunyian Lanun kepada FELDA
untuk dibangunkan sebagai Rancangan Penempatan Tanah.
Namun Ahmad yang mempunyai
akal panjang telah membuat permohonan Tanah Adat dan disahkan PPHT Lahad Datu
berdasarkan banyak pokok langsat dan buah-buahan yang kononnya beliau tanam;
sedangkan kesemua tumbuhan tersebut adalah langsat liar yang bercambah semula
jadi hasil daripada najis binatang yang memakan langsat, rambutan, terap dan
sebagainya.
Tambahan pula ketika itu,
Ahmad dan saudara maranya telah bersetuju menyerahkan tanah tersebut kepada
FELDA dan turut mendapat kontrak membangunkan tanah dan menuai buah sawit
daripada FELDA.
FELDA telah banyak bertolak
ansur dengan karenah Ahmad; malah sehinggalah saya dan Mantan Adun Lahad Datu,
Datuk Mohd Yusof Ahmad Jamli membuat perundingan untuk menyelesaikan masalah
tuntutan tanah Ahmad dengan FELDA.
Ahmad boleh hidup senang
kerana memperolehi pendapatan bersih antara RM5,000 sehingga RM20,000 sebulan
daripada hasil kontraknya dengan FELDA, namun akal Abu Nuwas membuatkan beliau
dijangkiti sikap 'Tamak dan Haloba' sehingga menuntut dan menceroboh semua
tanah yang dipohonnya bersama Haji Mahmood Mallang dan saudara maranya sebelum
ini.
Dengan ehsan Datuk Seri
Najib sebagai menteri yang menjaga FELDA ketika itu, Ahmad telah mendapat dua
lot tanah masing-masing seluas 15 ekar sebagai jalan penyelesaian tuntutannya.
Tetapi bak kata pepatah,
Ahmad yang telah diberi betis oleh FELDA, bukan sahaja mahu 'peha'; bahkan yang
berada di 'celah peha' meneruskan gertakan dan pencerobohan sehingga saya dan
polis sudah lali dengan perbuatannya yang melampaui batas.
Ahmad suka mereka cipta
cerita baru setiap hari; termasuk membawa ke sana ke mari kisahnya yang saya
bukukan dalam buku 'Koleksi Sabah' serta keratan surat khabar yang ditulis
rakan saya, Ruhaidini Abdul Kadir daripada Utusan Malaysia untuk dijadikan asas
tuntutan.
Ahmad bukan sahaja sering
menimbulkan provokasi dengan membawa 'bom ikan'; sebenarnya tidak boleh
dikategorikan sebagai bom kerana tidak mempunyai alat peledak disebabkan tidak
mempunyai detanator; melainkan pasir, beras, tepung dan garam; semata-mata
untuk mengugut Polis Bantuan FELDA agar membuka pagar hadangan bagi membolehkan
beliau mengeluarkan buah yang dituainya daripada ladang FELDA.
Sejak meletakkan jawatan
sebagai Setiausaha Eksekutif UMNO Silam pada 1997, saya hanya menemui Ahmad dua
kali iaitu tiga tahun lalu di Kota Kinabalu, namun tidak sempat bercerita
panjang kerana masing-masing sibuk dengan urusan.
Bagaimanapun Ahmad meminta
saya membantu menulis surat kepada Sultan Sulu kerana beliau begitu yakin
bahawa perjuangan beliau tidak lama lagi akan berhasil dengan bantuan saudara
maranya di Sulu dan akan datang membantu beliau mendapatkan bukan sahaja 100
hektar 'Tanah Adat'; malah keseluruhan tanah FELDA.
Saya hanya tersenyum mendengar
ceritanya (impian kosongnya) tetapi menyatakan tidak dapat membantu beliau
menulis surat kerana saya akan terbang ke Pulau Pinang; apatah lagi saya kenal
siapa dan apa kebolehan Ahmad; namun darah saya tersirap apabila beliau begitu
serius ingin menjemput saudara maranya daripada Sulu jika beliau kalah dalam
kes mahkamah.
