SEORANG senator Filipina
menggesa kerajaannya supaya segera menyatakan dasar negara itu berhubung
tuntutan satu wilayah ke atas Sabah, serta kebuntuan isu pencerobohan tentera
Sulu di Sabah.
"Saya fikir sudah tiba
masanya jabatan hal ehwal luar negeri memperjelaskan kedudukan dasar luar...
sehingga itu, kita perlu menghentikan komen seterusnya kerana ini adalah isu
yang sangat sensitif," kata Senator Antonio Trillanes IV (duduk kanan) yang dipetik
Philippine Daily Inquirer.
"Ia melibatkan
kehidupan rakyat kita di Sabah... kita perlu mempercayai pentadbiran Aquino
bahawa ... ia akan mengambil pendirian dasar luar yang betul. Tetapi saya
bercadang untuk bercakap dengan Presiden mengenainya dan berkongsi pandangan
saya mengenai perkara itu. "
Bekas Filipina senator Ramon
Magsaysay Jr telah mencadangkan semalam bahawa Manila perlu menghalang sultan
Sulu Jamalul Kiram daripada menambah ketegangan yang semakin meningkat di
Sabah.
"(Dia) harus dihalang
... biarlah kerajaan Malaysia membiarkan mereka kembali ke sini," kata
Magsaysay, yang pernah menjadi pengerusi jawatankuasa Senat mengenai pertahanan
negara.
"Yang paling penting
adalah penyelesaian secara aman tanpa menggoyang hubungan antara Malaysia dan
Filipina."
Satu kumpulan bersenjata
Filipina yang diketuai oleh adik Kiram, Agbimuddin Kiram, telah berkubu di
sebuah kampung di pantai berhampiran Lahad Datu sejak 9 Februari, dan menuntut
supaya dibuka semula rundingan antara kedua-dua kerajaan berhubung tuntutan ke
atas Sabah.
Sultan Sulu bertegas bahawa
Sabah adalah kepunyaan kesultanan tersebut sebelum wilayah itu diserah oleh
penjajah British kepada Malaysia.
Walaupun Malaysia mendakwa
ia mempunyai kedaulatan ke atas Sabah, tetapi ia membayar sejumlah token kepada
kesultanan tersebut setiap tahun sebagai 'sewa' negeri itu, berikutan satu
perjanjian antara pihak berkuasa penjajah British dan sultan.
Philippine Daily Inquirer
juga memetik Danny Virtudazo, yang mendakwa menjadi pengerusi negeri Palawan,
sebahagian kesultanan Sulu, sebagai berkata, pengikut kesultanan itu mempunyai
lebih ramai ahli di merata tempat di Sabah, berbanding yang ada di Lahad Datu.
Beliau berkata beberapa bot
telah mendarat di Sabah dengan seramai kira-kira 1,500 lelaki, tetapi pihak berkuasa
Malaysia tidak tahu di mana mereka berada.
Virtudazo berkata mereka
adalah daripada "pasukan keselamatan diraja" kesultanan tersebut yang
diambil daripada anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MILF) dan juga
kumpulan Abu Sayyaf.
"Situasi menang-menang
adalah bagi Malaysia bersetuju bersidang dengan Raja Mudah (putera mahkota) dan
kesultanan Sulu. Kami menyokong rundingan terbuka," kata Virtudazo yang
mendakwa beliau adalah menantu Agbimuddin.
Akhbar tersebut melaporkan
pasukan keselamatan Malaysia telah mula bergerak dan Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Hishammuddin Hussein (memakai topi dalam gambar) berikrar tidak akan
berkompromi dengan kedaulatan dan keselamatan Malaysia.
Menurut Philippine Daily
Inquirer, tempoh 24 jam lepas telah menyaksikan peningkatan aktiviti pasukan
polis, tentera dan tentera laut dalam radius 24km di sekitar kampung Tanduao,
berhampiran pekan Lahad Datu.
Tetapi pasukan keselamatan
berada pada jarak lebih daripada 500 meter dari lokasi kumpulan tersebut yang berada
berhampiran kuarters pekerja. Mereka memantau rakyat Filipina itu yang ada pada
masanya pergi ke sebuah telaga yang terletak hanya 300 meter dari lokasi mereka
untuk mendapatkan air.
Dalam satu analisis yang
disiarkan semalam, akhbar itu menjelaskan bahawa waris sultan tersebut telah
memutuskan untuk meningkatkan tuntutan mereka selepas berasa dikhianati dan
dipinggirkan daripada proses damai antara pentadbiran Aquino dan MILF.
Abraham Idjirani, setiausaha
agung dan jurucakap kesultanan tersebut berkata, keputusan untuk menunjukkan
bukan hanya kehadiran fizikal tetapi pendudukan sebenar di Sabah, dibuat akhir
tahun lalu, tidak lama selepas pentadbiran Aquino menandatangani Perjanjian
Rangka Kerja mengenai Bangsamoro dengan MILF pada 15 Oktober.
Idjirani berkata, sebelum
menandatangani perjanjian rangka kerja itu, Pejabat Penasihat Presiden untuk
Proses Perdamaian, menjemput
waris sultan (kiri) untuk
apa yang sepatutnya satu perundingan mengenai perjanjian damai dengan MILF.
Bagaimanapun perjanjian
rangka kerja itu telah selesai tanpa mengambil kira kepentingan Kesultanan Sulu
dan Borneo Utara.
"Selagi kerajaan tidak
memasukkan sama kesultanan tersebut, maka tidak akan ada keamanan yang
berkekalan di Mindanao," katanya.
Menurut Idjirani, ekoran
tandatangan perjanjian rangka kerja dengan MILF itu telah menyatukan waris
sultan dan keputusan mereka untuk meneruskan sendiri tuntutan mereka ke atas
Sabah.
Beliau berkata, mesyuarat
para waris berlangsung pada 11 November tahun lepas di rumah seorang saudara
mereka.
Dalam mesyuarat itulah Kiram
mengeluarkan perintah diraja yang membernarkan 'perjalanan'adiknya ke Sabah.
No comments:
Post a Comment