Saudara Pengarang,
PADA 04 Disember 2010, adik saya memberitahu seorang pengawal keselamatan wanita telah mengasarinya dan rakan-rakannya dengan bertindak menghentak-hentak barang di kaunter sebuah pasaraya di Wisma Merdeka.
Adik saya dan rakannya meminta pengawal keselamatan itu supaya bekerja dengan lebih tenang dan berbudi bahasa dan beranggapan kejadian itu telah diselesaikan dan terus mengunjungi kedai makan dalam Wisma Merdeka.
Tetapi ketika mereka sedang seronok menikmati makanan, tiba-tiba seorang pengawal keselamatan lelaki yang mengakui dirinya sebagai suami kepada pengawal keselamatan wanita yang mengasari mereka telah mendekati mereka dengan cara kasar mengarahkan mereka ke Tingkat 8 Pasaraya itu.
Apabila mereka bertanya di mana penyelia Pengawal Keselamatan itu, pengawal keselamatan itu menjawab penyelia mereka sudah balik lalu adik saya tidak menghiraukan ugutan lelaki tersebut kerana takut mengundang kejadian tidak diingini.
Sebagai kakak, saya meminta agar pihak pasaraya di Tingkat 8, menyiasat kejadian ini kerana tindakan kedua-dua pengawal keselamatan boleh mengancam keselamatan adik saya dan rakannya. Jika kes ini tidak dapat diselesaikan dengan cara baik, saya akan mengarahkan adik saya membuat laporan polis.
Mohon kerjasama dari pihak tuan.
ANING, PUTATAN
No comments:
Post a Comment