Sejak daripada itu saya
tidak lagi mengambil peduli kisahnya sehinggalah Pasukan Perisik Sabahkini.net
memaklumkan kepada saya berhubung 'lawatan mengejut' saudara maranya daripada
Sulu dan telah dikepung pihak berkuasa ketika Ahmad nazak terlantar di Hospital
Lahad Datu akibat darah tinggi dan angin ahmar.
Saya hanya mampu berjenaka
dengan Pasukan Perisik Sabahkini.net bahawa "Mereka datang mengambil
BR1M," dan tidak terniat untuk membuat liputan di Kampung Tanduo kerana
hati kecil saya berbisik 'Gertak Keling' Ahmad yang sebelum ini telah kecewa
setelah semua jalan perundangan buntu.
Dalam keadaan Kesultanan
Sulu yang sudah mengalami kehancuran sejak 1936 dan telah menjadi sebahagian
daripada sejarah; maka 'Golongan Sultan Oportunis' mengambil kesempatan untuk
melawat Ahmad yang sakit tenat di Hospital Lahad Datu; di samping menganyam
rapi niat tersembunyi mereka untuk merampas kembali Borneo Utara daripada
Kerajaan Malaysia.
Secara kebetulan Ahmad
mempunyai hubungan rapat dengan 'Sultan Sulu' yang menabalkan diri sendiri
tanpa melalui 'Ruma Bichara' (Majlis Raja-Raja) dan mungkin telah membuat
kajian dan perancangan rapi bersama anaknya Mohd Ali.
Mengikut risikan saya, koresponden
Sabahkini.net di Langunyan, memaklumkan bahawa mengikut sumber, Sultan Jamalul
Kiram III telah melancarkan serangan 'Diplomatik Reverse Take Over' dengan
menghantar 1,500 tenteranya ke Sabah; masing-masing 300 orang tentera Tungku,
Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan.
Namun tidak diketahui apakah
kesemua tentera berkenaan telah mendarat melainkan dilaporkan antara 100 hingga
300 yang mendarat di Kg Tanduo, Tungku kerana masih mengkaji modus operandi dan
jejak mereka masuk ke Sabah; tanpa dapat dikesan oleh pihak berkuasa; apatah
lagi perbatasan Malaysia yang sentiasa bolos dan mudah dibolosi PATI.
Pasukan Perisik
Sabahkini.net masih cuba mengesan kedudukan Ahmad dan anaknya Mohd Ali yang
dipercayai menjadi dalang 'pencerobohan' ini kerana mengikut maklumat Hospital Lahad
Datu, Ahmad sudah nazak dan dibenarkan dibawa pulang ke Kg Sungai Nyamuk, kerana
dinantikan saudara maranya 'Tentera Sulu' yang terkepung oleh Pihak Berkuasa
Malaysia.
Anak perempuannya juga tidak
dapat dihubungi untuk mengetahui keadaan bapanya yang semakin tenat. Bagaimanapun
Perisik Sabahkini.net di Tanduo mengesahkan bahawa kunjungan 'Tentera Sultan
Sulu' ini atas jemputan Ahmad dan anaknya Mohd Ali.
Tambahan pula, Haji Musa
yang merupakan pemimpin Nombor 2 dalam rombongan tentera berkenaan adalah besan
Ahmad kerana anaknya, Mohd Ali bernikah dengan anak Haji Musa.
Manakala pemimpin Nombor 1
kumpulan tersebut, Datu Ibrahim @ Datu Kuin Jamalul Kiram pula bernikah dengan
anak Ketua Cawangan UMNO Sungai Bilis 2, Hussin Oyung.
Agak mengejutkan kerana saya
mendapat tahu anak Datu Ibrahim @ Amirul Kiram di Malaysia iaitu Datu Amir Datu Amirul,
ialah Ahli UMNO Cawangan Sungai Bilis 2.
Oleh itu tidak hairan jika
kehadiran mereka tidak dapat dikesan Pihak Berkuasa yang belum pernah
menggunakan 'kecanggihan satelit' di Jabatan remote Sensing negara untuk
mengesan sebarang pergerakan keluar masuk bot besar atau perahu; apatah lagi
'Pusu' yang tidak mengeluarkan sebarang bunyi kerana eksosnya dibenamkan ke
dalam laut.
