Oleh : ABDUL RAHIM SABRI
PERDANA Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak hari ini menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya
Transparency International untuk mempertahankan integriti dan menyatakan
komitmen beliau kepada agenda negara untuk membanteras rasuah khususnya
menjelang pilihan raya umum ke-13.
Ikrar Intergriti Pilihan
Raya Transparency International adalah sosial kontrak sukarela kepada calon
yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai ikrar untuk mempromosikan
integriti, urustadbir kerajaan dengan baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam
kerajaan di peringkat negeri dan pusat serta mempertahankan keluhuran
undang-undang.
Majlis tandatangan tersebut
disaksikan oleh Presiden Transparency International-Malaysia Datuk Paul Low dan
Timbalan Ketua Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohd
Shukri Abdull dalam satu majlis ringkas di pejabatnya hari ini.
Najib kemudiannya menyerahkan
ikrar tersebut kepada Low yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
dan pemimpin parti kompenan BN.
Dalam kenyataan media yang
diedarkan menyebut, ikrar tersebut menetapkan empat perkara terhadap calon BN
yang akan bertanding dalam pilihan raya itu kelak. Dokumen tersebut
menyenaraikan:
Calon mestilah melihat
prinsip kebenaran, integriti, etika dan telus termasuk tidak menerima atau
memberi rasuah atau terlibat dalam apa cara perlakuan rasuah.
Calon mesti mempertahan dan
memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat keseluruhannya.
Calon mesti mempraktik
urustadbir kerajaan yang baik dan ketelusan.
Calon mesti terikat dengan
undang-undang dan peraturan yang terpakai di Malaysia.
Mengulas ikrar berkenaan,
Najib berkata beliau akan memastikan semula calon BN akan turut menandatangani
dokumen tersebut.
"Calon daripada BN dan
parti komponennya telah menjalani proses
saringan dengan SPRM, ia bersesuaian bahawa mereka kini menyatakan komitmen
untuk pilihan raya bersih dan adil dengan melangkah satu tapak ke hadapan,
menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya," kata Najib dalam kenyataan
yang diedarkan kepada media.
Kenyatan itu juga menyebut,
calon yang menandatangani ikrar tersebut bersetuju mendokong Akta Kesalahan
Pilihan Raya 1954 dan peraturan didalamnya serta memastikan tindakan dan
keputusan mereka memberi faedah kepada rakyat umum dan bukannya untuk
kepentingan diri sendiri.
Ditemui pemberita selepas
majlis tersebut, Paul berharap semua pihak termasuk calon Pakatan Rakyat dan
Bebas supaya menandatangani ikrar tersebut sepertimana yang dilakukan oleh BN
pada hari ini.
"Bagaimanapun
terserahlah kepada mereka (untuk membuat keputusan).
"Kita mahu calon yang
berintegriti dan ia sebagai usaha melawan korupsi bagi mengubah kepada bentuk
budaya politik baru di Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment