IRING….Ellron bersama dengan ahli-ahli PBRS mengiringi calon BN Ba’ Kelalan, Willie Liau di Lawas.
Oleh: ROZIE JUMAT
RAKYAT di pedalaman khususnya di kawasan luar bandar diseru untuk terus memberi sokongan berterusan kepada Barisan Nasional kerana kawasan luar bandar adalah kawasan yang memerlukan kesinambungan pembangunan dalam meningkatkan taraf hidup mereka.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Ellron Angin berkata, pengundi harus membuat pilihan bijak dan mengundi kepada parti yang tetap akan menang.
Ellron yang mengiringi calon BN Bagi DUN 70, Ba’ Kelalan, Willie Liau, 48, berkata, BN akan tetap kekal berkuasa di Sarawak dan adalah menjadi kerugian kepada pengundi di kawasan itu jika terpengaruh dengan parti pembangkang.
Turut sama mengiringi mantan wakil rakyat Ba’ Kelalan, Dr.Nelson Balang Rining dan para pemimpin BN.
Kata Ellron yang juga Wakil Rakyat Sook, pengundi di kawasan itu harus menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengenepikan parti pembangkang, yang tidak akan mampu membentuk kerajaan.
“Rakyat pedalaman memerlukan pembangunan berterusan yang telah dibuktikan oleh kerajaan BN,” ujar Ellron.
Dalam pada itu suasana terkawal dengan sikap penyokong parti masing-masing yang menunjukkan kesopanan. Ketua Umum PKR , Anwar Ibrahim turut mengiringi calon PKR ke penamaan calon.
Kelibat para penyokong parti BN dan pembangkang dari Sabah juga turut kelihatan bagi memberi sokongan moral kepada parti masing-masing.
Willie Liau, yang merupakan Ketua Pemuda Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) akan berdepan dengan Baru Bian, Ketua Perhubungan PKR Negeri Sarawak dalam satu lawan satu.
No comments:
Post a Comment