TUNGGU…..Anwar dan Bian menunggu masa untuk menghantar borang semasa penamaan calon bagi pilihanraya negeri Sarawak pagi tadi.
Oleh : KREW SABAHKINI.NET
RUANG dan peluang sangat terbuka luas kepada calon Parti Keadilan Rakyat, Baru Bian memenangi pilihanraya bagi DUN 70 Ba’ Kelalan setelah risikan mendapati wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebelum ini gagal menunaikan janji; apatah lagi menjaga kepentingan rakyat Ba’ Kelalan yang selama ini memberi mandat kepada Parti Demorkatik Progresif Rakyat Sarawak (SPDP).
Bagaimanapun faktor penolakan kepada parti pembangkang dari Semenanjung itu mungkin juga akan berlaku. Melihat kepada kecintaan penduduk di kawasan itu yang sayangkan parti tempatan dan tidak mahu campurtangan orang luar terhadap pentadbiran negeri Sarawak yang selama ini dijaga dengan baik.
Namun sehingga setakat ini, nama Baru Bian, seorang peguam yang berjaya memenangi beberapa kes mengenai tanah adat (NCR) kekal teratas. Tahap semangat penyokong PKR juga berada di tahap yang tinggi. Potensi PKR di Ba’ Kelalan juga cerah dengan pelbagai isu yang tidak pernah ditangani dengan baik oleh mantan wakil rakyatnya, Balang Rinin.
BN gagal menangani masalah harga barang, harga minyak, kemudahan asas dan masalah tanah yang sangat penting kepada masyarakat Orang Ulu. Penduduk di kawasan ulu itu membelanjakan wang yang lebih tinggi untuk belian barangan yang tidak pernah sama sekali diselesaikan oleh kerajaan BN.
Hasil maklumat mengatakan, mantan wakil rakyat selama 7 tahun itu tidak melihat rakyat di kawasannya dan langsung tidak ada istilah turun padang. Ini menyebabkan beliau gagal menjalankan tanggungjawabnya terhadap pengundi yang memberinya mandat mewakili mereka melalui BN.
Malahan pengundi-pengundi di kawasan itu dikatakan akan memasang bendera PKR jika Balang Rinin tidak diganti dengan calon baru yang lebih berwibawa dan berjiwa rakyat. Sebab itulah calon BN bagi Ba’ Kelalan kekal rahsia sehingga penamaan calon pagi tadi. Teka-teki mengenai Balang Rinin juga terlerai pagi tadi dan beliau juga turut mengiringi calon dari SPDP sebagai tanda sokongan terhadap calon tersebut.
Namun Balang ketika ditanya tentang potensi BN di kawasan itu, dengan penuh bersemangat beliau mengatakan, “Ba’ Kelalan tetap menang, ini kawasan BN,” katanya.
Berbalik kepada Baru Bian dan PKR, para penyokong yang bercampur dengan ahli-ahli PKR dari Sabah, berarak dari pekan sehinggalah ke pusat Penamaan calon di Majlis Daerah Lawas sejauh 1km.
Perarakan itu dianggar antara sehingga 500 orang sambil membawa poster Baru Bian serta mengibarkan bendera. Yang menariknya golongan warga emas sehinggalah ke muda sama-sama membuat perarakan.
Baru Bian bukan sahaja berjaya memenangi hati rakyat di Ba’ Kelalan melalui perjuangan terhadap tanah tetapi juga telah membawa isu kitab injil yang merupakan satu isu sensitif di kalangan penduduk di situ yang kebanyakannya penganut agama Kristian Sidang Injil Borneo (SIB). Dikatakan Baru Bian juga rajin menyertai acara doa bersama penduduk, menambahkan lagi rakyat mendekatinya. Wajahnya juga cukup manis dan peramah.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut sama mengiringi Bian, turut memberi kata-kata semangat kepada para penyokong dan melaungkan nama Baru Bian dan perubahan baru kepada Sarawak. Sudah tentu hari ini, 6 April adalah hari yang sangat sibuk kepada Anwar Ibrahim.
Adakah ini petanda berlakunya tsunami politik di Sarawak pada 16 April ini? Yang pastinya, Sarawak sudah bosan dengan pucuk pimpinan BN yang dikatakan penuh dengan skandal serta rasuah. Sama-samalah kita melihat pilihan demokratik rakyat Sarawak.
No comments:
Post a Comment