Tuesday, 7 December 2010

69 PESERTA E-KASIH NABAWAN HADIRI KURSUS




SAMPAIKAN…. Ghani menyampaikan sijil kepada peserta, sambil disakikan oleh Hissin (kanan), Abdul Khalil (tengah) Aloysius (dua dari kiri) dan Barahim (kiri).

Oleh: MAIL MATHEW

SERAMAI 69 peserta dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan yang kebanyakannya terdiri daripada ketua keluarga e-kasih, golongan peniaga, belia dan ibu tunggal berkesempatan mengikuti Program Pembangunan Minda Insan (PPMI) yang berlangsung selama tiga hari, sebagai kelangsungan pembasmian kemiskinan menjelang tahun 2020.

Dalam konteks itu, kerajaan komited untuk menggalas tanggung jawab tersebut dengan mensasarkan semua penduduk di negara ini maju dalam segala aspek dan mempunyai sumber ekonomi yang stabil.

Ketua Umno Bahagian P.182 Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin berkata demikian ketika merasmikan penangguhan PPMI yang ditaja oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan diselaraskan bersama Felcra Training Consultancy dan An-Nur Konsultan di Hotel Queen, Tenom.

Tegasnya, usaha kerajaan seperti ini merupakan terjemahan melalui pelbagai program pembangunan dan peningkatan ekonomi yang turut menekankan pembangunan minda dalam kalangan masyarakat di luar bandar.

“Program-program berkenaan khusus diwujudkan sebagai langkah membasmi kemiskinan penduduk di kawasan luar Bandar,” katanya sambil mengharapkan agar ia disambut dengan penuh keseriusan agar ia mencapai matlamat kerajaan sepertimana yang dirancangkan sebelum ini.

Ghani yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata, isu kemiskinan tegar kini hangat diperkatakan dalam kalangan penduduk di negeri ini terutama di kawasan Pedalaman.

PESERTA…. Sebahagian daripada peserta yang mengikuti PPMI itu.

Namun katanya, kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya yang bukan sahaja dengan memberi bantuan melalui projek pembasmian kemiskinan tetapi juga program membangun minda agar mereka mempunyai kesedaran untuk mengurus sumber ekonomi keluarga masing-masing.

Ghani menambah, hakikat sebenarnya bahawa penduduk di luar bandar tidak miskin dari segi harta kerana mereka telah pun memiliki tanah namun istilah kemiskinan tegar yang sering diperkatakan harus difahami adalah juga merangkumi kemiskinan minda.

Justeru itulah katanya, minda masyarakat di luar bandar perlu dibangunkan selaras dengan hasrat kerajaan mengubah taraf hidup dan meningkatkan ekonomi mereka.

Dalam pada itu, Ghani menegaskan bahawa kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak termasuklah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman telah memberi tumpuan kepada pembangunan penduduk di kawasan luar bandar sepertimana yang digariskan dalam Bajet 2011 baru- baru ini.

Hadir sama di majlis itu, Pengarah Urusan Felcra Training Consultancy, Haji Hussin Marubal, Pengurus Pentadbiran Felcra Berhad Sabah, Abdul Khalil Ghani; Penolong Pegawai Daerah Pembangunan, Nabawan Aloysius Anthony; Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Nabawan Barahim Andipoh dan Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Nabawan, Khairol Abdullah.

No comments:

Post a Comment