Oleh : HALIK ZAMAN
CADANGAN penubuhan Suruhanjaya Di Raja untuk menyiasat kes skandal seks yang melibatkan Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim boleh dikategorikan sebagai suatu perkara yang tidak relevan sama sekali.
Penubuhan Suruhanjaya Di Raja ini lebih ke arah tujuan penambahan keaiban kepada Dato’ Seri Anwar kerana hasil siasatan ini pastinya akan menghasilkan suatu keputusan yang tidak dinamik, yakni mereka hanya akan mengesahkan ketulenan 'video tersebut' tanpa mengesahkan siapa ‘pelakon utama’ dalam babak tayangan 20 minit tersebut.
Kes skandal seks ini selayaknya diserahkan kepada jurisdiksi mahkahmah syariah. Memandangkan yang kononnya ‘pelakon utama’ drama sebabak itu adalah seorang beragama Islam. Terpulanglah kepada budi bicara Hakim Mahkahmah Syariah untuk menentukan sama ada kes ini adalah fitnah dan ada agenda politik atau sebaliknya.
Atau pun untuk ‘memuaskan hati’ semua pihak, maka serahkan sahaja kepada Mahkamah Sivil untuk dipertimbangkan dengan sewajarnya mengenalpasti pelakunya, bukan ketulenan video tersebut. Andaian 'seiras, seakan-akan atau mungkin juga Anwar Ibrahim?' hanya suatu andaian yang bukan boleh dijadikan bukti kukuh.
Terdapat beberapa keraguan dalam segmen pertama dalam video berkenaan yang dapat dilihat dengan sejelasnya. Adegan mundar-mandir tiga-tiga pelakon di hadapan kamera seolah-olah mereka sedar lakonan mereka sedang terakam. Di tambah lagi dengan penggunaan kamera ‘night vision’ seolah-olah ingin mengaburkan wajah pelakon utamanya. Suspen!.
Seperti yang diperkatakan sebelum ini, sosok tubuh pelakon utama itu juga tidak menepati ciri-ciri fizikal tubuh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Malah, Dato’ Seri Dr Wan Azizah yang telah sekian lama menjadi teman hidup Dato’ Seri Anwar juga mengesahkan pelakon utama itu bukanlah suaminya. Sesuatu yang amat mustahil seorang isteri tidak mampu mengecam tubuh badan suaminya. Hanya jauhari yang mengenal manikam atau hanya Samyvellu yang kenal Subramaniam.
Rakaman video ini juga tidak dinyatakan dimana berlakunya ‘maksiat perdana’ tersebut? Mengikut ‘cerita’ Tok Selampit (Tukang Pelipurlara) Dato’ Shazryl Eskay Abdullah, ianya seolah-olah menggambarkan kejadian ini berlaku di Thailand. Memandangkan dalam kenyataan akhbar Datuk Johari Abdul, Datuk Shazryl Eskay ada menyatakan kononnya dia khuatir video seks ini telah sampai ke pengetahuan perisikan Thailand.
Malah video seks ini juga dapat dilihat dengan sejelasnya mempunyai sarikata dalam tulisan Thailand. Maka kesimpulan yang dapat dilihat di sini, terdayakah Anwar Ibrahim untuk berulang-alik ke Thailand dalam masa sejam kononnya kehilangan beliau dari menulis di twitter atau facebook?
Sekiranya pula ianya berlaku di Kuala Lumpur, pastinya Datuk Shazrul Eskay pasti mengetahui lokasi hotel tersebut. Sepertimana yang dia maklumkan juga kepada Datuk Johari Abdul bahawa dia dan Anwar bersebelahan bilik.
Seperkara yang begitu jelas dan nyata, kalau benarlah Anwarlah orangnya dalam video berkenaan, agak menghairankan kenapa dan mengapa Anwar mahu ‘meminta’ jasa baik orang yang bersahabat rapat dengan Tan Sri Tambhi Chik yang juga merupakan seteru politik beliau ? Umum tahu persahabatan ikrab Datuk Trio ini dan agak meragukan sekiranya Anwar meminta Dato’ Shazryl Eskay bersekongkol dengan beliau untuk melanggani pelacur?
