Wednesday, 8 December 2010

JANGAN GADAI MARUAH BANGSA



Oleh: AMBROSE MAIL MATHEW

SEDAR atau tidak bahawa tanah tanah pertanian di Sabah sudah lebih kurang 50 peratus jumlahnya sudah beralih tangan kepada ‘orang luar’ dari Semenanjung Malaysia melalui beberapa syarikat gergasi seperti Yayasan Melaka yang mendapat kira-kira lebih 25 ribu ekar tanah pertanian di Sabah.

Sedangkan rakyat Sabah yang terlebih dahulu tinggal di kawasan Hutan yang sebelum diwartakan sebagai Hutan Simpan

Masyarakat Murut yang tinggal di Mukim Dalit dan masyarakat Rungus di Kudat pernah suatu ketika dulu telah dihalau keluar daripada kawasan tersebut, malah rumah-rumah mereka turut dibakar tanpa peri kemanusiaan.

“Apakah tindakan kerajaan UMNO-BN ini adil untuk rakyat atau menyeksa rakyat?,” demikian dinyatakan mantan Menteri Kewangan Sabah Datuk Haji Mohd Noor Mansor ketika berucap di majlis Induksi ahli-ahli baru SAPP Kemabong, di Hotel Perkasa dekat Tenom baru-baru ini.

Beliau menyifatkan keadaan pemerintahan kerajaan UMNO-BN di Sabah agak keterlaluan dari segi batas-batas kemanusiaan kerana kalau pun mereka menghulurkan bantuan tetapi hanya kepada pengikut-pengikut mereka sahaja yang terdiri daripada PATI yang telah dikitar semula menjadi ‘Rakyat Sabah’.

Selain masalah ekonomi yang semakin serius, masalah pengangguran di kalangan para belia dan beliawanis di Sabah turut terabai dan semakin menjadi jadi seperti yang disiarkan dalam akhbar beberapa bulan lalu yang mengatakan beribu belia Sabah terpaksa merempat di Kuala Lumpur setelah lari daripada ditindas majikan mereka.

“Bila kita tanya dan tegur pemimpin-pemimpin BN Sabah, terutamanya Menteri terbabit, mereka cepat-cepat menafikannya. Pada hal insiden itu benar-benar berlaku dan sepatutnya kerajaan negeri melalui Kementerian terbabit pantas bertindak dan bukan membuang masa berdolak-dalik,” tegas Matnor.

Malahan ada di antara belia-belia Sabah yang bekerja di Singapura dan Semenanjung, kata Matnor, terlibat dengan masalah jenayah serius termasuk ada yang menanti masa dan ketikanya ke tali gantung kerana terlibat dengan jenayah dadah seperti yang berlaku di Singapura.

Sesungguhnya tragedi berlaku atau dilakukan mereka (belia) bukanlah atas kehendak para pemimpin kerajaan Sabah, namun ia berpunca daripada kelemahan mereka dari segi menyusun atur pentadbiran yang tidak mengambilkira masalah penempatan belia-belia menganggur, termasuklah lepasan graduan.

“Semua ini berlaku kerana kelalaian mereka yang langsung tidak menitik beratkan soal belia yang menganggur dan begitu juga yang dihadapi para graduan yang terus menganggur bertahun-tahun sukar mendapat pekerjaan. Keadaan hidup mereka semakin serius dan tertekan mengakibatkan mereka tiada pilihan selain bertindak melakukan penghijrahan mencari pekerjaan ke Semenanjung,” tambah Datuk Matnor.

Matnor seterusnya menegaskan bahawa selagi sikap pemimpin-pemimpin UMNO-BN terus ‘lupa diri’ terhadap tanggung jawab mereka memajukan negeri ini dan sebaliknya mereka meneruskan amalan ‘Korupsi’ yang mementingkan diri mereka termasuk kroni-kroni yang senantiasa menjejaki mereka ibarat ‘lintah kelaparan untuk menghisap darah’ alamatlah apa yang dilaporkan media kononnya Bank Dunia dipetik sebagai berkata, “Sabah di antara negeri yang termiskin di Malaysia” akan menjadi kebenaran.

Oleh itu tegas Matnor, tiada siapa yang mampu mengubah keadaan sebegini rupa selain daripada rakyat Sabah itu sendiri yang harus berani bangun untuk mengubahnya secara demokrasi menerusi pilihanraya umum akan datang ini.

Jika tidak, kata Matnor, siapa lagi yang boleh berbuat sedemikian kerana Sabah adalah hak milik rakyat Sabah dan adalah menjadi tanggung jawab kita bersama untuk melakukan perubahan yang bakal dilakukan pada PRU13 kelak.

“Saya tua-tua bangka ini pun sanggup juga turun padang bersama anak-anak sekalian untuk mempastikan kita rakyat Sabah sama-sama bangun membina semangat baru untuk terus berjuang mendapatkan kembali hak dan kuasa autonomi kita di Sabah. Jika kita lambat bertindak selagi itu masalah hak kita semakin terhakis. Ketika itu kita menangis hingga menitis air mata darah sekalipun tidak berguna lagi,” tegas Matnor dengan nada serius.

No comments:

Post a Comment