Dalam keadaan penuh curiga, orang
awam sukar bekerjasama dengan pihak
berkuasa yang disifatkan sering menyalahguna kuasa dan bertindak kasar dan
menuduh pemberi maklumat sebagai penjenayah yang bersubahat.
Saya terpaksa menahan ketawa
membawa segala komen dan ulasan daripada semua pihak; apatah lagi 'kependekan
akal' pihak berkuasa yang menghantar satu batalion tentera berkubu di Kampung
Tanduo, Kampung Sungai Nyamuk, Kampung Sungai Merah untuk mengawal dan memantau
'Tentera Sultan Sulu'; sedangkan pada hakikatnya hanyalah 'Tentera Upahan'
Ahmad Malandi @ Mat Bom.
Mengikut risikan
Sabahkini.net hanya 76 orang sahaja 'Tentera' yang berjaya mendarat di Tanduo
termasuk enam wanita untuk mempertahankan tanah adat yang didakwa milik Ahmad di
FELDA Sahabat 18 setelah Ahmad menjanjikan mereka akan mendapat tanah yang
telah ditanam kelapa sawit seluas beribu ekar di Felda Sahabat 18.
Dikhuatiri Ahmad dan Mohd
Ali yang membiayai pembelian senjata api berkenaan di pasaran gelap di
Tawi-Tawi dan segala makan minum mereka setelah kecewa dengan keputusan mahkamah
yang memenangkan FELDA dalam kes tuntutan tanah beliau.
Kelicikan Ahmad berjaya
mengaburi mata pihak berkuasa yang menyangka memang benar Tentera Sulu setelah
Datu Ibrahim @ Datu Kuin berjaya mempengaruhi saudaranya, Sultan Jamalul Kiram
III mengakui kumpulan tersebut sebagai 'Tentera Sultan Sulu' yang mendapat
suaka sementara kerana Kerajaan Filipina sudah pasti akan menangkap mereka dan
dibawa ke muka pengadilan.
Setelah tidak mempunyai
harapan mendapat tanah yang dijanjikan Ahmad kerana dalam keadaan fizikalnya
yang nazak; maka berlaku pertengkaran dan berselisihan pendapat sehingga Haji
Musa dan Majid terbunuh dalam kejadian tembak menembak sesama mereka.
Sabahkini.net mendapat tahu
bahawa Datu Ibrahim @ Kuin Jamalul Kiram turut tercedera terkena peluru sesat;
malah mereka berbalah dan tidak sehaluan lagi setelah perunding dengan pihak
berkuasa melalui jalan buntu.
Setelah membuat pertimbangan
dan siasatan rapi, saya menganggap 'Drama' Ahmad Malandi hanya merupakan
gertakan dan dalam keadaan fizikalnya sekarang, Mohd Ali tidak mampu melakukan
apa-apa; malah terpaksa menggadai nyawa jika rundingan tamat.
Mungkin tiba masanya Menteri
Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Ketua APMM, Panglima
Angkatan Tentera dan pihak berkuasa untuk bermuhasabah diri dan meletakkan
jawatan kerana kejadian ini merupakan 'kemaluan' yang tidak dapat disorok
daripada mata dunia yang melihat betapa rapuhnya pertahanan Sabah; sehinggakan
Ahmad Malandi @ Mat Bom boleh merancang 'Pintomen' serangan yang menyebabkan
seluruh negara terpinga-pinga dan ketakutan.
Masa untuk berunding telah
tamat. Bagaimanapun 76 tentera palsu Sultan Sulu yang terpedaya oleh 'Janji
Terang Bulan' Ahmad Malandi ini wajar diberi peluang menyerah diri secara
sukarela dan perlu diadili di mahkamah Malaysia kerana masuk secara haram
dengan niat untuk menderhaka kepada yang DiPertuan Agong!
Sabahkini.net akan
membongkar institusi Kesultanan Sulu dan apa relevannya lagi dengan Sabah dapat
episod akan datang.
No comments:
Post a Comment