Mengikut cerita Datuk Shazryl Eskay lagi, Dato’ Seri Anwar terlupa akan jam tangannya dan meminta beliau tolong ambilkan di bilik berlakunya maksiat tersebut. Di samping mengambil jam tersebut untuk bukti, Datuk Shazryl telah menemui wayar yang menghubung ke alat perakam video CCTV yang kononnya dipasang di bilik berkenaan.
Yang amat meragukan, video tersebut dijumpai di dalam sebuah laci berkunci. Ajaib bukan? Mungkin Datuk Shazryl ada kapasiti untuk melihat secara telus ke dalam sesuatu benda pepejal seperti laci berkenaan, maka dia memperolehi pita video berkenaan? Mungkin patut diwujudkan satu jawatan ‘Ahlil Nujum Negara’ kerana kemampuan beliau melihat sesuatu yang tidak terlihat oleh mata kasar Anwar Ibrahim.
Lagi satu fakta yang meragukan, kalau benarlah ianya suatu kejadian yang benar dan sebagai seorang rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kepimpinan Negara ini, yang kononnya tidak mahu melihat ‘pemimpin yang rosak akhlak’ seperti ini menjadi peneraju utama Negara ini, sudah pasti beliau tidak akan ikut bersekongkol malah beliau seharusnya membuat laporan kepada mana-mana Jabatan Agama yang berdekatan.
Malah beliau boleh mengambil tuala dan cadar yang kononnya digunakan oleh Anwar sebagai bahan ujian DNA bagi membuktikan segala pertuduhan itu adalah benar dan wujud. Malangnya ini tidak berlaku kerana kes skandal seks ini seolah-olah disusun atur semata-mata untuk menggoyahkan maruah Anwar dan keluarganya. Mungkin para penasihat 25 % ‘master-mind’ ini beranggapan rakyat Malaysia terlalu senang untuk diperbodohkan dengan lakonan drama sebabak ini.
Jika di imbas kembali, pertuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim dikeluarkan tatkala berlakunya Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Siap ada adegan ‘angkat sumpah laknat’ di hadapan Imam yang tidak tahu menahu maksud tujuan sumpah laknat itu diadakan, Imam tersebut diarahkan oleh ‘Bossnya’ untuk duduk dan dengar sahaja?
Terkini, kes skandal seks yang juga melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tatkala Pilihanraya Umum Negeri Sarawak di ambang pintu. Yang lebih mengujakan, perkara ini tidak disalurkan kepada saluran pengaduan yang sebenarnya, cuma balik-balik Dato’ Trio ini menekankan supaya Anwar dan isterinya melepaskan semua jawatan dalam politik.
Seperkara yang membuatkan kita terfikir, sekiranya jugalah kes ini benar, Datuk Shazryl Eskay selaku ‘balaci’ dalam drama sebabak ini sudah pastinya mengenali pelacur wanita tersebut, mengapa tidak dikenal pasti dan dipanggil pelacur berkenaan untuk dijadikan saksi penting dalam kes ini?
Banyak perkara yang meragukan kes skandal seks ini. Suatu yang pasti, penubuhan Suruhanjaya Di Raja ini mahu ditubuhkan adalah semata-mata untuk ‘menambah-baikkan’ lagi keaiban yang ‘dihadiahkan’ kepada Anwar dan keluarganya.
Lihat sahaja Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock, apa sudah kejadiannya? Sampai saat ini masih lagi terapung-apung tanpa ada jawapan yang pasti.
Besar kemungkinan akan ada lagi kes-kes yang mengaibkan akan berlaku kepada Anwar. Ingatlah, semakin Anwar dan keluarganya diaibkan, semakin simpati rakyat Malaysia kepada beliau dan semakin kukuhlah kepercayaan rakyat Malaysia kepada kepimpinan Pakatan Rakyat.
No comments:
Post a Comment