Saturday, 4 December 2010

JASA BONDULU SENTIASA DIKENANG



JASA… Justin bersama anggota keluarganya di hadapan Rumah Kanak-Kanak Bondulu (RKKB), Toboh Tambunan diabadikan sebagai mengenang jasa terhadap tanah yang diberikan oleh Bondulu.

Oleh: ROZIE JUMAT

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Itulah peribahasa yang seringkali kita dengar mengenai jasa atau sumbangan yang ditinggalkan seseorang, sehingga namanya diabadikan sebagai nama geografi iaitu satu peringatan terhadap jasanya; terutama nama jalan atau bangunan.

Di Tambunan, ramai orang tahu tanah seluas 4.7 ekar tanah yang menempatkan antara lainnya Gereja Katolik Holy Cross Toboh, Dewan Ton Putman, convent, sekolah dan Rumah Kanak-Kanak Bondulu adalah disumbangkan oleh seorang penderma yang bernama Bondulu Bin Sambatang.

Buat julung kalinya, setelah 57 tahun bersemadi, anak-anak keturunan Bondulu Sambatang dan isterinya, Maria Konsimoi Sampiga dan Kusiok (adik Bondulu), mahu mengadakan satu majlis perjumpaan bersama keluarga dan mengadakan misa kudus bagi menghormati nenek moyang mereka yang berjasa kepada masyarakat di samping bertujuan bertemu dan berkenalan dengan sanak saudara yang tinggal berselerak, termasuk di Semenanjung Malaysia, Australia dan New Zealand.

“Kami merasa amat bangga dengan keikhlasan dan sumbangan yang diberikan oleh moyang kami dan amat berterima kasih kerana salah satu bangunan telah dinamakan sempena nama beliau,” kata Pengerusi Persatuan Sinakagon Bondulu, Konsimoi dan Kusiok, Justin Peter Korop, 57 tahun.

Menurut Justin majlis perjumpaan keluarga itu akan diadakan pada 10 Disember akan datang bertempat di Gereja Holy Cross Katolik, Tambunan bermula jam 10.00 pagi dan dijangka seramai 300 orang ahli keluarga akan datang sempena majlis tersebut.

Namun kata Justin, mana-mana saudara mara dari keluarga Bondulu, Konsimoi dan Kusiok yang dikatakan berasal dari Kampung Tirian ,Penampang adalah dialu-alukan untuk datang sempena majlis tersebut untuk berkenal-kenalan atau suaikenal di majlis perjumpaan keluarga yang julung kali diadakan.

Bondulu dan Konsimoi mempunyai 8 orang anak dan adik beradik Konsimoi seramai 4 orang manakala Kusiok (adik Bondulu) bersuamikan Tonggilob mempunyai 6 orang anak. Mereka inilah yang membentuk persatuan keluarga yang dinamakan Persatuan Sinakagon Bondulu, Konsimoi dan Kusiok.

Antara acara yang akan diadakan ialah acara memotong kek, suaikenal dan juga acara cabutan tiket bertuah.

“Menjelang perjumpaan keluarga ini juga, saya sering bermimpi didatangi oleh orang tua-tua yang sudah lama pergi dan saya beranggapan mereka bersetuju dengan majlis yang kami anjurkan,” kata Justin yang juga merupakan Pengerusi Penganjur Majlis Keluarga.

Pelancaran persatuan keluarga itu dan misa kudus akan disempurnakan oleh Bishop Datuk Cornelius Piong.

Ahli-ahli keluarga ini juga telah mengadakan gotong royong membersihkan kuburan yang menempatkan anggota keluarga itu di tanah perkuburan Minodung.

Sementara itu Setiausaha Penganjur, Juse Loibin berkata, nama Rumah kanak-Kanak Bondulu (RKKB) telah diberikan oleh Persatuan Kebajikan Tambunan yang membina sebuah bangunan khusus untuk anak-anak kurang berkemampuan dalam menangani masalah pembelajaran. RKKB kini telah berusia 20 tahun dan turut dihuni oleh kanak-kanak yatim dan kurang berkemampuan.

“Hasil sumbangan moyang Bondulu melalui tanah yang diwakafkan kepada badan keagamaan sesungguhnya satu sumbangan yang sangat besar nilainya dan sebagai keturunannya kami mahu menjaga nama baik beliau dan melalui persatuan keluarga inilah kami mahu bersatu padu,” kata Juse yang menyahut slogan 1Malaysia, mewujudkan bangsa yang bersatu padu.

Bersempena dengan majlis itu juga kata Juse, anggota keluarga yang tidak dapat datang tetapi mahu memberikan sumbangan kepada persatuan keluarga itu adalah amat dialu-alukan.

“Persatuan keluarga ini turut mengumpul dana untuk khairat dan pendidikan, oleh itu sumbangan mereka sangat dialu-alukan. Mereka juga dialu-alukan untuk memberi sumbangan terhadap majlis ini dan mereka boleh menghubungi saya atau pengerusi,” kata Juse.

Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungu Justin 0168165712 dan Juse 0105480078.

No comments:

Post a Comment