Sunday, 10 July 2011

KEMERDEKAAN POLITIK Vs KEMERDEKAAN EKONOMI



Oleh : MUTALIB M.D

SEDALAM Jurang Mariana di Filipina, mungkin dalam lagi jurang ekonomi yang memisahkan rakyat marhaen dan kapitalis kerana Kerajaan Malaysia yang hampir berusia 48 tahun belum mampu untuk memacu ekonomi di luar tabii ‘model akauntabiliti’ dan serampang ekonomi yang diwariskan penjajah.

Sabah, yang sepatutnya berstatus sebuah ‘Negara’ selepas Tanah Melayu dan Sarawak; direnggut status negaranya oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama sehinggalah kelima; tanpa ada pemimpin Sabah yang berani mendongak kepala berkata “TIDAK” kepada status negeri, setaraf Perlis yang dinobatkan kepada Sabah.

Walaupun Sabah kaya dengan hasil bumi yang tidak ada pada negeri lain di Malaysia, tetapi rakyatnya dianugerahi gelaran ‘Termiskin Di Malaysia’; apatah lagi FELDA yang mempunyai lebih 245,000 ekar tanah perladangan di Sabah, tidak amanah kepada janji yang mereka materai, lalu mengabaikan 15,000 rakyat miskin tegar yang dijanjikan sebagai Peneroka.

Lebih malang lagi apabila ‘Nadi Pembangunan Sabah’ iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) menurut jejak langkah FELDA ke arah komersil dengan menubuhkan anak syarikat seperti Borneo Samudera dan Sawit Kinabalu untuk mentadbir urus ladang dan kilang milik LKTNS; sehingga Anak Negeri Sabah kehilangan hak untuk menjadi ‘Tuan’ kepada tanah tumpah darah mereka sendiri.

Dasar Ekuiti Terbuka yang diperkenalkan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1985 telah melenyapkan hak ‘Beneficial’ Anak Negeri Sabah terhadap semua tanah Sabah, sedangkan ketika zaman USNO dan BERJAYA, setiap ladang kelapa sawit atau getah yang ingin dibuka mesti memenuhi kuota 30 % ekuiti bumiputera; sama ada pemilikan saham atau tenaga kerja.

Harta rakyat Sabah, terutama kayu balak dan tanah perladangan boleh dianggap sebagai dilucut hak oleh Kerajaan ‘Merry Go Round’ apabila difaraidkan oleh Ketua Menteri Sabah kepada kroni dan proksi masing-masing sehingga ‘licin’; termasuk penganugerahan 1 juta hektar kepada 10 syarikat gergasi dalam Program Pengurusan Hutan Berkekalan (FMU).

Natijahnya, tidak ada lagi tanah yang tinggal untuk Anak Negeri Sabah, melainkan tapak rumah dan tanpa sedar kampung yang mereka tinggal turut diwartakan sebagai Hutan Simpan pada 1984.

Pewartaan ini menyebabkan Anak Negeri Sabah terpaksa menjadi mangsa birokrasi di ‘Mahkamah Kangaroo’ sehingga mereka terpaksa merengkok di dalam penjara atau membayar denda kerana bertani di tanah adat peninggalan nenek moyang mereka.

Kekurangan know-how dan kedangkalan llmu para wakil rakyat dan Penolong Pemungut Hasil Tanah; menyebabkan Anak Negeri Sabah tidak tahu menuntut hak tanah adat; sebaliknya membuat permohonan tanah negeri (PT) di kawasan yang diwartakan sebagai Hutan Simpan.

Hanya selepas kes Imahit memihak kepada Anak Negeri, Kerajaan Negeri Sabah mula menoleh ke belakang melihat sejarah kependudukan dan hak tanah adat; telah mengeluarkan kawasan hutan simpan yang tidak lagi produktif kepada Anak Negeri Sabah.

Sejarah pemberian tanah kepada Anak Negeri Sabah telah meninggalkan satu stigma kepada Kerajaan yang memerintah kerana Anak Negeri Sabah mengambil jalan mudah menjualkan tanah yang telah diluluskan kepada mereka kepada konglomerat atau kapitalis sehingga akhirnya mereka sedar, mereka tidak memiliki walau seinci tanah; melainkan tapak kuburan di Tanah Wakaf.

Sebagai jalan penyelesaian, sejajar dengan perkembangan ekonomi dunia yang menjurus ke arah penyatuan kebun, mini estet atau ladang, Kerajaan Negeri Sabah telah memperkenalkan ‘Geran Komunal’ sebagaimana yang diamalkan di Australia dan Amerika Latin, khusus untuk Anak Negeri Sabah.

Pengajaran pahit pemecahan geran kepada generasi kedua, ketiga dan seterusnya yang dilalui FELDA, RISDA dan FELCRA di Semenanjung, menyebabkan Kerajaan Negeri Sabah tidak mempunyai pilihan, melainkan mengikut kaedah Glokal.

Penyatuan kebun kecil secara Glokal melalui pengeluaran Geran Komunal telah menjadi penyelesaian terbaik kepada Sabah; terutama memastikan sasaran agen pembasmi kemiskinan tidak tergelincir, malah menjamin hak generasi masa hadapan terjaga.

Melalui penyatuan tanah dalam satu Geran Komunal, Anak Negeri Sabah dapat membangunkan tanah berkenaan secara terancang dan generasi mereka akan datang; mempunyai jaminan pendapatan yang berkekalan, jika kerajaan membangunkan tanah berkenaan melalui GLC atau subsidiari.

Punca utama kenapa petani atau pekebun kecil kita miskin ialah kerana mereka tidak mempunyai rangkaian pasaran dan terpencil daripada ekonomi berbilang tingkat secara menegak; sehingga banyak bahan mentah mereka dibazirkan begitu sahaja; apatah lagi ketiadaan modal tambah untuk mengembangkan sektor hiliran secara sistematik.

Akibatnya, petani atau pekebun hanya memperolehi harga skrap kepada getah yang mereka toreh; harga pendapatan buah tandan basah (FFB) bagi kelapa sawit yang mereka tuai atau harga daging atau tenusu bagi ternakan dan hasil ternakan mereka; malah harga kayu balak untuk hasil hutan mereka.

Dalam hal ini, melalui Transformasi Ekonomi Sabah ke arah negeri Miskin Sifar dan Negeri Berpendapatan Tinggi 2015, mampukah Kerajaan Negeri Sabah membayar harga sarung tangan bagi susu getah yang dijual penoreh; membayar harga minyak olien bertapis bagi buah tandan basah sawit yang dijual pekebun kecil; membayar harga keju atau minyak sapi bagi susu segar yang dipasarkan penternak; atau membayar harga ‘Steak’ bagi daging yang dijual penternak lembu; atau harga perabot untuk kayu balak daripada tanah adat mereka?

No comments:

Post a Comment