Thursday, 7 April 2011

UTAMAKAN ISU NASIONAL, BUKAN SEKS!



Saudara Pengarang,

SAYA tertarik untuk berkongsi satu berita yang disiarkan TV3 (walaupun tidak minat) semalam (06-04-2011) berkaitan dengan kesungguhan dan semangat Yang Berhormat di sekitar ‘Tanah Malaya’ (malah YB Bung pun ada) untuk mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD) dibentuk bagi menyiasat kes video lucah di laman web YouTube.

Mereka memberi kenyataan bahawa SSD ini patut diadakan bagi menyiasat video lucah yang dipertontonkan oleh rakyat Malaysia melalui laman web YouTube. Ajaibnya, bukan pula untuk menyiasat dari mana asal usul video itu masuk ke dalam YouTube, tetapi untuk menyiasat samada pelakunya adalah yang tertuduh dalam kes liwat atau tidak. Ini amat menakjubkan!

Saya tidak berdendam dengan mana-mana pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang, tetapi fikirkan di manakah rasionalnya SSD ditubuhkan hanya untuk menyiasat pelaku di dalam video tersebut?

SSD yang saya anggap agak mahal untuk dilaksanakan, senang pula ditubuhkan hanya untuk menyiasat pelaku video tersebut.

Justeru itu, sebagai pembayar cukai, saya tertanya-tanya berapakah kos penubuhan SSD ini? Adakah ia membawa sebarang kebaikan kepada rakyat kebanyakan yang merupakan pembayar cukai?

Apakah dengan menubuhkan SSD untuk menyiasat perkara yang berprofil tinggi, kes ini dapat diselesaikan dalam masa berberapa bulan? Agak meragukan. Mari kita lupakan sejenak tentang seks tetapi kita bincang Isu Nasional.

Saya merujuk kepada artikel Utusan Malaysia yang memetik kata-kata Menteri Dalam Negeri iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (minta maaf Datuk dan kawan-kawan).

Sedutan Utusan Malaysia: 13 Februari 2011

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebenarnya satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan di peringkat negeri bagi membincang dan mencari penyelesaian mengenai isu imigresen tersebut sebelum hasil dan cadangannya dikemukakan kepada kerajaan Pusat yang dijangka akhir bulan ini.

"Saya ingin tekankan di sini bahawa isu warga asing ini melibatkan tidak kurang daripada 14 kementerian dan agensi lain. Ia juga melibatkan kebimbangan daripada segi keperluan ekonomi dan tekanan faktor keselamatan.

Saya turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri Bernard Dompok atas usul untuk penubuhan SSD sejak sekian lama. Namun persoalannya, apakah Kerajaan Pusat faham tentang penderitaan dan kesengsaraan penduduk Sabah? Adakah mereka yang terpaksa mengharungi kebimbangan berjalan di sekitar jalanraya di Kota Kinabalu tidak bimbang diragut, dirompak? Pernahkah anak mereka dipukul dan ditikam hanya kerana memandang atau menjeling? Pernahkah mereka rasa seperti berada di negeri orang? Ia bukanlah kes yang kecil tetapi mari kita renungi dari mana datangnya perasaan sebegini.

Bagaimana kami, sebagai rakyat Sabah (mungkin sebilangan) percaya negara kami, kawasan kami, tanah tumpah kami, tergolong dalam kelompok negara (yang juga dikenali sebagai negeri) yang MISKIN? Walhal, kalau kita lihat dari segi geografinya pun, ianya cukup untuk memperkasakan serta meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah yang mungkin 200% lebih baik daripada sekarang.

Seperti kata-kata Tan Sri Simon Sipaun, “PATI is the mother of all problems”. Which is, maybe, only implicate in North Borneo and it residents.”

Kenapakah hak kami untuk menubuhkan SSD ke atas pemberian kad pengenalan secara haram ditolak? Apakah jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Dalam Negeri mempunyai kuasa yang cukup untuk mengheret beberapa nama-nama yang memegang tampuk (suatu masa dahulu dan sekarang) pimpinan? Apakah juga kami, sebagai penduduk Sabah, dengan keluasan yang besar, tidak mempunyai hak untuk untuk mendapat keadilan yang benar-benar adil?

Saya perlukan jawapan untuk memilih pihak manakah yang dapat membawa Sabah keluar daripada segala kemelut ini? Bukan jambatan ataupun jalan berturap yang dipinta, tetapi isu nasional iaitu keselamatan negara dan kedaulatan undang-undang.

Janganlah saya didakwa dengan berbagai-bagai akta kerana saya inginkan jawapan. Saya hanyalah seorang pembayar cukai yang ingin mendapatkan jawapan atas semua persoalan di atas.

Jangan sampai suatu masa nanti, anak saya membesar dengan perasaan yang sebegini.

Salam Hormat,

ERWAN FADLY SUDIMAN@ SUDIN

No comments:

Post a Comment