LAWAT… Radin bersama KPN Tan Sri Ismail Haji Omar ketika melawat gerai dan bermesra dengan orang ramai.
Oleh: MAIL MATHEW
KETENANGAN, keselesaan dan kemakmuran merupakan antara aset semulajadi yang dimiliki daerah Tenom dan Kemabong sejak di zaman kolonial lagi, namun selepas merdeka kira-kira 47 tahun lalu, perubahan ketara mula berlaku daripada suasana lesu kepada kepesatan pembangunan sehinggalah ke hari ini.
Suasana ketenangan yang ada pada ketika itu, orang ramai tidak sedikit pun terfikir soal kebimbangan dari aspek keselamatan, malah sesiapa juga meletakkan basikal di kaki lima kedai meskipun tidak berkunci, namun tidak berganjak (dicuri) di tempatnya pada keesokan harinya.
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Radin Malleh menegaskan demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 orang di padang pekan Tenom pada minggu lepas dalam Majlis Muhibbah Polis dan Masyarakat sempena perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang baru oleh TYT Yang DiPertua Negeri Sabah baru- baru ini.
Hadir sama di majlis itu, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Haji Omar; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamzah Taib; Ketua Polis Daerah Tenom, DSP Mazlan Haji Lazim; Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Clarence Puin Pinduruh; OKK David Jani; OCPD seluruh Sabah; para pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan serta para pemimpin masyarakat tempatan.
Radin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan (Adun) Melalap dan pernah berkhidmat dalam PDRM berpangkat Deputi Suprintendan Polis (DSP) sebelum meletakkan jawatan dan menceburkan diri dalam arena politik sekitar tahun 1990an; menyifatkan Pasukan Polis merupakan satu-satunya organisasi yang disegani dan ditakuti masyarakat Murut pada ketika itu kerana melihat ketegasan, kecergasan dan gaya penampilan yang mengagumkan.
Malahan tambahnya lagi, ramai masyarakat itu merasa takut ketika didatangi mahupun didekati oleh anggota Polis ketika mereka berada di kawasan pekan, apa lagi untuk bertegur sapa dengan Polis; ia bagaikan ada yang menghalang suara terkeluar.
“Tetapi kalau mereka nampak ada pertunjukan Pancaragam PDRM (Police Band) di padang, mereka suka melihat persembahan itu yang panggil ‘begular’ yang merujuk kepada sebutan ‘bagullar’,” kata Radin.
Dalam pada itu, Radin menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu takut atau sangsi terhadap peranan yang dimainkan oleh pihak Polis dalam apa juga tugas yang mereka jalankan dari semasa ke semasa.
Tugas dan tanggung jawab polis, kata Radin, lebih berpaksikan kepada tugas melindungi untuk menjamin keselamatan Negara, orang awam dan harta benda seperti yang terkandung dalam Seksyen 3, Akta Polis; bukannya untuk menyiksa atau menganiaya orang awam.
Tambahnya lagi, adalah lebih baik dan praktikal jika sekiranya orang ramai juga turut membantu PDRM dengan rela hati menjadi ‘rakancop’ dalam usaha untuk membanteras jenayah, termasuk memberi maklumat sarang persembunyian PATI, jika ada berlaku sedemikian, supaya pihak Polis dapat bertindak lebih cepat.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah, DSP Mazlan Haji Lazim menjelaskan bahawa kadar indeks jenayah di daerah Tenom sejak tahun 2009 dan 2010 telah menurun dengan ketara kerana dalam masa sebelas tahun ini, hanya terdapat 59 kes jenayah dilaporkan.
No comments:
Post a Comment